SBDJ Siri 112: Kepala ke Langit

Datuk berdiri di sebelah kanan Mat Prai memastikan kedudukan rukuk Mat Prai betul seperti yang dihajati, Datuk terus menggenggam penumbuk kanan.

Toyol jadi-jadian

"Bersedia Mat Prai."

"Ya, saya bersedia Ayah Alang."

"Kalau sakit jangan mengeluh, jangan mengaduh. Kau mesti tahan semuanya."

"Baik Ayah Alang."

"Sediaaaaaa..." Datuk melepaskan penumbuk sulung ke pangkal belikat Mat Prai.

Saya lihat Mat Prai rebah perlahan-lahan serentak dengan itu juga saya lihat hampas dan serbuk dari pucuk hutan yang ditampalkan ke muka Mat Prai terus jatuh berderai. Bertaburan di tanah.

"Kamu ni lembik sangat, kena sikit pengsan," Datuk seperti merungut di depan tubuh Mat Prai yang terbaring di bumi.

Datuk segera memulihkannya hingga sedar. Mat Prai terus duduk bersila di depan Datuk dan saya.

Cahaya api yang marak mengizinkan saya menatap Mat Prai. Kesan darah dan cakaran yang dalam sudah tidak kelihatan lagi, kecuali garis-garis halus yang tidak berapa dalam.

"Aku tengok pangkal tengkuk kamu lebam, rapat dengan aku, biar aku periksa," tanpa banyak cakap Mat Prai hulurkan tengkuknya pada Datuk.

Dengan teliti Datuk membelek-belek kesan lebam itu. Dua tiga kali Datuk tekan ibu jari kanannya ke tempat yang lebam itu. Akhirnya kesan lebam itu hilang.

"Kelawar tu cuba nak hisap darah kamu, Mat Prai," Datuk terus memberi komen sambil menolak tengkuk Mat Prai, suruh beredar dari sisinya.

"Agaknya kelawar jadi-jadian," Mat Prai membuat ramalan. Datuk gelengkan kepala.

"Mana ada kelawar makan darah manusia," sanggah Mat Prai membantah gelengan kepala Datuk.

Saya hanya diam saja tetapi, tidak melupakan tugas untuk membaling reranting kering ke dalam api yang marak.

"Siapa kata tak ada kelawar makan darah," kata-kata Datuk itu membuat saya cemas dan takut.

Bulu roma terasa tegak berdiri. Saya mula dongakkan kepala ke langit mengawasi kalau ada kelawar berterbangan di udara. Saya dan Mat Prai berpandangan.

"Dalam satu kumpulan kelawar yang terbang malam, salah seekor darinya terdapat yang menghisap darah manusia dan binatang, bentuknya besar, kukunya berbentuk macam kuku harimau, taringnya tajam yang di bahagian hujung nampak kehitam-hitaman, kelawar jenis ini memang berbahaya dan jahat.

"Dia terbang malam antara pukul dua belas malam hingga tiga pagi, masa dia terbang tu, kalau jumpa binatang ternakan atau manusia dia terus menyerang," Datuk memberi penerangan.

PENERANGAN

Selesai saja memberikan penerangan, dua ekor kelawar terus menerkam ke arah batang leher Datuk. Kedua belah tangan Datuk bergerak pantas menghalang hajat kelawar itu.

"Uhhh...," jerit Datuk. Dia terus melompat sambil menyambar ranting di bumi.

Dengan ranting itu Datuk memukul ke arah kedua ekor kelawar serentak. Pukulan Datuk tepat pada sasarannya. Dan kedua kelawar terus jatuh ke dalam api yang marak.

"Kamu berdua ikut aku," Datuk renung muka saya dan Mat Prai.

Kemudian kami mengaturkan telapak kaki mengikut langkah Datuk. Memang itu yang kami harapkan.

Makin hampir ke pondok, makin jelas dan lantang kedengaran suara Pak Imam membaca ayat-ayat suci di malam yang hening, memburu ke fajar menyingsing.

Saya sudah membuat keputusan untuk membentang pada Datuk tentang peristiwa aneh yang dialami.

Sebaik-baiknya perkara itu, diceritakan bila sudah berada di pondok di depan Pak Imam. Bercerita sambil berjalan tidak sesuai.

"Kamu berdua jumpa ular dan kura-kura?"

Saya terkejut dan segera memalingkan muka ke arah Mat Prai, ternyata dia tergamam.

Masih di jalanan Datuk sudah menyoal, apakah dia yang mengadakan semuanya itu untuk menguji keberanian kami. Timbul pertanyaan dalam diri saya. Datuk berhenti melangkah.

"Cakap, apa yang kamu alami tadi? Kamu jumpa ular dan kura-kura?" Datuk tatap wajah saya dan Mat Prai.

Sambil menarik nafas saya renung ke arah pondok yang di cerahi oleh lampu minyak tanah. Saya nampak Pak Imam terbongkok-bongkok membaca al-Quran.

"Ya, kami jumpa benda-benda yang Datuk sebutkan itu dalam pondok, kami tak tahu dari mana datangnya," saya memberikan pengakuan pada Datuk.

Saya lihat orang tua itu meraba-raba pangkal dagunya yang dirajai janggut. Dia kelihatan cukup tenang.

"Dari mana benda-benda ganjil itu datang tuk?" tanya saya lagi.

"Aku sendiri tak tahu."

"Tapi, macam mana Ayah Alang tahu benda-benda tu datang ke tempat kami," Mat Prai pula mengajukan pertanyaan.

Datuk termenung sebentar, barangkali dia merasa sukar untuk memberikan jawapan. Datuk atur langkah kembali. Perjalanan yang terhenti disambung kembali.

"Pada mulanya aku tak tahu, aku datang ke situ kerana aku nampak api," tanpa diduga Datuk bersuara.

"Masa aku sampai tadi, aku nampak ada sisik ular dan bekas kaki kura-kura," sambung Datuk. Cukup teliti Datuk mengawasi sesuatu tempat.

"Kerja siapa semuanya tu tuk?" tanya saya lagi.

"Kerja orang yang bertuankan iblis syaitan."

"Jadi kura-kura dan ular tu benda jelmaan," cukup pantas Mat Prai menyoal.

Dia mempercepatkan langkah hingga berada di depan Datuk. Perbuatannya itu memang tidak wajar dan Datuk memerintahkan Mat Prai supaya berjalan di belakang. Perintah segera dipatuhi.

"Bukan jelmaan Mat Prai."

"Kalau bukan jelmaan, apa dia Ayah Alang?"

"Perbuatan sihir."

"Ayah Alang tahu orang yang jadi tukang sihir tu?"

"Agak-agaknya, aku tahu, orang jahat tu tak lain tak bukan ialah..." Datuk tidak dapat menamatkan percakapannya.

Sepotong kayu yang panjangnya kira-kira dua kaki meluru ke arah depan. Datuk tidak dapat mengelak dan kayu itu tepat mengenai telinga kirinya.

Datuk berpusing-pusing dan bahagian yang terkena kayu itu kelihatan bengkak dengan segera.

Datuk hampir mahu jatuh, mujurlah Mat Prai bertindak segera. Badan Datuk terus di pangkunya dan dibaringkan di pangkal pokok.

Setelah diberi bantuan, tenaga Datuk pulih dengan serta merta. Datuk terus bangun sambil meraba di tempat yang bengkak.

"Syukur pada Allah kerana aku tak luka, kena sikit aje, sampai di pondok boleh diubat," ujar Datuk tenang dan memulakan langkah yang terhenti.

"Memang kamu handal orangnya."

Serentak Datuk, Mat Prai dan saya menoleh ke kanan. Seorang lelaki dengan seluar dan baju hitam berdiri di situ. Kepalanya diikat dengan kain merah.

Di tangan kanannya terlekap sebatang lembing yang matanya dibuat dari buluh kuning yang sudah dikeringkan.

Orang itu, tidak lain tidak bukan ialah Suhaimi Keraba.

"Saya tidak handal, saya minta perlindungan dari Allah yang menjadikan kita semua. Saya tak suka orang membesar-besarkan saya macam tu," tutur Datuk penuh hormat.

"Ya, tak mengapa, lain waktu, lain masa kita bertemu lagi. Cuma saya nak ingatkan awak jangan seretkan orang lain dalam hal kita ini, jangan babitkan Pak Imam."

"Saya tak babitkan sesiapa. Saya cuma minta bantuan dari orang yang berilmu."

"Sudahlah, jangan berdalih, jangan banyak cakap, haaaaa," Suhaimi Keraba menerkam ke arah Datuk.

Secepat kilat dia menghayunkan batang lembing ke kepala Datuk. Nasib baik Datuk tunduk, batang lembing terkena pokok duku.

Batang lembing patah dua, tetapi matanya melayang ke arah saya. Walaupun saya sempat mengelak, tetapi hujung siku saya terkena juga.

Kami bertiga terdengar suara orang ketawa. Suhaimi Keraba tidak kelihatan lagi. Beberapa batang pokok di sekeliling kami bergegar seperti digoyang orang.

Datuk tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di kawasan sekitar. Dia menggesa kami mempercepatkan langkah agar segera sampai ke pondok.

Bila melihat kami terpacak di halaman pondok, Pak Imam berhenti membaca al-Quran. Dia segera membuka kaca mata putih yang terlekap di muka. Dengan tenang Pak Imam menutup al-Quran.

Kaca mata putihnya yang tebal diletakkan di sebelah kanan. Pak Imam merenung tepat ke arah Datuk.

"Dari rupa awan dan kedudukan bintang di langit, memang dah pukul dua lebih," Datuk bersuara tenang.

"Masa kamu tak ada tadi, macam-macam yang datang kacau aku, ada ular berkepala dua, ada lipan bara yang besar dan macam-macam lagi bermain di depan aku," Pak Imam menyampaikan berita.

"Itu hanya ujian," balas Datuk dengan senyum.

"Berdebar juga hati kita dibuatnya," Pak Imam mengakhiri kata-katanya dengan ketawa kecil yang memanjang.

Saya dan Mat Prai berpandangan. Datuk terus menuju ke perigi. Datang kembali dengan wajah yang basah.

Datuk terus basuh kaki. Dia naik ke pondok. Giliran saya pula basuh kaki dan naik ke pondok lalu duduk bersila di sisi Datuk.

"Dah ambil air sembahyang, Tamar?"

"Buat apa? Bukan nak sembahyang," saya menjawab.

"Baca Quran, faham," nada suara Datuk cukup keras. Saya mula menggelabah.

Saya renung ke arah Mat Prai yang sudah duduk tertenggek di mata tangga. Sesekali terdengar deru angin.

"Pergi ambil air sembahyang," Datuk mendesak.

Saya jadi serba salah, saya memang takut untuk pergi ke perigi. Dalam keadaan yang takut, saya cuba berlagak berani di depan Datuk.

Saya bercadang, bila sudah sampai di halaman pondok, saya akan mengajak Mat Prai menemani saya. Saya terus melangkah ke bibir tangga.

"Tamar."

Saya berhenti melangkah. Perlahan-lahan saya toleh ke arah Datuk dan Pak Imam. Mereka sudah pun membuka al-Quran. Dada saya terus berdebar tanpa sebab.

"Kenapa tuk?"

"Kamu pergi ke perigi seorang diri, jangan ajak sesiapa jadi kawan kamu, faham."

"Haaaa..." cuma itu saja yang terkeluar dari kelopak bibir saya.

Sepasang kaki terasa lemah untuk melangkah. Ini satu penyeksaan yang amat kejam.

Kenapa Datuk bertindak demikian pada saya? Dia mahu menguji saya? Mahu mengajar atau mahu menyeksa?

Itu pertanyaan yang berbunga dalam hati, tetapi, tidak berani saya keluarkan untuk didengar oleh Datuk.

"Kau nak kutip buah durian Tamar?"

"Tak," serentak saya gelengkan kepala.

"Kau nak ke mana?"

"Nak ke perigi nak ambil air sembahyang," saya tepis tangan Mat Prai.

Ketika itu juga saya terdengar suara Datuk berdehem. Tanpa mempedulikan sama ada Mat Prai tersinggung atau tidak saya terus menuju ke perigi.

Dalam rasa takut dan cemas, saya dapat menyempurnakan mengambil air sembahyang.

Sekurang-kurangnya dapat yakinkan Datuk bahawa saya bukanlah seorang yang penakut.

Waktu saya mahu melangkah menuju ke pondok semula, tanpa diduga saya terpandang sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih separas bahu.

Saya terus membaca surah Al-Ikhlas dalam keadaan yang tidak teratur.

Lembaga yang dibalut dengan kain putih semacam mayat itu, bergerak dalam keadaan terlompat-lompat.

Saya renung ke arah kepalanya. Ternyata, wajahnya tidak berapa jelas kerana ditutupi rambut hitam yang lebat.

Tiba-tiba rambut hitam lebat itu terselak bagaikan ditolak sesuatu. Separuh berada di telinga kanan dan separuh lagi di telinga kiri.

Oh! Tuhan mukanya amat menakutkan. Dari bibir atas sebelah kanan dan kiri terjulur gigi (siong) yang besar dan panjang melebihi dagu.

Kedua belah telinganya macam telinga monyet terlalu kecil dan hampir tidak kelihatan. Tidak mempunyai hidung dan dahi. Matanya tersembul macam mata udang, merah seperti bara.

"Engkau tentu tak kenal dengan aku."

Saya pasti, suara itu datang dari lembaga aneh yang berbalut kain putih. Tetapi, kelopak bibirnya tidak bergerak. Dari mana suara itu keluar? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

"Cakap, kau kenal atau tidak dengan aku?"

Lembaga ganjil mengajukan pertanyaan. Dan kali ini, saya kira suara itu keluar dari telinga sebelah kirinya.

Cara yang paling berkesan untuk memastikan suara itu keluar dari telinga, saya harus mengadakan dialog kecil dengan lembaga ganjil yang tidak di undang.

"Saya kenal," kata saya.

"Kalau kamu kenal, sila ceritakan tentang diriku," sanggah lembaga putih.

Dalam kesempatan itu saya arahkan sepasang biji mata ke arah telinganya. Apa yang saya ramalkan memang tepat.

Sudah jelas, lembaga itu berkata-kata melalui telinga. Setiap kali kata diucap, daun telinganya bergerak dan dari lubang telinganya terpancar warna kuning yang memanjang. Bila suaranya terhenti, pancaran dari lubang telinga turut mati.

"Kamu syaitan yang dilaknat Allah, suka mendampingi manusia dengan tujuan membawa manusia ke jalan kamu," kata saya memberanikan diri.

"Kamu salah, aku datang kepada kamu untuk memberikan kebaikan."

"Kebaikan?" kata saya terkejut.

"Ya," katanya tegas.

"Kau cuma tengok rupa aku yang buruk tapi, kau tidak tahu hati aku baik, sesuatu yang aku berikan pada manusia adalah dengan rela hati," tambahnya.

Saya termenung sejenak, ketika itu saya merasai diri berada di alam lain, bukan di kawasan perigi. Sekitar saya, terdapat pepokok bunga yang beraneka bau yang amat harum.

Ada aliran sungai yang datang dari gunung. Airnya cukup jernih. Tersergam sebuah rumah berbentuk Minangkabau.

Ada suara seruling mendayu-dayu dan rama-rama terbang rendah. Cuaca sekitar terang benderang.

"Engkau tentu suka dengan apa yang kau lihat," lembaga aneh bersuara.

Keadaannya kini sudah berubah, wajahnya tidak menakutkan. Dia kelihatan seperti manusia biasa. Badannya dibalut dengan pakaian cara orang Arab.

Kepalanya dibalut dengan serban yang bersambung dengan jubah yang dipakai.

Semua kain yang dipakainya berwarna hijau.

Di tangan kanannya ada tongkat dari rotan semambu. Buah tasbih sebesar buah pinang disangkutkan di bahu kanan.

"Kamu mahu memperdayakan aku," saya membantah.

"Kamu silap," sahutnya dengan senyum memperlihatkan wajahnya yang tampan.

Berkulit putih dan berhidung mancung. Ada mirip orang Arab.

"Aku mahu memberikan kamu sesuatu yang baik dan bermakna, kekayaan dan perempuan, kau lihat di sana," dia meluruskan telunjuknya ke arah rumah berbentuk Minangkabau.

Di halaman rumah itu, terdapat tujuh gadis yang berwajah cantik. Mereka memakai pakaian yang amat jarang sekali.

RANGSANG

Gerak-geri mereka memberikan rangsangan berahi kepada saya. Sebagai seorang teruna, sudah pasti perasaan saya tergugat dengan kecantikan tubuh dan rupa lawan jenis saya. Dua tiga kali saya mengeluh dan menelan air liur.

Ketujuh-tujuh gadis itu sengaja mengangkat kain yang dipakai hingga ke paras pangkal paha. Saya terus urut dada.

Di kaki tangga rumah tersusun berpuluh-puluh tempayan serta peti-peti kayu yang berwarna kemerah-merahan. Tempayan dipenuhi dengan syiling manakala peti-peti kayu penuh dengan wang kertas.

"Bagaimana? Kau tak mahu semuanya ini?"

"Tak mahu, kau cuba menjerat aku."

Orang berpakaian hijau terus ketawa. Tasbih sebesar buah pinang terus digerak-gerakkannya.

Saya sudah lupa dengan Pak Imam, Datuk dan Mat Prai. Saya berada dalam satu dunia yang sungguh menakjubkan.

"Kalau mahu kaya, kau jadilah muridku, kalau kau mahu muda seumur hidup, kau hanya perlu tidur dengan gadis-gadis di depan kamu selama tujuh malam berturut-turut, setiap malam kau bawa seorang ke rumah dan begitulah seterusnya. Selain dari itu kau harus mencari tujuh gadis lain dan perdayakan mereka," lanjut lelaki berjubah hijau.

Penuh semangat dia memberikan penjelasan.

"Terima kasih, saya tak mahu semuanya itu," ungkap saya tegas.

"Kau tak rasa menyesal?"

"Tidak."

"Apa kau tak mahu jadi macam Suhaimi Keraba yang tidak dimakan tua, tidak dimakan sebarang senjata api atau besi."

"Tidak."

Orang berjubah itu menutup mukanya dengan kain hijau. Dia ketawa gamat. Kemudian perlahan-lahan membuka kain hijau.

Keadaannya segera berubah, wajahnya kembali hodoh dan sekujur tubuhnya dibalut dengan kain putih.

"Engkau menolak pemberian Khalifah kami, engkau mesti menerima celakanya, kamu tahu?

"Suhaimi Keraba adalah anak murid Khalifah kami. Apa yang ditawarkan kepada kamu adalah jalan damai antara kami dengan Datuk kamu," lembaga ganjil terus bersuara.

Saya termenung sejenak. Dua tiga kali buka tutup kelopak mata. Entah berapa kali pula saya gosok mata dengan telapak tangan.

Sekarang sudah jelas, saya tidak lagi berada di alam fantasi. Saya dapat melihat sinar pelita di pondok.

Suara Pak Imam dan Datuk terus mengalun mengisi ruang malam dengan ayat-ayat suci.

Mat Prai kelihatan masih mundar-mandir di depan pondok. Bunyi buah durian gugur bertalu-talu.

"Apa boleh buat, kamu menolak damai dari kami," cetus lembaga itu.

Pada saat itu saya lihat rambutnya yang hitam bertukar menjadi warna kuning tembaga.

Di mukanya, di bahagian hidungnya terdapat beribu-ribu ulat, sebesar ulat daun pisang. Ulat-ulat itu bergerak menuju ke lubang mata dan lubang telinga. Beberapa ekor ulat bergerak atau bergantungan pada gigi besarnya yang terjulur.

"Huh...," lembaga itu mendengus dan sekali gus terus menghilangkan diri.

Tempatnya segera digantikan oleh batang tubuh Suhaimi Keraba. Mata Suhaimi Keraba merenung tajam ke arah saya.

"Kamu menolak seruan Khalifah aku di muka bumi," ucap Suhaimi Keraba.

"Khalifah gila," kata saya.

"Ertinya, kamu mahu bermusuh dengan kami. Aku susah bertindak kerana kamu membabitkan Pak Imam dari kampung ini. Datuk kamu sial," Suhaimi Keraba terus mengutuk Datuk dengan sewenang-wenangnya. Saya jadi marah.

"Kamu sesat, kamu jadi hamba syaitan, kamu pengisi neraka jahanam," saya terus meledakkan kemarahan.

Tindakan saya itu membuat Suhaimi Keraba marah. Dia terus menarik buluh kuning yang terselit di pinggangnya.

Buluh kuning berukuran kira-kira satu hasta itu dilontarkan kepada saya. Kerana sudah tahu langkah dan atur silat yang dipelajari dari Datuk, saya segera memanfaatkannya, saya dapat mengelak.

Buluh kuning yang dilontarkan pada saya terkena pangkal pohon langsat. Api terus marak setinggi berdiri di pangkal pokok langsat. Saya terus menjerit dengan sekuat hati.

LANGKAH

Saya buka langkah lalu lari menuju ke pondok. Suhaimi Keraba terus ghaib serta merta.

Saya tidak tahu ke mana dia menghilangkan diri. Tercungap-cungap saya berhenti di kaki tangga, buat beberapa ketika.

Saya terus duduk di anak tangga tanpa mempedulikan Mat Prai yang dua tiga kali mengelilingi saya. Dia berusaha menarik perhatian saya dengan harapan saya akan menegurnya.

Bila saya buat tak kisah, Mat Prai seperti berputus asa dan terus duduk di bumi.

Angin malam yang bertiup terus menggugurkan buah durian. Bila rasa penat sudah hilang, saya terus basuh kaki dan naik ke pondok. Datuk berhenti baca Quran.

"Kenapa macam orang kena kejar aje Tamar?"

Pertanyaan yang Datuk kemukakan itu membuat saya berada di dalam serba salah. Apakah perlu saya menjawabnya?

Kalau dijawab apakah Datuk percaya dengan apa yang saya ceritakan padanya?

"Kenapa Tamar?" ulang Datuk lagi.

Kali ini sepasang matanya tertumpu ke wajah saya. Belum pun sempat saya menjawab Datuk terus bersuara.

"Kamu jumpa benda-benda pelik?"

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 112/284

BACA: SBDJ Siri 111: Kelawar Hisap Darah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com