SBDJ Siri 106: Harimau Sembunyi Kuku

Buat seketika, tidak terucap sepatah kata dari kelopak bibir kami bertiga. Datuk memicit-micit pangkal pahanya, mungkin dia lenguh kerana terlalu lama duduk. Saya mengarahkan sepasang mata ke arah halaman rumah yang dipancar matahari.

Toyol jadi-jadian

Hati bagai digeletek untuk mendengar penerangan selanjutnya tentang iman dari Uda Lamat.

"Tambah kopi lagi, Uda."

Datuk terus pegang teko lalu menuang kopi ke cawan Uda Lamat.

"Cukup, cukup," tahan Uda Lamat sambil memperkemaskan silanya Datuk berhenti menuang air kopi.

"Berborak begini sambil minum memang seronok," ujar Datuk lalu menghirup air kopi. Uda Lamat angguk kepala sambil memandang ke aras saya.

"Apa macam Tamar, betul tak mereka tak ada iman?" tanya Uda Lamat.

Saya jadi serba salah, sukar untuk memberikan penjelasan. Saya bukanlah orang yang pandai tentang agama.

"Entah, saya tak tahu," jawab saya spontan.

"Betul kau tak tahu?" Uda Lamat jegilkan biji mata ke arah saya.

Perbuatannya itu membuat saya jadi serba salah. Apa yang buat saya terasa tidak kena belaka.

"Betul saya tak tahu, saya tak main-main," suara saya merendah.

Memang terasa malu mengaku kebodohan sendiri di depan Datuk dan Uda Lamat.

"Bagus, bercakap dengan jujur. Orang bodoh saja yang mengaku tahu terhadap perkara yang dia tidak tahu. Orang bijak tidak macam itu," ungkap Uda Lamat lalu menepuk bahu saya berkali-kali. Saya kembali bersemangat.

"Kamu memang budak yang bijak," sambung Uda Lamat memuji saya.

Rasa megah datang ke dalam hati. Muka terasa kembang dan hati bertambah bangga. Saya mula berani angkat kepala. Berani tatap wajah Datuk dan Uda Lamat.

Dua kali Datuk batuk. Itu batuk pura-pura untuk menyindir saya, agar jangan mabuk kerana pujian. Sambil menghirup air kopi, Uda Lamat kemaskan sila.

"Kita percayakan Allah dan Rasul, ini adalah sebahagian dari rukun iman. Dan iman itu sendiri ertinya, kepercayaan yang terbit dari hati seseorang iaitu, mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa api yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah benar yang datangnya dari Allah Subhanahu Wataa'la," Uda Lamat angkat muka.

Biji matanya tajam menyorot ke wajah saya. Biasanya bila dia berkeadaan demikian, pasti mahu memulakan sebuah kuliah yang tidak dapat dijangka masanya sama ada panjang atau pendek.

"Maka," Uda Lamat tegakkan lutut kanan dan kepala lutut dijadikan tempat meletakkan telapak tangan.

"Ilmu yang dipelajari adalah untuk menyempurnakan pengenalan iman. Orang lelaki yang beriman dipanggil atau disebut Mukmin dan perempuan yang beriman disebut Mukminat," Uda Lamat telan air liur.

Dia berhenti bercakap. Jejari tangan kanannya bergerak-gerak memukul lantai.

"Saya nak tambah sikit boleh tak?" Datuk angkat kepala. Renung muka Uda Lamat. Perlahan-lahan Uda Lamat mengangguk memberi jalan pada Datuk.

"Iman dan Islam tak boleh diceraikan untuk mendapatkan kelepasan azab di hari akhirat nanti," kata Datuk.

Uda Lamat tegakkan ibu jari kanan. Lagi sekali dia anggukkan kepala, setuju dengan pendapat Datuk.

RESAH

Saya makin di amuk keresahan. Bila Datuk dan Uda Lamat memulakan perdebatan semacam itu, ertinya saya harus duduk lama di sisi mereka. Saya terus berfikir apa yang patut saya lakukan untuk menjauhkan diri dari mereka.

"Kerana mereka tidak ada iman, semakin maju mereka bergerak mengikut arus kemodenan, semakin pincang masyarakat mereka jadi tidak tentu arah. Mereka kehilangan arah," itu hujah Uda Lamat.

"Mereka seperti mahu kembali ke zaman kuno," tambahnya seiring dengan senyum.

"Haa.. sebab itulah..." Datuk angkat tangan kanan, matanya terbeliak.

"Pakaian mereka tak tentu arah, berambut panjang, kalau menyanyi terjerit-jerit macam beruk kena belacan, tak payah nikah, jantan betina duduk sebilik, lahirkan anak haram, alasan mereka ini kebebasan dan ini kemajuan," sebaik sahaja Datuk mengakhiri kata-kata tergambar kepuasan di wajahnya.

Hampir sahaja saya mahu ketawa melihat telatah Datuk yang agak melucukan itu.

Tetapi, nampaknya Uda Lamat sejalan dengan fikiran Datuk. Buktinya yang paling nyata, dia sering sahaja anggukkan kepala dan mengharapkan Datuk meluahkan buah fikiran selanjutnya.

Datuk menggaru pangkal telinganya dua tiga kali. Mungkin otaknya berjalan memikirkan sesuatu.

"Perkara yang tak senonoh tu, jadi ikutan anak-anak muda kita yang beragama Islam, segala morfin ganja semuanya berasal dari sana," Datuk lahirkan pendapat.

"Entahlah, apa nak jadi, aku sendiri pun tak tahu nak cakap," Uda Lamat bagaikan mengeluh.

"Agaknya, pegangan keimanan kita sudah nipis, fasal itu kita meniru orang lain," tingkah Datuk lalu menarik nafas dalam-dalam.

Rasa jemu yang menguasai diri membuat saya meluruskan sepasang kaki. Bahang panas di luar membuat badan saya terasa bergetah. Saya jadi tidak selesa.

"Otak mereka bergeliga tetapi rohani mereka kosong. Tidak diisikan dengan iman, kerana itu mereka teraba-raba mencari pegangan dalam hidup," suara Uda Lamat lembut dan saya tertarik dengan pendapatnya itu.

"Dalam mencari itulah mereka jadi sesat, lalu lahir bermacam agama baru yang bertujuan untuk mencari ketenangan rohani, bila perkara yang dicari tidak dapat ditemui mereka membunuh diri beramai-ramai, semuanya ini kerana mereka tidak ada iman," lanjutnya Uda Lamat lagi.

Datuk angguk kepala. Kagum juga saya, orang kampung macam Uda Lamat dapat memberikan pendapat yang baik.

Mungkin dia bercakap berdasarkan perhatiannya yang teliti dan mungkin juga berdasarkan pada pengalaman.

Dalam saat itu juga saya teringatkan berita yang pernah saya baca dalam akhbar berhubung dengan tindakan beberapa orang bijak pandai Negara Barat, tidak kira dari Blok Komunis atau sebagainya bertindak membunuh diri.

Bila mereka merasakan yang diri mereka tidak dapat melakukan sesuatu dengan lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan.

Seorang novelis boleh membunuh diri kerana merasakan dirinya tidak akan dapat melahirkan mahakarya seperti dihasilkan sebelumnya.

Begitu dengan pelakon filem, penyanyi dan sebagainya, bila mereka merasakan apa yang mereka hasilkan kini, tidak sebaik masa lalu, mereka segera mencari pelarian dengan melakukan apa sahaja yang mereka fikirkan boleh memberi ketenangan.

Mereka mencipta pakaian yang menjolok mata, bersekedudukan, melakukan hubungan sesama jenis, bunuh diri namun ketenangan rohani yang mereka cari makin jauh dari mereka.

"Iman adalah sinar kehidupan manusia sedunia," Uda Lamat meninggikan suaranya untuk menarik perhatian saya yang termenung.

Apa yang bermain dalam tempurung kepala saya segera berakhir. Datuk menghirup kopi lagi.

"Bila iman sudah berada dalam diri seseorang, dia akan merasai dirinya cukup kecil, mahu melakukan sesuatu dengan penuh kerelaan demi Allah yang maha besar," Datuk menyampuk.

"Ya, itu sudah tentu, sebab dia sudah tahu ke mana akhirnya kehidupan yang dilaluinya," tingkah Uda Lamat.

"Kembali pada yang menjadikan dirinya sebagai hamba," sahut Datuk.

Lagi sekali Uda Lamat tegakkan ibu jari kanannya ke arah Datuk.

"Orang yang beriman tidak takut pada manusia. Dia hanya takut pada Allah, kerana itu bila dia sendiri atau makan gaji dia akan bekerja dengan jujur, tidak mahu ponteng, tidak mahu menerima rasuah, tidak mahu melakukan penyelewengan, tidak mahu menindas.

"Kalau jadi ketua, akan jadi ketua yang bertimbang rasa dan tegas kerana dia sedar apa yang berbuatnya itu adalah amanat Allah," satu kuliah pendek yang amat berkesan diri Uda Lamat. Membuat saya termenung panjang sambil berfikir.

DALAM

Kenapa orang yang beriman itu jadi begitu? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Anehnya, jawapan dari pertanyaan itu datang sendiri ke dalam hati saya. Orang yang beriman itu mempunyai kekuatan yang tersendiri, ada pegangan dalam kehidupannya.

Selalu mahu melakukan kerja yang baik dan diredai Allah. Jiwanya jadi tenang kerana menyandarkan hidupnya pada Allah. Garis kehidupan tidak lari dari panduan Allah dan Rasul.

"Satu hal yang mesti kita ingat untuk mencari iman yang penuh, kita mesti mempunyai kesungguhan dan ilmu itu perlu dicari," Datuk mengejutkan diri saya dari berjawab dengan perasaan sendiri.

Uda Lamat tidak memberikan sebarang komen terhadap kata-kata yang Datuk luahkan itu.

Dan saya sendiri tidak mahu mengemukakan sebarang soalan padanya.

Apa yang pasti, saya mesti mencari kebenaran dari kata yang diucapkan oleh Uda Lamat itu dari ulama yang diakui tentang ketinggian ilmunya.

Mungkin perkara itu memakan masa sedikit, tidak mengapa kerana ilmu boleh dicari dalam sehari dua.

"Orang Islam terdahulu dari kita kuat imannya kerana itulah pernah wujud Empayar Islam yang menguasai sebahagian dari benua Eropah, mempunyai angkatan perang yang kuat dan dikagumi oleh orang bukan Islam.

"Mempunyai cerdik pandai yang terbilang, ibu negara Islam jadi pusat sejarah Islam pula."

Ternyata orang tua yang kelihatan tidak ada apa-apa itu sebenarnya seorang yang luas pengetahuannya tentang Islam.

"Agaknya mereka berjaya kerana mereka melakukan sesuatu kerana Allah, bukan kerana mahu pangkat atau nama, mereka curahkan ilmu pada orang lain demi kemajuan Islam," tanya saya.

"Ya, mereka melakukan sesuatu berlandaskan hukum Islam yang betul, kuat beriman pada Allah.

"Tetapi, sekarang kebesaran Islam mula runtuh mungkin kerana iman orang Islam sudah menipis.

"Dahulu orang Islam dihormati kerana ketinggian ilmu dalam segala bidang, sekarang orang Islam mengemis ilmu pada orang bukan Islam sedangkan ilmu itu dulu dipelopori oleh orang Islam," nada suara Uda Lamat mengandungi rasa kesal. Dia merenung ke kiri dan kanan.

"Apa mahu dikatakan lagui semuanya sudah berlalu, tidak guna dikenang, buat menyakitkan hati saja," rasa putus asa yang diluahkan oleh Datuk memang menusuk perasaan saya.

"Perkara ini timbul kerana memperkatakan tentang iman," sahut Uda Lamat, dia seolah-olah merasa kurang senang dengan kata-kata yang diluahkan oleh Datuk.

"Saya faham iman dan Islam memang tidak boleh dipisahkan," Datuk bagaikan tersedar tentang kesilapan kecil yang dilakukannya.

"Mengenangi untung malang masa lau untuk dijadikan panduan teladan bagi masa depan, hukumnya harus, tidak salah kerana kita mencari kebaikan.

"Setiap yang baik itu memang digalakkan oleh Islam dari perkara kecil sebegini boleh memberikan baja pada rohani kita untuk menguatkan iman ini salah satu cara yang paling mudah dan kecil kita lakukan."

Ternyata secara tidak langsung, Uda Lamat memberikan ilmu yang baik untuk diamalkan.

"Betul cakap awak tu," Datuk bersuara.

"Jangan cepat kata betul, fikir dan kaji apa yang saya katakan itu," Uda Lamat mula bangun.

Dia mengeliat bagi menghilangkan rasa lenguh di setiap sendiri anggota tubuhnya.

BANGUN

Saya bangun lalu mengumpulkan cawan-cawan kosong, kemudian saya serahkan pada nenek di dapur.

Waktu saya datang ke ruang anjung semula, saya dapati Uda Lamat sudah pun berdiri di anak tangga.

"Awak tak usahlah bimbang, apa yang terjadi pada cucu awak dengan izin Allah tak akan berulang lagi. Awak sendiri tahu bagaimana mahu mengatasi perkara buruk macam itu," sambil bercakap Uda Lamat tenung muka Datuk.

"Saya tahu, tapi iblis dan syaitan tak mudah mengaku kalah," sahut Datuk.

"Sebagai hamba Allah kita harus berikhtiar dan meminta perlindungan dari Allah," Uda Lamat hulurkan tangan pada Datuk.

Mereka bersalaman, beberapa detik kemudian Uda Lamat melangkah turun dan akhirnya sarungkan capal ke kaki.

"Saya jalan dulu," Uda Lamat dongak muka ke arah Datuk.

"Silakan," balas Datuk dengan senyum.

Uda Lamat pun mengatur langkah lalu meredah panas terik.

Datuk yang berdiri di ambang pintu uterus menyorot langkah Uda Lamat hingga hilang dari pandangannya.

Saya yang masih duduk bersila di ruang anjung terus melunjurkan kedua belah kaki.

Walaupun saya berusaha melupakan apa yang telah terjadi pada diri saya tetapi, peristiwa itu sesekali menerpa juga ke dalam tempurung kepala yang membuat saya merasa cemas dan bimbang tidak menentu.

"Dia macam harimau yang menyembunyikan kuku," Datuk segera pusingkan badan. Merenung tepat ke arah batang hidung saya.

"Siapa yang tok maksudkan?"

"Tok kata macam tu padanya?"

"Uda Lamat."

"Kenapa tuk kata macam tu padanya?" saya mendesak.

"Dia orang berilmu tapi, ramai yang tidak tahu tentang kebolehannya. Dia selalu merendahkan diri walau dia ada harta kerana sikapnya itu, orang selalu memikirkan dirinya tidak ada apa," Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

Anak matanya menyorot sayu ke dalam rumah yang terbentang dipanggang matahari yang terik.

"Siapa sebenarnya Uda Lamat tu, tuk?"

"Dia tu pengasas sebuah sekolah Arab di Selangor, kerana semangatnya yang meluap-luap menentang Inggeris dia ditangkap, bertahun duduk dalam tahanan di Singapura, Morib, Melaka. Bila dibebaskan dia terus membuka kedai buku-buku agama di Pulau Pinang. Dia juga menulis buku-buku atau kitab-kitab agama."

"Dah tu macam mana dia datang sini, agaknya dia memang orang kampung kita tok?"

"Memang Datuk neneknya orang sini. Bila dia tak berniaga dia terus menetap di sini, jadi petani dan tumpukan kerja pada hal-hal kebajikan serta keagamaan," demikian Datuk menjelaskan pada saya.

Sesungguhnya, penjelasan itu membunuh keraguan dan anggapan buruk saya terhadap Uda Lamat.

Selama ini, saya anggap dirinya sebagai manusia yang menggunakan kekayaan untuk menarik perhatian orang-orang kampung, suka menikah dengan perempuan yang diingini.

Saya juga selalu memikirkan yang Uda Lamat itu tidak ada apa-apa, tarafnya sama dengan orang-orang kampung yang rata-ratanya tidak mendapat pendidikan hingga tahap sekolah menengah.

Jauh di dalam hati, saya menyesali diri sendiri kerana terlalu cepat memberi penilaian atau 'label' terhadap seseorang mengikut kaca mata sendiri.

"Ada lagi yang nak kau tanyakan tentang Uda Lamat dari aku, Tamar?" Datuk ajukan pertanyaan pada saya.

Nada suaranya keras bersama wajah yang tidak menyenangkan. Tanpa berfikir panjang, saya terus menjawab.

"Tak ada lagi nak tanya tok. Dia orang yang berilmu."

"Kamu harus berguru dengannya, dampingi dirinya untuk mencari sesuatu yang berguna darinya," sebaik sahaja selesai berkata-kata Datuk meninggalkan saya sendirian di ruang anjung rumah.

PERANGAI

Saya sudah faham benar dengan perangai Datuk. Bila sahaja ada orang yang difikirkannya memiliki ilmu yang tinggi, sama ada ilmu dunia atau akhirat, dia akan menggesa saya mendekati orang itu untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dari orang tersebut.

Inilah perangai Datuk yang tidak saya senangi. Apakah Datuk memikirkan tiap inci ruang dalam kepala saya ini, mesti diisi dengan ilmu yang dikutip dari orang tertentu.

Apakah Datuk fikir setiap orang yang berilmu itu, amat mudah mahu mencurahkan ilmu pada cucunya yang bernama Tamar Jalis.

Suara batin saya terus bergolak dalam dada. Tidak terdaya mahu saya luahkan pada Datuk.

Saya tidak sanggup menerima tengking herdik dari Datuk bila perkara seperti itu dinyatakan secara terbuka padanya.

Memang pantang Datuk tujuh keturunan mengaku kalah sebelum mencuba. Dalam istilah kehidupan seharian Datuk tidak ada perkataan 'kalah' sebelum berjuang.

Datuk selalu memuji dan hormat dengan sesiapa yang sudah mencuba atau berusaha sedaya upaya tetapi akhirnya kalah.

"Orang seperti itu memang patut dipuji dan dihormati, mereka ada kemahuan, ada semangat dan sanggup menghadapi cabaran tetapi tuah tidak ada pada mereka.

"Dalam budaya orang-orang Melayu mencuba dan berjuang memang diutamakan tetapi budaya itu, kini sudah luput, apa yang ada pada kita ialah mengaku kalah sebelum berjuang," secara mendadak sahaja saya teringatkan kata-kata yang pernah Datuk ucapkan pada saya.

SURAT

Dengan izin Allah, berkat doa dan usaha dari datu dan Uda Lamat, saya dapat mengikis kenangan pada peristiwa ganjil yang telah saya alami dari kotak ingatan saya.

Rasa yakin pada diri sendiri semakin menebal di hati malah, batang tubuh dan wajah Amjal Kamal tidak lagi di ruang mata, ketika saya duduk mengelamun sendirian.

Dalam waktu tertentu, terutama menjelang waktu senja, saya akan terserempak dengan Agam melintasi kawasan belakang rumah.

Bila terserempak begitu, kami tidak berkata apa-apa. Kadang-kadang baru sahaja terniat mahu memberi salam Agam terus hilang dengan sekelip mata sahaja.

Bila hal itu saya sampaikan pada Datuk, dia cuma mengingatkan saya supaya berhati-hati.

Memang tidak pernah terfikir yang saya boleh menjalin hubungan dengan Uda Lamat penuh akrab.

Saya sering bertandang ke rumahnya bila ada waktu terluang. Dia memang handal tentang sejarah Islam.

Nama pahlawan dan pemimpin Islam zaman nabi hingga kini terkumpul dalam kepalanya.

Tanyalah tentang apa sahaja yang berhubung dengan keagungan dan sebab-sebab keruntuhan empayar Islam, dia akan menjelaskannya dengan terperinci sekali.

Setiap kali saya meninggalkan rumahnya, Uda Lamat sering mengingatkan saya supaya memperbanyakkan sembahyang sunat.

Menurutnya bila kita banyak melakukan sembahyang sunat, secara tidak langsung kita akan memperdekat diri dengan Allah dan Allah akan memberikan kekuatan zahir dan batin.

Kita akan terlindung dari gangguan makhluk jahat seperti iblis dan syaitan.

Saya berazam untuk menunaikan segala nasihat yang baik dari Uda Lamat itu.

Pada suatu hari, tanpa diduga Datuk menerima sepucuk surat dari keluarga jauh yang bertugas dengan Kereta api Tanah Melayu di Prai dalam bahagian bengkel.

Dalam surat itu Mat Prai (nama timangan yang digunakan untuk keluarga jauh itu) mengundang Datuk sekeluarga ke rumahnya.

Saya bagaikan tidak percaya, bila Datuk menyatakan yang dia mahu memenuhi permintaan Mat Prai.

Setahu saya hubungan Datuk dengan Mat Prai tidak seakrab atau semesra hubungan dengan saudara mara yang lain.

"Kenapa tiba-tiba awak nak pergi?" soal nenek.

"Kalau fikirkan perangai serta perbuatannya pada adik-adiknya, saya memang tak mahu pergi."

"Tapi sekarang kenapa beria-ia nak pergi?" desak nenek lagi.

"Ada tiga sebab, pertama aku tak mahu dia anggap aku memulaukannya. Kedua, aku mahu merapatkan kembali hubungannya yang renggang. Ketiga, dia sudah mengalah dengan menulis surat kepadaku dan aku kira dia dalam kesusahan sekarang, tak usah halang aku nak pergi," Datuk memberikan keputusan muktamad.

Nenek hanya angguk kepala sambil tersenyum mengakhiri dialog kecil antara keluarga pada petang di meja makan.

Nenek terus menyatakan, yang dia tak mahu ke Prai kerana urusan binatang ternakan ayam, itik dan kambing serta kerbau.

Selain dari itu nenek sudah tidak berdaya untuk duduk di bangku kereta api, bas atau teksi lebih dari setengah jam.

Lebih dari masa itu, pasti nenek mengalami sakit pinggang dan dalam tempoh dua puluh empat jam seluruh sendinya akan mengalami bengkak.

Nenek juga akan mengalami kesukaran membuang air kecil dan air besar Dan Datuk dapat menerima alasan itu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 106/284

BACA: SBDJ Siri 105: Mandi Di Ambang Pintu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com