Senjata Sundang: Teknologi Hibrid Keris Dan Pedang

Jika disebut tentang senjata tradisional Melayu, mungkin ramai yang akan terbayangkan keris dengan bilah berlok yang digunakan untuk menikam musuh dalam pertarungan jarak dekat. Tidak dinafikan, keris merupakan senjata popular di alam Melayu malah telah diangkat sebagai simbol kuasa dikalangan pemerintah.

Keris Sundang
Sundang.

Bagaimanapun, mungkin tidak ramai tahu tentang satu lagi senjata yang mempunyai bentuk seakan-akan keris dan digelar 'Sundang'. Secara fizikal, bentuk senjata ini seakan-akan hibrid antara keris dan pedang.

Bilah Sundang tajam dikedua-dua belah mata seperti keris tetapi lebih lebar dan panjang seperti pedang.

Bentuk Sundang yang sebegitu menjadikannya sesuai digunakan untuk pertarungan jarak sederhana untuk melibas, menetak mahupun memancung.

Dalam catatan Barat, terdapat kisah mengatakan terdapat pahlawan Melayu yang sangat handal menggunakan Sundang dan berupaya mematahkan serangan askar penjajah dengan menetak laras senapang yang diperbuat daripada besi sehingga putus.

Bilah mata Sundang amat teguh buatannya kerana cara pembuatan Sundang sama seperti keris, menggunakan campuran besi ditempa dengan api dan dibentuk sehingga menjadi senjata yang tajam dan ampuh.

Bahagian penting yang membezakan bilah Sundang dengan Keris mahupun pedang adalah 'sepit rotan' yang terletak diantara ganja dan mata Sundang.

Bahagian ini diperbuat dari perak atau tembaga yang berfungsi menambah keteguhan binaan bilah dan memastikan keampuhannya sebagai senjata yang digunakan untuk menetak.

Seperti juga keris, Sundang juga mempunyai jenis dan lok namun, pada bahagian hulu Sundang lebih mirip kepada hulu pedang dan biasanya diukir dengan bentuk kepala burung helang.

Reka bentuk hulu Sundang sedemikian menjadikan ia selesa digenggam dengan kejap dan memberi kekuatan ketika melibas atau menetak.

Senjata tradisi Bugis

Keris Sundang
Keris Sundang.

Sebagai senjata tradisi masyarakat Bugis yang terkenal dengan tradisi pelayaran, Sundang juga amat berguna di laut.

Pertarungan di aut memanfaatkan kelebihan-kelebihan yang ada pada Sundang sebagai senjata untuk memotong tali kapal dan membocorkan badan kapal atau perahu musuh.

Sundang juga digunakan secara meluas di kepulauan Mindanao, Filipina, Sulu dan Sulawesi.

Bagi masyarakat tempatan mereka menggelar Sundang sebagai Sundang Moro.

Kewujudan senjata panjang Sundang juga pernah digunakan di beberapa buah negeri Melayu Semenanjung seperti di Terengganu, Pahang dan Patani.

Sundang Panglima Muar

Senjata Sundang Sulu

Seperti juga keris dan pedang, Sundang juga kadangkala menjadi senjata kurniaan Raja kepada seseorang pahlawan negeri.

Biasanya, Sundang yang dikurniakan oleh Raja atau Sultan mempunyai identiti tertentu seperti hiasan daripada bahan-bahan bernilai tinggi seperti gading, batu permata, perak dan lain-lain.

Malah, terdapat juga Sundang yang mempunyai inskripsi pada bahagian-bahagian tertentu yang melambangkan pemiliknya.

Muzium Warisan Melayu UPM misalnya, mempunyai koleksi Sundang istimewa yang dipercayai milik salah seorang panglima dari Muar, Johor.

Sundang tersebut ditemui di Belanda pada tahun 2015 dan telah dibawa pulang ke Malaysia untuk dipamerkan kepada pengunjung Muzium Warisan Melayu UPM.

Sundang berukuran kira-kira 21 inci ini mempunyai inskripsi jawi pada bahagian hulunya yang tertera ayat, 'Inilah keterangan Sundang Panglima Muarnya'.

Setelah diselidiki dengan lebih mendalam, terdapat dua kemungkinan pemilik asal Sundang tersebut.

Kedua-dua mereka adalah pahlawan hebat yang pernah menggunakan gelaran Panglima Muar.

Identiti pertama kemungkinan milik seorang individu bernama Panglima Laji, seorang pahlawan dan juga wakil Sultan di Jajahan Kesang sekitar abad ke 18.

Kemungkinan juga pemilik asal Sundang ini adalah milik individu bernama Panglima Suliwatang, seorang pahlawan berketurunan Bugis yang terkenal sekitar pertengahan abad ke 19.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com