Apa Perkara Perlu Anda Lakukan Jika Kereta Kena Langgar Dari Belakang?

Kemalangan memang sangat menakutkan, terutama jika ia adalah kemalangan pertama yang berlaku dalam hidup. Tapi tahukah anda, apa yang perlu dilakukan sekiranya kereta kita dilanggar dari belakang?

Kereta Kena langgar dari belakang
Gambar hiasan.

Seorang peguam dan partner di Alda Shukri Khairi & Associates, Tuan Salkukhairi Abd Sukor, menulis bagaimana untuk menangani sekiranya anda dilanggar dari belakang.

Dengan tips ringkas ini, kini anda tidak perlu marah, gelabah atau sedih lagi sekiranya dilanggar.

Tips Ringkas Jika Kereta Anda Dilanggar Dari Belakang.

1. Jangan Panik

Jika ada orang langgar kereta anda dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang. Kecualilah anda memang anda simptom Anxiety Disorder.

2. Berhenti Di Tempat Selamat

Berhentikan kereta anda di tepi jalan di kawasan yang lapang dan selamat. Ini untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas.

3. Jangan Cuba Bergaduh!

Selepas melihat kenderaan yang melanggar kereta anda juga memberhentikan kenderaannya, ambil telefon bimbit anda yang ada kamera dan keluar daripada kereta anda.

Ingat! Jangan bawa sebarang alatan yang berbahaya seperti stering lock, parang, peralatan yang diperbuat daripada besi dll, kerana anda mungkin boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.

4. Ambil Gambar

Ambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan yang melanggar anda tadi.

5. Jangan Maki Hamun

Apabila pemandu kenderaan yang melanggar anda tadi keluar daripada kenderaannya, sapalah dia dengan baik. Kalau pun anda tak mampu nak senyum, janganlah terus maki hamun kepadanya.

6. Kawal Kemarahan

Tanyakan kepadanya dengan baik kenapa dia langgar kereta anda tadi. Kebiasaannya dalam situasi sebegitu masing-masing akan cuba menyalahkan antara satu sama lain.

Kawal kemarahan, jangan bertengkar, bergaduh dan berbalah di situ kerana ianya takkan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

7. Cuba Minta Lesen Dan Kad Pengenalan

Kalau boleh minta tengok daripada pemandu yang melanggar kereta anda tadi kad pengenalan atau lesen memandunya. Ambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya.

8. Jangan Paksa

Jika dia tidak mengaku bersalah melanggar kereta anda, jangan paksa dia mengaku atau paksa dia membayar wang kepada anda.

Cuba terangkan kepadanya, dari segi undang-undang, sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.

9. Ajak Segera Ke Bengkel, Jangan Bertangguh

Jika dia mengaku bersalah, minta dia menanggung kos pembaikan kereta anda. Sekali lagi diingatkan, tak perlu minta wang daripadanya.

Terus ajak dan bawa dia ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai berapakah kerosakan kereta anda.

Kalau boleh terus pergi, jangan tangguh-tangguh walaupun anda ada urusan lain. Lagi cepat anda selesaikan perkara tersebut lagi bagus.

10. Minta No Telefon

Jangan lupa ambil nombor telefon atau bisnes kadnya supaya mudah anda menghubunginya nanti.

11. Dapatkan Info Lengkap

Jika dia berkeras tidak mengaku salah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, tak mengapa, jangan serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya.

Biarkan saja dia pergi. Ini kerana anda telah mendapat segala info berkenaan kenderaan dan dirinya.

12. Buat Report Polis

Terus pergi buat report polis di balai polis berhampiran.

13. Lakukan Carian

Dengan report polis tadi pergi ke jpj dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insuran kenderaan yang melanggar kereta anda.

14. 3rd Party Claim

Pergi terus ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan minta mereka uruskan 3rd parti claim bagi membaiki kerosakan kereta anda tersebut.

Mudah bukan? Tak perlu gaduh-gaduh dan melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah dan boleh mendedahkan anda kepada perlakuan jenayah. Negara kita kan ada undang-undang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket