SBDJ Siri 111: Kelawar Hisap Darah

Kalau diturutkan rasa hati, mahu saja saya menyepak kura-kura yang tertonggok macam besi buruk itu. Akhirnya saya sedar, bahawa saya tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya di malam yang kian dingin.

Toyol jadi-jadian

"Macam mana kalau aku campakkan kura-kura ini keluar," Mat Prai mempamerkan kemarahan.

Sepasang matanya segera diarahkan ke arah belakang kura-kura. Mat Prai terus membongkokkan badannya sambil berusaha mahu memegang badan kura-kura.

"Jangan."

Saya segera menyergah. Mat Prai terus menegakkan badannya semula.

"Kenapa Tamar?"

"Biar dia pergi sendiri. Saya bimbang ini bukan kura-kura betul, agaknya ini kura-kura jelmaan," tutur saya lagi.

Dedaun hutan yang dijadikan atap pondok mula bergerak-gerak, malah ada yang jatuh ke tanah akibat disentuh angin.

Aneh! Angin yang bertiup lembut secara mendadak bertukar menjadi keras. Saya terdengar reranting tua jatuh bertalu-talu ke tanah. Saya dan Mat Prai terdengar bunyi suara tupai.

Semuanya mengundang kecemasan dalam diri. Ganjil sekali, bila tupai berbunyi malam.

Dalam rasa serba salah dan takut itu, terdengar suara harimau mengaum. Beberapa ekor kelawar berterbangan dalam pondok.

Salah seekor dari kelawar itu jatuh di depan saya dan Mat Prai. Jarak kelawar itu dengan badan kura-kura kira-kira tiga hasta saja.

Bentuk kelawar yang jatuh itu agak berbeza dengan kelawar-kelawar yang biasa saya lihat.

Bentuk badannya agak besar, sayapnya juga agak lebar. Bulunya berwarna kekuningan dan biji matanya tersembul seperti memancar-mancarkan cahaya api.

"Kamu tengok giginya."

Saya segera mengarahkan mata ke arah yang disebutkan oleh Mat Prai. Darah saya tersirap melihat muncung kelawar yang bentuknya macam muncung babi hutan. Giginya yang putih dan besar menyeringai ke arah saya.

"Ini kelawar puntianak jenis penghisap darah," kata saya pada Mat Prai.

"Berbahaya," jawab Mat Prai cemas.

"Biar aku bunuh Tamar."

Sebaik Mat Prai selesai bersuara, kelawar di depan kami terus berbunyi dengan nyaring.

Kedua belah kepaknya dikembangkan dan terus terbang, berpusing-pusing dalam pondok kecil.

Dan kura-kura terus hulurkan kepalanya, seolah-olah turut menyaksikan apa yang dilakukan oleh kelawar itu.

KELAM

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya lemparkan pandangan ke arah luar pondok. Malam yang gelap pekat itu membuat saya tidak dapat melihat apa-apa pun.

Deru angin terus mengasak lubang telinga di samping bunyi telapak kaki manusia memijak reranting dan dedaun kering di setiap sudut pondok.

"Panggil Datuk kamu, Tamar"

Mat Prai keluarkan cadangan. Saranan itu tidak dapat saya terima. Terlalu awal rasanya untuk menyampaikan perkara ini pada Datuk.

Biarlah Datuk dan Pak Imam menyelesaikan urusan mereka.

Bila melihat saya tidak memberikan sebarang reaksi, Mat Prai mengulangi pertanyaannya lagi.

"Tak payah," kata saya tegas.

Terbayang kehampaan di wajah Mat Prai. Tetapi, kehampaan itu segera digantikan oleh rasa cemas dan terkejut yang amat sangat. Kura-kura ganjil bergerak dan hilang dengan sekelip mata.

"Dia datang."

Mat Prai arahkan telunjuk kepada kelawar secara mendadak muncul kembali dalam pondok. Kelawar itu terus berlegar-legar dalam pondok.

Kelawar itu terus menerkam ke arah pelita minyak tanah ambil mengembangkan sayapnya lebar-lebar.

Bila berada betul-betul di atas muncung api pelita minyak tanah, kelawar itu terus memukulkan kepaknya ke arah sumbu pelita.

Api pelita padam dengan serta-merta. Saya bertambah menggelabah, badan terus menggeletar.

"Aduh..tolong.."

Suara Mat Prai meninggi. Saya terus berusaha mencari mancis api. Raba sana, raba sini, Mancis tak juga ditemui. Mat Prai terus mengerang kesakitan.

"Muka aku berdarah, Tamar."

"Kenapa?"

"Dicakar kelawar, eh kelawar itu cuba gigit batang leher aku. Tolong aku.. ah.." suara Mat Prai terus berhenti.

Saya terdengar tubuhnya jatuh ke tanah lalu dituruti dengan bunyi pergelutan yang hebat di malam yang gelap.

Saya terus menyeru nama Mat Prai berkali-kali. Sayangnya saya tidak menerima sebarang jawapan.

Apa yang saya dengar ialah tarikan nafas Mat Prai tercungap-cungap. Saya tidak boleh berdiam diri, mesti bertindak untuk menyelamatkan Mat Prai. Saya mula meraba-raba ke arah badan Mat Prai.

Lain yang saya raba dan saya cari, lain yang saya dapat. Mancis api sudah berada dalam tangan saya.

Anak mancis saya lagakan di badannya. Api pun memancar dan sumbu pelita segera saya bakar.

Kawasan sekitar terang benderang. Anak mata saya melilau mencari tubuh Mat Prai.

"Ya Allah," jerit saya.

Mat Prai terlentang mukanya berdarah bersama dengan calar-calar. Bajunya habis koyak-rabak, saya lihat di batang tengkuknya ada benda hitam sebesar telapak tangan.

Saya segera mendekatinya. Tanpa membuang masa saya terus membaca petikan ayat-ayat Al-Quran untuk menghalau syaitan.

Selesai membacanya, saya seperti memperoleh sebuah kekuatan yang agak luar biasa. Saya tidak takut dan cemas.

Bunyi-bunyi yang menakutkan sekitar pondok terus hilang. Begitu juga dengan kelawar aneh, tidak kelihatan lagi.

PANGKAL

Perlahan-lahan saya pangku kepala Mat Prai. Kemudian saya heret tubuh Mat Prai keluar dari pondok.

Saya sandarkan ke pangkal pokok yang tidak saya ketahui jenisnya. Dedaun kering dan reranting yang bersepah sekitar pangkal pokok saya kumpulkan.

"Kuku kelawar cukup bisa, semua kulit muka terasa pedih," ratap Mat Prai.

Saya segera anggukkan kepada. Darah di mukanya saya kesat dengan kain yang saya koyak dari hujung baju.

Dengan diterangi oleh sinar lampu minyak tanah, saya dapat melihat betapa dalamnya cakaran dari kuku kelawar aneh di muka Mat Prai.

"Tunggu," itu yang saya ucapkan padanya.

"Kau nak ke mana, Tamar? Kau nak panggil Datuk kamu?"

"Ya," saya anggukkan kepala.

Tanpa membuang masa saya terus membakar longgokan dedaun kering dan reranting. Dengan sekelip mata, api terus marak.

Seluruh kawasan di bawah pokok terang benderang, macam siang. Cengkerik dan katak puru yang berlompatan jelas kelihatan.

Mat Prai agak terkejut dengan apa yang saya buat. Dia terus berdiri sambil memeluk pangkal pokok.

"Kenapa kau buat semuanya ini, Tamar? Kau nak bunuh aku atau kamu kerasukan syaitan?"

"Bukankah kita memerlukan Datuk? Inilah cara memanggilnya."

"Hiss, kamu, kenapa tidak kau laungkan saja dari sini?"

"Ada pesan Datuk untuk saya."

"Pesan?" Mat Prai bertambah terkejut.

Dia merasakan yang saya mahu mempermainkan dirinya.

"Apa pesan Datuk kamu, budak syaitan?" jerit Mat Prai.

Kemarahannya sudah tidak dapat di kawal lagi. Dari gerak-gerinya meyakinkan hati saya yang Mat Prai mahu melakukan sesuatu terhadap saya. Dia yakin saya sudah kemasukan syaitan.

"Eh, budak syaitan apa pesan Datuk kamu?" dalam keadaan terhuyung-hayang kerana menahan kesakitan. Mat Prai segera mendekati saya.

"Kata Datuk, jangan laungkan namanya waktu dinihari, lebih-lebih lagi dalam masa kecemasan, nanti syaitan tumpang menyahut," jelas saya dengan tenang.

Mat Prai tidak jadi melangkah untuk mendekati saya.

Perlahan-lahan Mat Prai undur lalu bersandar di perdu pokok dengan sepasang matanya tertumpu ke arah dedaun dan reranting kering yang dimamah api.

Nampaknya Mat Prai mula yakin yang diri saya tidak dirasuk syaitan.

Dengan keadaan terhuyung-hayang Mat Prai terus mengutip dedaun kering dan reranting lalu dicampakkannya ke dalam api yang sedang marak.

"Eh! Kenapa Tamar?"

Darah saya tersirap. Bahu kanan saya dipaut dari arah belakang. Reranting kayu dalam genggaman saya segera terlepas. Jatuh berserakan di hujung kaki.

Angin malam terus bertiup, bersama bunyi cengkerik dan jeritan burung hantu yang memanjang.

Lolongan anjing yang sayu dan memanjang menegakkan bulu tengkuk.

"Eh, kenapa Tamar?" ulang Datuk untuk kedua kalinya sambil menatap wajah saya yang berada dalam keadaan terkejut. Tidak dapat saya pastikan dari arah mana Datuk muncul.

Walau bagaimanapun, kedatangannya amat menggembirakan hati saya dan Mat Prai. Segera saya mendekati Datuk untuk menerangkan keadaan sebenar.

Belum pun sempat saya melakukan sesuatu, Mat Prai terus memeluk Datuk.

"Kenapa dengan muka kamu?" tanya Datuk lalu memimpin Mat Prai ke kawasan yang agak samar-samar.

Datuk terus dudukkan Mat Prai di situ. Datuk kesat kesan darah di muka Mat Prai dengan sehelai daun lebar yang dipetik dari sebatang pokok di sebelah kanan tempat Datuk duduk bertinggung.

"Muka saya dicakar kelawar besar, Ayah Alang," nada suara Mat Prai yang keras dan meninggi itu membayangkan dirinya memiliki semangat baru, akibat kehadiran Datuk di sisinya.

Datuk terus menatap dengan teliti cakar-cakar di muka Mat Prai.

"Kukunya tak berapa dalam terbenam dalam daging muka kamu. Bisanya juga tak seberapa," tutur Datuk lagi sambil menekankan hujung jari kelengkeng ke pipi Mat Prai.

Setiap kali hujung jari Datuk ditekan, kedua belah kelopak mata Mat Prai kelihatan mengecil menahan rasa sakit.

Anehnya! Mat Prai tidak memperlihatkan sebarang tindak balas terhadap perbuatan Datuk itu, meskipun, perbuatan Datuk itu mendatangkan rasa sakit pada dirinya.

Agaknya, kelawar yang menyerang saya itu, kelawar jadian yang sudah dipuja," sambil menarah rasa sakit, Mat Prai bersuara tersangkut-sangkut.

Datuk tidak memberikan sebarang jawapan. Jari telunjuk Datuk terus berlari atas permukaan kulit muka Mat Prai.

"Kita hanya berusaha dan berdoa, untuk menyembuhkannya adalah milik Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang," kata Datuk tenang.

Dia berhenti menyentuh kulit pipi Mat Prai dengan hujung jari telunjuknya.

TIUP

Angin malam terus bertiup, lolongan anjing liar di kali bukit bersama nyanyian burung hantu, bertalu-talu memukul gegendang telinga.

Di celah-celah suara anjing dan burung hantu itu masih saya dapat dengar suara Pak Imam membaca surah Yasin.

"Taruhkan lagi daun dan ranting kering dalam api tu," Datuk mengeluarkan arahan.

Cakapnya segera dipatuhi. Api terus marak, kawasan sekitar terus terang benderang.

Dengan pertolongan cahaya api, Datuk terus memilih pepucuk daun yang hijau. Jumlahnya lebih kurang dua puluh helai.

Pepucuk itu dijadikan empat longgok dan setiap longgok mengandungi lima helai.

Longgokan itu diletakkan sederet di depannya sambil duduk bertinggung Datuk terus menepuk kedua belah tapak tangannya tiga kali berturut-turut.

Mulutnya kelihatan bergerak-gerak semacam membaca sesuatu. Mat Prai seperti menerima arahan tertentu terus duduk berdepan dengan Datuk.

"Di depan kamu ada lima longgok pucuk daun yang baru aku petik. Sekarang, kamu pejamkan kedua belah mata.

"Kemudian kamu pegang salah satu longgok daun tu dan serahkan kepada aku. Faham tak apa yang aku cakapkan?" tutur Datuk kepada Mat Prai.

"Faham," sahut Mat Prai sambil merenung ke arah saya yang telah mencampakkan dedaun dan reranting kering ke dalam api yang kian membesar.

Muka saya mula terasa panas akibat terkena bahang dari api yang saya nyalakan.

Di malam yang dingin itu badan saya mula diruapi peluh-peluh halus, tetapi, tangan tidak berhenti melontarkan ranting kering ke dalam api.

Bara api yang terkena ranting terus mengeluarkan percikan bunga api, naik ke udara.

"Mulakan sekarang," kata Datuk.

"Sekarang?" Mat Prai seperti terkejut.

Dia memang tidak menduga secepat itu Datuk menyuruh dia melakukan tugas tersebut.

Bila melihat Mat Prai agak keberatan dan ragu-ragu untuk mematuhi perintahnya, Datuk terus bersuara dengan lantang dan garang.

"Pejamkan mata, buat apa yang aku suruh!"

"Baiklah Ayah Alang. Tapi saya takut ada sesuatu yang buruk terjadi."

"Tak apa, buatlah apa yang aku suruh," nada suara Datuk cukup lembut.

Matanya penuh simpati merenung ke arah muka Mat Prai.

Mungkin untuk memberikan semangat (pemulih) Datuk terus meraba cuping telinga Mat Prai tiga kali berturut-turut.

Hasilnya, Mat Prai kelihatan lebih agresif dan berani. Mukanya nampak merah.

"Saya mulakan sekarang Ayah Alang."

"Silakan Mat Prai."

Mat Prai terus duduk bersila. Kedua belah kelopak matanya dicantumkannya. Sepasang bibir bergerak mengucapkan Bismillah.

Tangan kanannya bergerak dan akhirnya menyentuh longgokkan pepucuk daun yang terletak dilonggokkan ketiga di sebelah kiri. Diserahkannya pada Datuk.

Datuk hanya mengambil sehelai sahaja untuk diletakkan atas kepala lutut kanan. Selebihnya Datuk letak di bawah paha kiri.

"Saya boleh buka mata sekarang Ayah Alang?"

"Tak boleh kecuali bila aku suruh."

"Saya tak sanggup Ayah Alang," kata Mat Prai tersekat-sekat.

"Macam-macam yang saya lihat dalam mata ni, semuanya menakutkan," sambung Mat Prai.

Kedua belah tangannya merewang ke kiri dan ke kanan. Dahinya terus berkedut, kedua belah bulu keningnya hampir bertemu, membayangkan rasa takut dan cemas melihat sesuatu yang amat menakutkan.

"Sekarang di depan kamu ada empat longgok lagi. Aku mahu kamu ambil satu persatu dan serahkan pada aku, macam kamu buat tadi," Datuk mengingatkan Mat Prai.

"Baik Ayah Alang."

Mat Prai terus mencakup longgokan itu satu persatu. Diserahkan kepada Datuk.

Macam tadi juga, Datuk hanya mengambil sehelai saja. Manakala bakinya Datuk letakkan di bawah paha.

Bila sudah cukup lima helai pucuk daun hutan berada di atas kepala lutut Datuk, dia segera membongkokkan badannya untuk mengambil pucuk dedaun hutan itu dengan mulut.

SABAR

Dengan sabar Mat Prai menanti arahan dari Datuk untuk membuka kelopak matanya dan Datuk pula tidak ambil kisah dengan Mat Prai yang tertonggok di depannya.

Dia seolah-olah menganggap Mat Prai bagaikan tidak wujud di depannya.

Pucuk daun berubah tempat, dari atas kepala lutut ke telapak tangan Datuk.

Pucuk-pucuk daun itu Datuk ramas hingga mengeluarkan air kental yang berwarna kehijau-hijauan dan berlendir. Air disapukan oleh Datuk ke muka Mat Prai.

Hampas dari pepucuk yang diramas itu ditampalkan ke kulit muka Mat Prai. Tidak memadai dengan itu, Datuk terus melekapkan daun yang disimpan di bawah paha kiri ke muka Mat Prai.

"Sekarang buka mata kamu."

Mat Prai membuka matanya. Saya ketawa kecil melihat wajah Mat Prai yang melucukan dibalut oleh dedaun hutan. Cuma biji matanya saja yang bergerak.

Tidak keterlaluan kalau saya katakan yang muka Mat Prai tidak ubah macam muka orang pada zaman primitif.

"Kamu jangan gerakkan kulit muka, duduk diam di situ selama sepuluh minit. Mata kamu renung ke langit," kata Datuk sambil bangun.

Mat Prai resah sendirian dan saya tidak pernah lupa dengan tugas mencampakkan reranting kering ke dalam api.

Datuk mundar-mandir, di depan api dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh.

"Macam mana kalau kelawar tu datang menyerang saya. Ayah Alang tak benarkan saya bergerak," Mat Prai memprotes.

Datuk segera memalingkan muka ke arah Mat Prai. Dia seperti terkejut dengan pertanyaan yang dikemukakan oleh Mat Prai itu.

Kata-kata itu seolah-olah membayangkan keraguan Mat Prai terhadap keupayaan Datuk mengatasi masalah yang dihadapi.

"Tak apa Mat Prai, aku ada di sini," balas Datuk.

"Saya yakin kalu kelawar tu datang Ayah Alang tak boleh buat apa-apa, kelawar tu kelawar jadi-jadian," sanggah Mat Prai.

Datuk menarik nafas panjang. Bersama sebuah senyuman dia menjatuhkan sepasang tangannya lurus ke bawah.

"Oooppp..."

Datuk melompat sambil membuka buah silat dengan kedua belah tulang sikunya menghala ke arah sepasang biji mata sebesar buah pinang dara.

Pokok-pokok renek di depannya bergerak seperti dirempuh sesuatu.

"Harimau," kata saya cemas.

Seekor harimau sebesar lembu jantan yang cukup dewasa berada di depan Datuk.

Harimau itu tidak mengaum tetapi, membuka mulutnya perlahan memperlihatkan dua batang siung yang putih dan besar. Bahagian dagu harimau bergerak-gerak.

Harimau yang tidak di undang itu merendahkan badannya dengan sepasang kakinya dilunjurkan ke depan sementara kedudukan kaki belakangnya tidak berubah.

Saya kira harimau itu mahu melakukan satu lompatan yang kencang untuk menerkam ke arah batang tengkuk Datuk.

Andainya Datuk tidak dapat mengelak terkaman pertama sudah pasti leher Datuk patah.

Di saat itu saya memikirkan hal itu, harimau besar terus melakukan satu lompatan.

Datuk mengelak ke kiri, harimau terus menerkam. Elak ke kanan harimau menerpa tanpa tangguh-tangguh. Datuk dan harimau terus bersilat.

Tamparan harimau dapat Datuk elakkan dengan berguling di tanah. Datuk menggolekkan tubuhnya ke arah api yang marak.

Bagaikan kilat Datuk menyambar ranting yang dimakan api. Datuk segera bangun, harimau terus melompat melepasi kepala Datuk.

Ketika harimau berada di udara dan bahagian perutnya betul-betul berada di atas kepala Datuk, tanpa membuang masa Datuk terus melakukan tindakan mengejut.

Dia terus bertinggung sambil meletakkan ranting kayu terbakar atas bumi.

"Uhhh..."

Pekik Datuk lalu mencapai ranting kayu. Secepat kilat ranting terbakar itu dijolokkan ke bahagian perut harimau.

Harimau terus mengaum dengan nyaring dan jatuh ke rimbunan pokok-pokok renek dan akhirnya terus hilang. Ghaib entah ke mana.

Datuk terus bangun sambil menepis dedaun kering yang melekat pada bajunya. Dia renung saya dengan senyuman kepuasan.

"Harimau sesat nak cari durian," katanya dengan tenang melangkah mendekati Mat Prai yang kelihatan kaku.

Pada hemat saya, mungkin Mat Prai terkejut melihat kemampuan Datuk bersilat dengan harimau yang tidak di undang.

Datuk terus menepuk bahu kanan Mat Prai dua tiga kali. Mat Prai gerakkan tubuhnya lambat-lambat.

"Bangun."

Dia segera bangun, patuh dengan perintah Datuk. Mat Prai toleh kiri dan kanan. Kebimbangan berkocak dalam dadanya.

"Kau bongkokkan badan macam orang rukuk sembahyang," datang lagi arahan dari Datuk.

Macam tadi, Mat Prai tetap mematuhi apa saja cakap Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 111/284

BACA: SBDJ Siri 110: Kura-kura Mata Hijau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com