Perjanjian Jin Saka

Suatu hari pada penghujung tahun 2005, saya diminta oleh abang saya iaitu Ustaz Amir Hamzah yang bekerja di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bintulu untuk menyampaikan sebuah ceramah agama berkenaan dengan tajuk Isra' Mikraj.

Perjanjian Jin Saka
Gambar hiasan.

Beliau meminta saya untuk menggantikan seorang ustaz yang tidak dapat hadir untuk memenuhi undangan ceramah tersebut kerana kebetulan pada masa yang sama juga ustaz tersebut juga mempunyai program ceramah Isra' Mikraj di Masjid Daerah Bintulu.

Ceramah tersebut dijadualkan pada hari sabtu iaitu selepas solat maghrib dan kebetulan pada hari sabtu tersebut saya tidak mempunyai sebarang aktiviti.

Saya tiada masalah untuk menerima jemputan tersebut kerana pada awal-awal saya terjun ke dunia rawatan Islam ini, pihak JAIS Bintulu banyak membantu saya dalam urusan-urusan memperkenalkan rawatan Islam Ruqyah Syar'iyyah kepada masyarakat Bintulu pada penghujung tahun 2004 dahulu melalui Ustaz Rafaee.

Saya dimaklumkan oleh Ustaz Amir bahawa ceramah tersebut akan diadakan di sebuah surau di sebuah kawasan ladang kelapa sawit.

Lebih kurang dalam tiga jam perjalanan dari rumah ibu saya. Kawasan ladang tersebut terletak di jalan Bintulu-Miri yang lama.

Seingat saya perjalanan tersebut akan melalui jalan Bintulu-Miri. Kemudian masuk ke sebuah simpang menggunakan jalan yang berbatu-batu serta selekoh yang tajam dan dikelilingi oleh ratusan pokok kelapa sawit.

Tepat pada hari yang dijanjikan iaitu pada hari sabtu, lebih kurang dalam pukul 2.00 petang saya telah dijemput oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam. Penuh berlumpur dan banyak kesan calar.

Bunyi enjinnya juga agak kasar. Saya perhatikan dengan senyuman apabila kereta tersebut berhenti betu-betul di hadapan rumah ibu saya.

"Assalamualaikum. Ni Ustaz Malik ke?" kata seorang lelaki dalam lingkungan 50an.

Turun dari kereta tersebut dan memberi salam serta menghulurkan tangan kepada saya. Saya sambut salam tersebut.

"Waalaikumsalam. Ya. Saya Malik. Ustaz Malik boleh dan Cikgu Malik pun boleh."

Saya ketawa kecil sambil tersenyum dan memandang dengan tepat ke arah lelaki tadi.

"Saya Tuan Johari. Penyelia ladang tempat ustaz nak bagi ceramah nanti."

Kebiasaannya ladang-ladang kelapa sawit di Sarawak ini pengurus dan penyelianya kebanyakannya adalah dari Semenanjung Malaysia.

Ada yang membawa bersama keluarga mereka ke Sarawak dan ada pula yang meninggalkan keluarga mereka di kampung halaman dan sekali sekala balik ke Semenanjung untuk melepas rindu.

Tuan Johari ketika itu kelihatan segak dengan berseluar jeans dan berkemeja putih serta berkasut hitam. Sedangkan saya berbaju melayu hitam dan berselipar jepun serta berkopiah putih.

Sebenarnya saya tidak selesa kalau menggunakan baju melayu atau jubah. Bersongkok atau berkopiah. Rimas.

Berbeza dengan abang saya iaitu Ustaz Amir yang sentiasa kemas dan menjaga penampilan.

"Jom ustaz. Kita gerak sekarang. Insyaallah kalau dalam perjalanan tidak banyak lori mungkin kita akan sampai dalam pukul 5.00 petang. Bolehlah kita solat asar dan berborak-borak dulu sementara menunggu waktu maghrib masuk."

"Ok Tuan Johari. Saya tiada masalah. Ikut keselesaan tuan haji saja."

Perjalanan itu saya mulakan dengan menbaca doa musafir iaitu;

"Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, Maha suci Tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Sepanjang berjalanan tersebut saya dan Tuan Johari banyak bercerita tentang hal agama, ilmu perubatan Islam, politik, hiburan hinggakan berkenaan dengan naik turun harga minyak sawit.

Dalam perjalanan ini juga kami dihiburkan dengan lagu-lagu love song dari cd yang dimainkan oleh Tuan Johari semasa di awal perjalanan tadi.

Setelah asyik melayan beberapa buah lagu Tuan Johari akhirnya memulakan perbualan;

"Ustaz, sebenarnya ada sesuatu yang saya nak mintak tolong dari ustaz. Itupun kalau ustaz sudi nak tolong saya."

"Ada nak mintak tolong apa tuan?" tanya saya sambil memandang Tuan Johari.

Tuan Johari terus memandang dan merenung ke depan. Untuk seketika Tuan Johari diam membisu. Agak lama juga.

Saya perhatikan Tuan Johari sedang memikirkan sesuatu yang seolah-olah sedang membelenggu jiwanya.

Kemudian Tuan Johari memandang kembali ke wajah saya seketika dan mengusap-usap janggutnya yang mulai memutih.

"Ustaz percaya tidak dengan jin, hantu, syaitan dan semua-semua ini?"

"Saya percaya tuan bahkan di dalam Islam kita wajib percaya akan wujudnya syaitan dan iblis laknatullah ini."

Kemudian saya bacakan Surah An Naas.

"Katakanlah: "Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Dari (golongan) jin dan manusia." (An Naas: 1-6)

Kemudian saya terangkan serba sedikit tentang Surah An Naas ini kepada Tuan Johari.

"Saya faham ustaz. Terima kasih."

Sambil Tuan Johari mengangguk-angguk tanda faham.

Lori yang bertentangan arah terus bergerak laju tanpa memperdulikan kenderaan yang lebih kecil di sebelah tepi.

Debu-debu kering juga yang berterbangan menganggu pemandangan kereta kami dan ada kalanya Tuan Johari memperlahankan kenderaannya kerana pandangan tidak jelas ketika itu.

"Ustaz. Boleh tak kalau saya nak mintak tolong. Itupun kalau ustaz berkelapangan."

"Nak mintak tolong apa tuan?"

"Macam ni ustaz. Rumah tempat saya tinggal di ladang ni terletak di atas bukit. Berjauhan dengan rumah-rumah asrama pekerja kami. Saya tinggal bersama isteri dan anak bongsu kami. Namanya Suraya."

Kemudian Tuan Johari menambah;

"Sebenarnya kami mempunyai tiga orang anak. Suraya tinggal bersama kami dan yang dua orang lagi abangnya menetap di rumah kami Johor Bahru. Yang sulung lelaki namanya Saiful Adli. Sudah berkeluarga. Bekerja sebagai pegawai di sebuah institusi kewangan dan seorang lagi bernama Syazwan dan masih menuntut di universiti."

Tuan Johari meneruskan kata-katanya sambil sesekali memperbetulkan kedudukan spek mata hitamnya.

"Ustaz boleh tak tolong-tengok-tengokkan anak saya ustaz. Perangainya agak berlainan. Saya sudah membawa pergi ke hospital bahkan kami pernah hantar anak kami ke hospital pakar di Semenanjung tapi masih juga tak sembuh-sembuh.

"Saya dah lama berputus asa ustaz. Tetapi apabila teringat Ustaz Amir bagitau yang ustaz pandai mengubat, lalu saya mula terbuka hati berusaha untuk mengubati penyakit anak saya semula.'

"Berapa lama sudah anak Tuan Johari sakit?"

"Lama juga ustaz. Lebih kurang dalam 5 hingga 6 tahun. Masa tu anak saya sedang menunggu keputusan ujian UPSR. Pada awalnya kami membawanya balik ke rumah mak mertua saya untuk bercuti. Kebetulan mak mertua saya sedang sakit tenat lalu kami datang untuk berziarah dan bermalam di sana. Ketika itu mak mertua saya dah sakit lebih kurang dalam tiga tahun. Suraya ni dah 17 tahun umurnya sekarang."

"Lepas tu tuan? Apa yang terjadi?"

"Kalau siang mak mertua saya terbaring saja di atas katil. Yang peliknya selepas azan maghrib mak mertua saya akan menjadi sihat. Makan, minum, mandi, kadang-kadang mengemas rumah, memasak dan sebagainya.

"Tetapi selepas azan isyak berkumandang, mak mertua saya akan baring balik di atas katil. Mukanya mendongak ke atas. Mata sekali sekala saja berkelip. Memandang sekeliling.

"Kadang-kadang dia tersenyum, kadang-kadang ketawa dan kadang-kadang merintih. Seram bunyinya ustaz."

"Pelik jugak kes mak mertua Tuan Johari ni."

"Setahu saya mak mertua saya pernah diganggu jin saka peliharaan keluarga mereka secara turun-temurun. Mak mertua saya adalah pemilik keturunan saka yang keempat. Entah siapa keturunan kelima saka ini.

"Kalau Suraya tadi tidak mungkin ustaz sebab dia keturunan yang keenam. Takkan saka ni nak melangkah dari keturunan ke empat terus keenam."

"Mungkin betul tuan. Kita harap penyakit Suraya ni bukan disebabkan saka. Tetapi kalau betul-betul saka, dari segi adabnya Suraya akan mengalami masalah sepanjang hidupnya. Melainkan Allah menghulurkan perlindungan kepadanya," jelas saya.

"Saya masih teringat lagi. Masa kat kampung mak mertua saya, Suraya sedang bermain-main di tangga rumah ketika remang-remang senja. Saya panggil Suraya tadi utuk naik ke atas.

"Suraya lepas tu datang dan duduk di sebelah saya. Mak Mertua saya yang sakit tiba-tiba keluar dari bilik dan duduk di ruang tamu sambil memandang saya dengan senyuman tajam."

"Saya agak risau pada masa tu. Kemudian mak mertua saya tiba-tiba sahaja memanggil Suraya untuk duduk sebelahnya.

"Suraya menganguk-anggukkan kepala lalu melompat duduk di riba mak mertua saya. Saya lihat mak mertua saya seperti membisikkan sesuatu ke telinga Suraya. Suraya cuma untuk mendengar dengan teliti. Selepas itu Suraya terus tertidur."

"Saya kehairanan kenapa Suraya yang sedang aktif bermain tadi tiba-tiba boleh terus saja tertidur layu dalam dakapan ibu mertua saya. Sedangkan dia baru lepas bermain dan berlari di halaman rumah.

"Biasanya kita perlu masa yang agak sedikit lama untuk boleh melelapkan mata. Tetapi tidak bagi Suraya. Selepas mendengar bisikan neneknya Suraya terus tertidur."

Kemudian kami terdiam. Saya tidak memberi sabarang jawapan. Cuma meneliti permasalahan ini kalau-kalau ada unsur-unsur gangguan jin.

Setelah dua jam perjalanan kami telah sampai ke simpang ladang tersebut. Dari simpang jalan utama masuk ke kawasan ladang tersebut pula akan mengambil masa selama lebih kurang satu jam lagi perjalanan.

Mata saya mula mengantuk. Bila-bila masa sahaja saya boleh melelapkan mata. Tuan Johari saya biarkan saja melayan fikirannya.

Perjalanan mula rasa tidak selesa akibat tayar kereta yang dinaiki saya melanggar batu-batu yang agar besar.

Tuan Johari sesekali memperlahankan keretanya dan kadang-kadang menyapa pekerja-pekerja yang ada di sekitar kawasan ladang.

Mata saya semakin layu. Pendengaran saya semakin samar dan akhirnya saya tertidur tanpa memperdulikan apa yang berlaku disekeliling.

Ketika sedang tidur saya telah bermimpi. Keadaan ketika itu sangat gelap. Saya berada di suatu tempat yang sangat asing bagi saya. Saya berada di hadapan sebuah pokok yang sangat besar dan rendang.

Pokok tersebut kelihatan sangat tua. Di sekitar pokok tersebut dikelilingi oleh puluhan kubur-kubur lama berdasarkan kayu nisannya.

Agak pudar, ada yang telah reput, ada yang telah hancur berkecai dan ada yang seperti dikorek oleh sesuatu.

Saya amati di sekeliling saya. Ketika itu saya berada di dunia yang sangat-sangat asing.

Saya perhatikan di sebelah kiri pokok besar tersebut ada sebuah kolam kecil. Ukuran bulatan sebesar setengah gelanggang sepak takraw.

Saya cuba mendekati kolam tersebut dan cuba untuk masuk ke dalamnya.

Kedalaman kolam tersebut cuma sebatas paras betis sahaja. Warnanya agak kemerah-merahan dan berbau hanyir.

Tekak saya merasa loya dan ingin muntah tapi saya sedaya upaya untuk menutup mulut.

Tiba-tiba kepala saya merasa pening dan saya berusaha cuba untuk beredar dari kolam berkenaan.

Dengan tidak semena-mena saya rasakan yang kaki kanan saya tersekat. Seperti ditarik dan ditahan oleh sesuatu.

Saya memandang ke bawah dan saya terkejut kerana sepasang tangan yang berbulu dan berkuku panjang mengenggam pergelangan buku lali kanan saya.

Saya seakan-akan tidak berdaya. Badan terasa semakin lemah. Kemudian saya rasa seperti ada lembaga yang tiba-tiba muncul dari arah sebelah belakang.

Saya tidak berani untuk menoleh. Dalam hati saya hanya berserah kepada Allah sahaja.

Saya mula terdengar seperti bunyi beberapa orang bercakap-cakap dari arah belakang dengan bahasa yang kadang-kadang jelas kadang-kadang samar-samar. Sesekali mereka menyebut juga nama saya. Jelas kedengaran suara perempuan tua.

"Malik..hihihihihihi..."

"Budak inilah ke yang datang nak ganggu tuan aku. Hehehe..."

"Mungkin dia belum kenal aku siapa. Hihihi..."

Bulu roma saya meremang. Bunyi ketawa itu kedengaran semakin dekat dan semakin jelas. Semakin dekat dan semakin jelas.

Saya cuba untuk membaca beberapa ayat Al Quran tetapi tidak berjaya. Mulut seolah-olah terkunci.

Saya dapat rasakan makhluk itu melangkah perlahan-lahan menuju ke arah saya.

Terasa seperti hembusan nafas lembaga tersebut menyentuh di belakang kulit telinga saya yang sejuk kerana dinginnya suasana ketika itu.

Saya berusaha untuk menguatkan hati, mengawal ketakutan dan menguatkan semangat untuk menoleh ke arah belakang bagi memastikan siapa dan apakah lembaga yang tiba-tiba muncul tersebut.

Dalam keadaan menggenggam penumbuk, saya cuba untuk menguatkan tekad, dalam hitungan ketiga saya akan berusaha untuk menoleh ke belakang, menumbuk dan menendang apa sahaja yang ada di hadapan saya.

"Satu..."

"Dua..."

"Dua suku..."

"Dua setengah..."

"TIGA..."

Sepantas kilat saya memusingkan badan ke arah sebelah kanan dan cuba untuk menumbuk lembaga tersebut.

Ternyata usaha saya sia-sia sahaja kerana tumbukan padu saya cuma menyentuh angin sahaja. Saya perhatikan tiada siapapun yang berada di situ.

Dan ketika saya berpaling arah ke sebelah kiri, tiba-tiba saya terkejut kerana di hadapan saya, wajah saya betul-betul sedang bertemu dengan wajah seorang perempuan tua yang hodoh yang tiba-tiba muncul.

"Allahu Akhar."

Laungan kalimah Allah keluar secara spontan dari mulut saya. Wajahnya penuh dengan lendir-lendir yang berwarna kehijauan.

Sepasang bebola matanya sebesar genggaman tangan lelaki dewasa.

Merenung tepat ke arah muka saya sambil lidahnya yang berlubang-lubang itu terjelir keluar lalu menyentuh wajah saya. Rasa geli dan lemas ketika itu.

Pakaian yang digunakan oleh perempuan itu seperti pakaian dayang-dayang istana dalam filem bangsawan lama. Cuma jelas kelihatan koyak, kotor, busuk dan penuh dengan ulat-ulat bangkai.

Sebelah tangan kirinya saya lihat sedang memegang sebuah tali yang biasanya digunakan oleh petani untuk menambat lembu. Tetapi berwarna hitam dan berkilat.

Pada hujung tali tersebut kelihatan seorang perempuan muda yang diikat pada lehernya dan sedang duduk.

Lidahnya terjelir keluar juga. Terungap-cungap sepeti ikan yang berada di atas darat.

Tangan dan kakinya juga terikat sama. Memandang terus ke atas dan seperti orang yang sedang berkhayal.

Apa yang dapat saya gambarkan adalah perempuan tua itu seolah-olah membawa dan mengherat perempuan muda itu ke mana-mana sahaja dia pergi.

Seperti seseorang yang sedang membawa anjingnya berjalan-jalan sambil leher anjingnya diikat dengan tali agar tidak terlepas dan lari.

Saya kuatkan semangat. Meminta pertolongan kepada Allah sambil membaca ta’awwudz.

"A'udzubillahi minasy syaitaanir rojim."

Dan saya mulakan dengan membaca beberapa ayat-ayat ruqyah.

"Afa hasibtum annama khalaqnaakum 'abasa wa antum ilaina la turja'un. Fata'alallaahul malikul haqqu. La ilaha illahu 'alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul 'arsyil kariiim."

Maksudnya; "Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?)" (Surah Al Mu'minun: 115)

Saya mengumpul seluruh sisa kekuatan yang ada pada diri saya dan cuba untuk menendang perempuan tua yang betul-betul berada di hadapan saya tadi.

Saya tutupkan mata dan melakukan sebuah tendangan.

"Gedengang..."

Saya berharap tendangan saya itu betul-betul hinggap ke arah dada perempuan tua itu.

Tiba-tiba;

"Ustaz... ustaz.."

"Ustaz kena rasuk ke? Jangan dulu ustaz. Nanti-nantilah ustaz kena rasuk..."

"Nanti tak ada pulak orang yang bagi ceramah ustaz."

Saya membuka mata. Ternyata saya sedang bermimpi.

"Astaghfirullahal'azhim."

Dada saya masih lagi berdegup kencang. Saya mengusap-usap mata saya dengan agak kasar, menampar-nampar pipi dan menarik-narik janggut saya supaya rasa mengantuk tadi hilang.

Saya melihat Tuan Johari agak bimbing melihat saya. Dia menawarkan saya sebotol air. Saya buka tudung botol tersebut dan terus meneguk dengan perlahan-lahan.

"Ustaz, air itu bukan untuk diminum. Tapi untuk ustaz cuci kaki."

"Kenapa pulak nak cuci kaki?"

"Supaya kalau ustaz tidur lagi ustaz tak mengigau dah."

Saya merenung Tuan Johari sambil tersenyum manakala Tuan Johari pula tersengih-sengih.

"Boleh tahan jugak gurauan orang tua ni," ujar saya di dalam hati.

Saya tidak tahu apakah logiknya Tuan Johari berkata demikian. Mungkin itu salah satu kepercayaan dia atau mungkin sebagai sebuah gurauan kasar.

Saya perhatikan 'dashboard' kereta Tuan Johari terbuka. Barang di dalamnya berserakan dan terjatuh ke bawah lantai kereta.

"Ustaz yang tendang tadi. Ustaz mengigau agaknya."

Saya kutip kembali surat-surat dan apa saja yang ada di lantai dan memasukkan kembali ke dalam 'dashboard'.

Kemudian kami berborak-borak untuk mengilangkan rasa bosan. Tidak lama kemudian kami sampai juga di kawasan ladang tersebut.

Mula-mula kami lalu di kawasan asrama tempat tinggal pekerja. Ada lebih kurang empat blok kesemuanya.

Ada yang sedang bermain bola tampar dan ada yang duduk-duduk sahaja. Kaum ibu-ibu pula sibuk berkongsi cerita sesama sendiri kelihatan anak-anak kecil berkeliaran dan berlari bersama kawan-kawan.

Kemudian kami tinggalkan mereka dan menuju ke pejabat Tuan Johari.

Pejabat Tuan Johari agak ringkas. Cuma yang ada di atas meja adalah sebuah computer, beberapa dokumen dan terselit di tepi meja Tuan Johari adalah gambar beliau dengan isteri dan ketiga-anak-anak mereka.

Saya amati gambar tersebut. Muncul sebuah pertanyaan dalam diri saya.

"Ni gambar Tuan Johari sekeluarga ke?"

"Haah.. Ni gambar tahun lepas. Kat airport Bintulu. Masa kedua-dua anak lelaki saya di Johor datang bercuti ke sini."

"Yang perempuan yang berkerusi roda ni anak bongsu Tuan Johari ke? Yang sakit tu?"

"Ya ustaz. Anak yang cantik. Tapi sekarang ntahlah."

Sesalan mula wujud pada wajah Tuan Johari.

"Tuan. Anak tuan yang inilah yang saya lihat di dalam mimpi saya tadi semasa kita dalam perjalanan ke sini."

"Ye ke ustaz? Macamana rupa anak saya ustaz?"

"Biasa-biasa je tuan."

"Takdelah tuan. Saya bergurau sahaja."

Saya cuma mampu untuk merahsiakan apa yang saya alami tadi. Suraya yang saya lihat di dalam mimpi tadi sedang terikat lehernya dan ditarik serta dipimpin oleh lembaga perempuan tua yang mengerikan.

Lama juga saya terfikir apakah maksud semua ini. Saya berdoa kepada Allah supaya memudahkan urusan Tuan Johari sekeluarga dan semoga Allah memberi ilham serta petunjuk kepada kami mengenai gangguan pada Suraya.

Selepas itu kami pergi ke surau untuk solat asar berjemaah kerana jam sudah menunjukkan pada pukul 5.00 petang.

Tuan Johari kemudiaanya mengajak saya untuk pergi ke rumahnya. Saya menolak dengan cara baik.

Biarlah Tuan Johari berehat sebentar di rumah dan kemudian bersiap-siap untuk pergi ke surau untuk solat berjemaah dan mendengar ceramah agama.

Sementara itu, selepas solat asar saya habiskan masa untuk membaca zikir Al Ma'tsurat.

Semasa di Madrasah Al Quran Kampung Baru Bintulu dulu kami diwajibkan untuk menghafal zikir-zikir ini.

Alhamdulillah zikir ini telah menjadi lafaz harian kami pada waktu pagi dan petang.

Tidak beberapa kemudian surau mula didatangi dan dipenuhi dengan para jemaah untuk sama-sama mendirikan solat maghrib.

Ketika azan dikumandangkan saya lihat Tuan Johari dan beberapa orang pegawai telah datang.

Berdasarkan pakaian mereka mungkin mereka ini adalah di antara bos-bos besar dan penyelia di ladang ini.

Saya menolak secara baik untuk menjadi imam solat maghrib ketika diminta oleh para makmum untuk menjadi imam.

Kelihatan seorang lelaki muda, berjubah putih dan berserban mengambil tempat di hadapan dan kami memulakan solat magrib bersama-sama.

Imam itu saya lihat adalah sangat-sangat tawaddu'. Sangat-sangat merendah diri dan dihormati oleh jemaah surau. Mungkin dialah imam surau ini.

Selepas menunaikan solat maghrib, kami berwirid bersama-sama. Kemudian saya dijemput oleh Tuan Johari untuk menyampaikan kuliah maghrib sempena Peristiwa Isra' Mijraj.

Kuliah saya sekitar lebih kurang satu jam sahaja dan selepas itu kami solat isya berjemaah.

Sebelum pergi ke rumah Tuan Johari saya dijemput untuk makan malam bersama-sama ahli jemaah surau.

Mereka menghidangkan kepada kami nasi briyani ayam kari dan beberapa lauk-pauk yang lain.

Saya makan sekadarnya sahaja kerana sudah menjadi kebiasaan bagi kami, sebelum memulakan rawatan kami lebih suka untuk tidak berada di dalam keadaan terlalu kenyang. Nanti timbul pula rasa tidak selesa semasa merawat pesakit.

Selepas selesai semuanya, Tuan Johari mengajak saya untuk pergi ke rumahnya. Jam telah menunjukkan pada pukul 9.00 malam.

Saya diberitahu oeh Tuan Johari bahawa kami akan ditemani oleh dua orang lagi pekerjanya bagi membantu apa-apa saja yang saya perlukan nanti.

Perjalanan ke rumah Tuan Johari cuma mengambil beberapa minit sahaja. Sekitar 400 meter.

Cuma keadaan jalan yang gelap, berlubang dan berbatu bersaiz besar menyukarkan kereta Tuan Johari untuk bergerak pantas.

Saya duduk di bahagian hadapan. Saya memandang ke arah luar. Sunyi dan gelap.

Saya cuma diam sahaja ketika Tuan Johari bual-bual bersama pekerjanya. Ketika itu saya mula membaca ayat-ayat Al Quran dan doa pelindung diri dan berserah segalanya kepada Allah.

Dari jauh kelihatan rumah Tuan Johari. Di sekitar situ ada dua buah lagi rumah dengan saiz yang sama.

Tuan Johari memberitahu saya bahawa dua buah rumah itu adalah milik kawannya yang menjadi pengurus di ladang tersebut. Kami berhenti betul-betul di luar pagar.

Sementara menunggu pekerjanya membuka pagar, Tuan Johari sekali lagi meminta saya untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh anaknya.

"Insyaallah tuan. Kita usaha dan serah kepada Allah. Saya tidak berani untuk memberi jaminan yang anak tuan boleh sembuh. Semua kesembuhan adalah milik Allah."

"Iya ustaz. Saya paham. Kita usaha mana-mana yang boleh dulu."

"Baik tuan."

Kereta yang kami naiki mula masuk ke perkarangan rumah. Di hadapan kami tersergam rumah yang besar. Tetapi suram dan sepi.

Saya turun dari kereta dan memandang ke arah rumah tersebut. Tiba-tiba pintu dibuka oleh seseorang.

Saya tidak pasti siapa tetapi keadaannya samar-samar. Sekali imbas sama seperti perempuan tua yang saya jumpa di dalam mimpi.

Setelah mematikan kereta, Tuan Johari keluar dan mengajak kami berjalan ke arah pintu rumah sambil Tuan Johari mengeluarkan kunci rumah dari poket seluarnya. Ternyata pintu rumah Tuan Johari tadi sedang tertutup.

Saya terdiam. Saya tidak tahu adakah Tuan Johari dan dua orang pekerja tadi perasan atau tidak yang pintu telah dibuka oleh seseorang.

"Ada siapa-siapa lagi yang tinggal di dalam tuan?"

"Takde ustaz. Cuma kami tiga beranak sahaja," jawab Tuan Johari menjemput kami masuk sambil membuka pintu.

"Assalamualaikum," saya memberi salam.

Kami melangkah masuk ke dalam. Tuan Johari menjemput kami untuk duduk di ruang tamu dan kemudian beliau meminta izin untuk naik ke tingkat atas.

Sementara itu saya dan kedua orang pekerja Tuan Johari berborak-borak kosong sementara menunggu Tuan Johari turun semula ke bawah.

Setelah beberapa minit Tuan Johari turun semula ke tingkat bawah dan mempelawa kami untuk naik.

"Jom naik ustaz."

"Baik tuan. Jom."

Kemudian saya mempelawa dua orang pekerja Tuan Johari untuk naik sama. Kami naik ke tingkat atas dengan melangkah secara perlahan-lahan.

Sesampainya di tingkat atas kami terus masuk ke bilik Suraya, anak Tuan Johari. Biliknya agak besar.

Katil Suraya kedudukannya di tepi tingkap. Almari baju pula bersandar dan membelakangi katil Suraya.

Suraya terbaring di katil sambil tangan dan kakinya seperti terikat dan cuma memandang ke atas.

"Astaghfirullahal'azim..." saya beristighfar berkali-kali.

Susuk tubuh badan Suraya sama seperti yang saya lihat di dalam mimpi semasa di dalam perjalanan ke ladang petang tadi.

Seperti berada di dalam sebuah kurungan. Sedangkan secara realitinya Suraya cuma berbaring dan kedua tangan dan kakinya dalam keadaan rapat.

Tetapi di dalam mimpi saya Suraya sedang duduk dan tangannya pula terikat.

"Adakah ini Suraya yang muncul di dalam mimpi saya tadi? Adakah mimpi tadi merupakan petunjuk dari Allah?" cetus hati saya dan meninggalkan jutaan persoalan untuk dirungkai.

Suraya yang terbaring di katil sambil ditemani oleh ibunya, Puan Farah.

Saya meminta izin untuk berdiri di sebelah katil Suraya. Semasa saya mendekti katil Suraya, tiba-tiba Suraya tersenyum memandang dan menjeling ke arah saya.

Kemudian saya mulakan dengan membaca beberapa potong dari ayat-ayat Al Quran.

Saya mulakan dengan membaca; "A'udzu billaahi minasy syaitaanir rajim."

Lalu saya membaca; "Bismillahirrahmaanir rahim."

Kemudian saya membaca Surah Al fatihah, lima ayat pertama Surah Al Baqarah dan dua ayat terakhir dari Surah Al Baqarah.

Saya bacakan sambil memerhati pergerakan Suraya. Suraya menatap dengan tajam ke arah saya.

Saya jarakkan sedikit kedudukan dengan mengundur ke belakang sedikit sebagai langkah persediaan.

Kemudian saya membaca ayat Al Quran A n Nisa': 76; "Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah."

Selepas membaca ayat tersebut Suraya kemudiannya menjerit dan tiba-tiba berdiri di atas katil.

Badannya bongkok seperti orang tua. Menjerit dengan suara yang garau. Kemudian melompat ke atas almari.

"Hahahaha... hihihihihi... Manusia bodoh. Jangan kamu cuba pisahkan aku dari Suraya."

"Ya ma'syaral jin (Wahai golongan jin). Siapa kau wahai musuh Allah..?

"Aku adalah penjaga keturunan Suraya ini. Sudah beberapa keturunan aku hidup bersama mereka. Mereka telah menganggap aku sebagai sebahagian dari keluarga mereka dan pelindung keluarga mereka."

"Kau silap wahai syaitan. Sesungguhnya Allah itu adalah sebaik-baik pelindung."

"Hahahaha.. Kalau Allah sebaik-baik pelindung, kenapa mereka ini memelihara Aku. Kenapa setiap tahun mereka memberi Aku makan? Kenapa mereka menunaikan permintaan Aku? Hehehe.. Dan kenapa mereka sanggup serahkan Suraya dan jadikan Suraya sebagai pertukaran?"

Saya terkejut lalu terdiam sebentar. Saya lihat wajah Tuan Johari kelihatan penuh kehairanan.

Begitu juga Puan Farah dan dua orang pekerja mereka. Jelas wujud perasaan takut, terkejut dan risau pada wajah mereka.

"Baik kau turun sekarang wahai syaitan. Sebelum aku naik kat almari tu."

"Kau tahu tak manusia bodoh. Di atas almari inilah tempat aku tinggal selama ini. Setiap hari aku perhatikan Suraya dan dari sinilah aku akan menjaga Suraya seperti mana perjanjian aku bersama moyangnya dahulu. Aku berjalan di sekitar biliknya."

"Aku juga berada di bilik ibu bapanya dan aku terbang di sekitar rumah ini. Mereka tidak tahu. Mereka tidak nampak aku. Aku perhatikan sahaja apabila mereka tidur dan berbual-bual. Kadang-kadang kami makan bersama. Aku makan makanan yang mereka tidak bacakan nama Allah padanya."

"Kadang-kadang aku wujudkan perselisihan pada keluarga ini. Agar mereka memusuhi dan mensyaki segala sesuatu yang tidak ada. Agar mereka saling mendengki dan jauh dari Allah. Kan itu tugas aku dari dahulu? Hahahaha..."

Untuk sementara saya cuba mengagak yang gangguan ini adalah dari saka atau bahasa mudahnya jin keturunan.

Penilaian saya bukan berdasarkan apa yang dikatakan oleh jin tersebut tetapi berdasarkan pada kesimpulan keseluruhan dari tanda-tanda gangguan yang wujud pada keluarga Tuan Johari ini.

Jin Saka ini wujud apabila pada suatu ketika dulu, moyang kita bekerjasama dengan jin untuk menjaga rumah, harta, kebun, keluarga dan sebagainya.

Kemudian saka itu diturunkan dari moyang kita kepada datuk atau nenek kita. Kemudia kepada ibu atau bapa kita, seterusnya turun kepada kita dan akhirnya diwarisi oleh generasi-generasi sesudah kita.

Saka ini sebenarnya ada perjanjian-perjanjian tertentu yang kita tidak tahu kerana itu antara syaitan dan moyang kita terdahulu.

Kebiasaannya keluarga tersebut ada menyimpan barang-barang lama seperti keris, tombak, pasu, azimat, bungkusan tertentu dan sebagainya sebagai tanda-tanda perjanjian tadi.

Tidak pernah sedikitpun yang jin saka ini akan melindung kita bahkan keluarga yang memiliki saka ini akan mengalami masalah yang tidak pernah akan putus-putus selamanya.

Dalam kes-kes tertentu saka ini akan meminta balasan yang tidak diketahui permintaannya oleh keluarga mangsa sebagai konon-kononnya telah menjaga keluarga tadi.

Kami terus memerhati pergerakan Suraya tadi.

"Oklah. Kalau kau tak nak turun sekarang, aku akan baca lagi ayat-ayat Al Quran."

Kemudian saya teruskan dengan membaca Surah Kursi dan Surah An Nisa: ayat 56; "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)." (Al Baqarah / Surah Kursi: 225)

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (An Nisa: 56)

Syaitan yang berada di dalam badan Suraya tadi menjerit. Jeritannya terasa menusuk ke lubang telinga.

Kami menutup telingan kerana bunyi jeritan itu saya agak boleh sahaja memecahkan gegendang telinga kami.

Kemudian saya kuatkan bacaan Al Quran dengan tanpa memperdulikan Suraya menjerit-jerit kesakitan. Sekejap menangis, sekejap ketawa sambil menunjuk-nunjuk ke arah saya.

"Ukhruj Ya "aduwallah. Keluarlah wahai musuh Allah. Ukhruj ya syaitan. Keluarlah wahai syaitan."

Dengan tidak semena-mena Suraya terus melompat dari atas almari ke arah katil di hadapannya.

"Gedengang."

Kami semua terkejut dan terpaku. Kedua-dua orang pekerja Tuan Johari tadi menjerit dan memegang bantal sambil menutup kepala mereka. Menjerit dan lari ke tingkat bawah.

Saya pun tidak faham kenapa mereka berkelakuan seperti itu. Mungkin takut. Dan saya pun tidak tahu dari mana mereka dapat bantal tersebut.

Bunyi jeritan mereka hingga keluar rumah. Saya rasa mereka berdua lari balik ke asrama pekerja.

Asalkan jangan lari dan masuk ke dalam kebun-kebun sawit pada malam yang suram dan menyeramkan ini sudahlah.

Kedua-dua kaki katil di sebelah hadapan telah patah akibat dari lompatan Suraya tadi.

Suraya berdiri sambil menari-nari. Kami bergerak mundur sedikit ke arah belakang.

Suraya kemudiannya melompat dari katil dan berjalan menuju ke arah Puan Farah sambil tersenyum dan tunduk.

"Sudah lama aku tidak bersua dengan kamu. Aku sudah lama kelaparan. Kenapa kau tidak lagi memberi makan kepada aku wahai Farah. Kan engkau ini adalah ibu kepada tuan aku. Berilah aku makan. Nanti Suraya aku akan jaga. Sampai dia mati. Hihihihi..."

Saya dan Tuan Johari tergamam. Masih tidak mengerti dan samar-samar. Kenapa jin yang merasuk Suraya berkata seperti itu.

Selepas itu Suraya berpaling kepada Tuan Johari dan berlari menuju ke arah Tuan Johari sambil tangannya lurus ke hadapan.

Mungkin kerana terkejut Tuan Johari jatuh tersandung ke belakang ketika cuba untuk mengelak dari serangan Suraya.

Ketika Tuan Johari jatuh terlentang, Suraya lantas melompat ke atas badan Tuan Johari lalu mencekik Tuan Johari sambil membenamkan kukunya yang tajam ke leher Tuan Johari.

"Ya Allah. Aduh. Sakitnya..." jerit Tuan Johari.

Di dalam keadaan kelam kabut seperti itu saya segera menerpa ke arah Suraya dari arah belakang dan cuba untuk menariknya.

Suraya sedikitpun tidak bergerak. Kemudian Suraya secara perlahan-lahan berpaling ke belakang dan merenung tajam ke arah saya sambil tersenyum.

"Kau nak mati jugak ke bodoh?"

Saya buat-buat tak tahu. Kemudian saya merenung tingkap bilik.

"Kalau apa-apa berlaku aku akan lari dan terjun dari tingkap dulu," bisik saya di dalam hati.

Tuan Johari masih lagi menahan kesakitan dan cuba untuk menarik genggaman tangan Suraya.

Dalam keadaan tegang seperti itu saya cuba untuk tenangkan diri. Ketika itu saya berserah kepada Allah.

Saya bacakan sebuah ayat Al Quran; "(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqqum (buahnya) menjadi makanan bagi orang-orang yang berdosa (dalam neraka), makanan ini pula panas, seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya." (Surah Ad Dukhan: 43-46)

Dengan tidak semena-mena Suraya menjerit-jerit dan suaranya memenuhi segenap ruang-ruang bilik.

Saya bacakan ayat-ayat tadi berulang-ulang kali sehingga dengan izin Allah saya lihat Suraya mula menjadi lemah, terhoyong-hayang dan akhirnya pengsan.

Tuan Johari bingkas bangun lalu memeluk Suraya. Darah masih lagi keluar dari celah-celah leher Tuan Johari sehingga baju Tuan Johari mula kelihatan beberapa tompok-tompok kemerahan akibat dari kesan darah tersebut.

Saya minta Tuan Johari baringkan Suraya di hadapan kami.

Ibu Suraya, Puan Farah masih berdiri agak sedikit jauh dari kami. Menangis sambil mengelapkan air matanya.

Saya minta Puan Farah untuk datang ke arah kami untuk memperbetulkan baju Suraya.

Tangan dan kaki Suraya saya lihat tidak seperti sebelum ini. Tidak lagi seperti seorang yang sedang diikat kaki dan tangannya. Suraya berbaring lemah.

Selepas itu saya perhatikan Suraya mula membuka matanya.

"Ayah.. Mama.. Suraya haus.."

Puan Farah mengeluarkan sebotol air minuman dari dalam beg. Tak tau pulak saya ada air di dalam beg Puan Farah.

Mungkin sesetengah orang suka untuk membawa air botol di dalam beg mereka.

Puan Farah kemudiannya membuka tudung air botol tersebut dan menuangkan sedikit-demi sedikit air ke dalam mulut Suraya.

Suraya minum dengan perlahan. Kemudian saya mengajar Suraya untuk beristighar.

"Suraya ikut ustaz baca ok? Astaghfirullaahal 'Adziim.."

Suraya mengangguk dan mengikuti bacaan saya secara perlahan-lahan.

"Astaghfirullaahal 'Adziim.. "Astaghfirullaahal 'Adziim.. "Astaghfirullaahal 'Adziim.."

Suraya kemudian diam dan memandang ayah dan ibunya.

"Suraya kenapa Ayah.. Mama..?

"Suraya sakit," jawab Tuan Johari.

"Suraya di mana sekarang?"

"Di rumah kita nak."

"Suraya dan tak tahan lagi Mama.."

Ibu Suraya saya lihat kembali menitiskan air mata. Cuma sekarang lebih sayu.

"Bertahanlah nak. Insyaallah nanti Ayah usahakan untuk bantu Suraya ok?" sahut Tuan Johari.

Tiba-tiba Suraya diam dan memandang ke atas. Bebola matanya kembali tajam dan tersenyum memandang kami.

Saya minta ke pada Tuan Johari dan Puan Farah untuk menahan kedua belah tangan Suraya sebagai langkah berjaga-jaga.

Tiba-tiba Suraya kembali mengilai.

"Hihihihihi... Kenapa kamu seksa aku wahai manusia. Aku tiada urusan dengan kamu."

"Kenapa kau ganggu Suraya. Kenapa kau tak lepaskan sahaja dia?" tanya saya.

"Hahahaha.. Aku sakit. Aku terseksa apabila engkau bacakan ayat Al Quran. Tapi aku telah terikat dengan perjanjian ini. Aku sanggup mati di dalam badan Suraya."

"Kau boleh keluar dari badan Suraya dan pergi ke mana-mana. Tapi kenapa kau datang lagi syaitan?"

"Sudah aku katakan tadi. Aku telah terikat dengan perjanjian. Aku tidak dapt keluar hinggalah perjanjian ini terbatal dan aku akan terlepas dari semua ini dan selepas itu aku tiada lagi urusan dengan keluarga ini."

"Perjanjian yang bagaimana?" tanya saya.

"Kamu tidak perasan ke yang ibu Suraya dari tadi cuma berdiam diri? Kenapa tidak bertanya saja kepada dia. Dialah punca semua ini. Dialah yang memberi makan kepada aku selama ini. Tengoklah di belakang rumah kamu. Di bawah pohon besar di belakang ada banyak makanan yang disediakan untuk dijamukan kepada aku. Hahahaha.."

"Selagi permintaan aku dimakbulkan maka selagi itulah Suraya akan menjadi hamba aku selamanya. Hahahahaha.."

Suraya yang terbaring lesu ketika itu mula menggenggam tangannya. Tiba-tiba kaki dan tangannya seperti terikat semula.

Sama seperti ketika kali pertama saya melihat Suraya. Saya terkenang kembali mimpi saya. Dialah Suraya yang saya lihat di dalam mimpi saya tadi.

Dan perempun tua hodoh tersebut mungkin jin saka peliharaan keluarga Puan Farah.

Akhirnya Suraya memandang ke atas dan terus tersenyum. Kembali semula kepada keadaan asal. Seolah-olah diikat oeh sesuatu. Selepas itu Suraya terus mendiamkan diri.

Saya dan Tuan Johari lantas memandang ibu Suraya. Saya menjadi serba salah.

Kemudian saya matikan perasaan bersalah itu lalu saya bertanya kepada Puan Farah.

"Puan, puan ada apa-apa tak nak diberitahu tak?"

Puan Farah serba salah. Diam dan seperti sedang menyembunyikan sesuatu dari kami.

"Sayang, bagitau kat Abang apa semuanya yang dah berlaku. Demi kebaikan anak kita Suraya."

"Abang. Sebelum tu saya nak minta maaf. Ada benda yang saya tak bagitau abang sebelum ni. Sebenarnya saya yang mintak kepada mak supaya serahkan saka ini kepada Suraya."

"Dulu mak pernah bagitau nak serahkan sakanya kepada saya sebagai pewaris saka keluarga yang kelima. Tetapi saya menolak kerana saya tindak sanggup untuk terseksa. Saya mintak mak serahkan kepada Suraya ketika itu."

"Astaghfirullahal 'azhim. Kenapa sayang buat begitu. Kenapa tak bincang dengan abang. Tengok. Apa dah jadi pada Suraya sekarang. Apa dah jadi pada keluarga kita?"

Tuan Johari mula meninggikan suaranya kepada Puan Farah.

Puan Farah cuma mampu menangis. Saya tidak faham kenapa Puan Farah sanggup menyerahkan Suraya sebagai gantinya.

Sedangkan banyak lagi ikhtiar untuk mengelakkan masalah ini dengan pergi mendapatkan rawatan Islam bagi memutuskan perjanjiaan saka ini.

"Mak setuju untuk menukarkan Suraya sebagai waris yang seterusnya. Sebagai ganti mak meminta saya untuk menyediakan ayam hitam yang disembelih tanpa menyebut nama Allah dan pulut kuning sebagai tanda saya merestui pertukaran ini dan kemudian menyerahkan Suraya sebagai pertukaran perjanjian saka keluarga kami.

"Setiap enam bulan saya akan sediakan semua permintaan ini dan saya letakkan di pohon besar belakang rumah kita.”

Tuan Johari cuma mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Air mata Tuan Johari saya lihat berjatuhan ke lantai.

Mungkin tidak menyangka akan perbuatan isterinya sendiri yang akhirnya mengundang padah yang lebih besar.

"Bila sayang mintak mak serahkan saka ni?"

"Lebih kurang lima enam tahun dulu. Kita balik bercuti ke rumah mak. Abang ada duduk di ruang tamu ketika itu. Mak yang sakit ketika itu tiba-tiba keluar dari bilik dan duduk di ruang tamu sambil memandang abang dengan senyuman tajam."

"Tiba-tiba mak memanggil Suraya untuk duduk sebelahnya. Suraya datang lalu melompat duduk di riba mak.

"Ketika itulah mak membisikkan jampi dan perjanjian ke telinga Suraya untuk menjadi pewaris saka keluarga yang seterusnya.

"Suraya mendengar dengan teliti dan selepas itu Suraya terus tertidur. Ketika itulah saka itu mula tinggal dalam badan Suraya."

"Saya berada di dapur ketika itu bang. Sebelum itu saya di dalam bilik mak untuk memberi mak makan. Mak sangat lemah.

"Ketika itu mak meminta saya untuk mewarisi saka daripadanya. Saya menolak kerana saya tidak sanggup. Saya minta mak serahkan kepada Suraya.

"Tiba-tiba mak dengan matanya yang hampir terbeliak, tersenyum dan bingkas bangun dari katil seperti orang sihat.

"Mak lalu keluar bilik dan pergi mendapatkan Suraya. Kemudian mak serahkan saka ini kepada Suraya. Semua ini saya perhatikan dari dapur."

Tuan Johari saya lihat seperti sedang menahan marah. Lama juga Tuan Johari diam. Saya cuma memerhati sahaja. Bertindak sekiranya perlu sahaja.

Suasana ketika itu agak hening, sunyi dan menyeramkan. Di luar hujan mula turun perlahan-lahan. Angin bertiup sedikit kencang.

Dahan-dahan pokok saling bersentuhan dan menghasilkan bunyi yang menyeramkan.

Terdengar juga seperti suara-suara orang berbisik dan ketawa. Diringi dengan alunan bunyi seolah-olah ada majlis kenduri.

Hingar bingar tetapi agak jauh bunyinya. Semua itu tidak menganggu tumpuan saya.

Akhirnya saya bersuara.

"Puan Farah. Sanggup tak kalau puan putuskan perjanjian ini? Sanggupkah puan jangan lagi memberi makan kepada syaitan yang menganggu keluarga puan selama ini. Sanggup tak puan bertaubat kepada Allah atau semua perbuatan syirik puan selama ni?

"Kalau puan sanggup Insyaallah saya akan bantu Suraya dan keluarga puan untuk memutuskan perjanjian saka ini dan menghilangkan gangguan ini selamanya Insyaallah."

Puan Farah terdiam. Memandang ke arah Suraya dan kemudian menundukkan kepalanya ke bawah.

"Ustaz.."

"Ustaz baliklah. Saya tidak sanggup untuk memutuskan perjanjian ini. Sudah lama saka ini hidup dan tinggal bersama kami. Biarlah Suraya seperti ini selama-lamanya. Bukan mudah untuk memutuskan perjanjian ini.

"Saya akan jaga dia selagi saya masih hidup. Yang penting tugas menjaga saka ini bukan diturunkan kepada saya."

"Astaghfirullahal 'azhim..Farah.."

Tiba-tiba Tuan Johari bingkas bangun lalu menampar wajah isterinya. Saya terkejut dan cuma terpaku melihat apa yang berlaku di depan mata saya. Puan Farah jatuh terlentang betul-betul di sebelah Suraya.

Saya bergegas bangun. Cuba untuk menghalang Tuan Johari sekiranya Tuan Johari ingin bertindak lebih daripada itu.

Dada Tuan Johari seperti ombak. Mungkin kesabarannya selama ini telah sampai ke penghujungnya. Kemudian saya cuba untuk memenangkan Tuan Johari.

"Istighfar tuan. Jangan bertindak melulu. Allah ada. Sabar tuan. Nanti kita selesaikan masalah ini."

Tuan Johari kemudian memandang saya dan menangis.

"Allahu rabbi.. ustaz. Kenapa boleh jadi begini. Kenapa saya perlu hadapi semua ini. Apa dosa saya ustaz.."

Puan Farah masih berada di sisi Suraya. Juga menangis tersedu-sedu. Ketika itu saya memandang Suraya dengan penuh rasa kasihan.

Kenapa di dalam usia mudanya ini dia terpaksa menerima bebanan yang tidak sepatutnya dia tanggung.

Terpaksa melalui jalan yang sukar akibat kebodohan dan kejahilan orang lain.

Suasana suram bertukar sedih dan sayu. Bunyi cengkerik mula kedengaran. Hujan mula berhenti.

Bunyi esak tangisan Puan Farah masih kedengaran tetapi perlahan. Memeluk Suraya yang kembali kaku.

"Ustaz. Saya hantar ustaz balik. Insyaallah nanti saya selesaikan masalah ini."

"Baiklah Tuan. Saya ikut saja apa kata tuan."

Tuan Johari mula melangkah menuju pintu bilik. Saya mengikutinya dari belakang. Saya berhenti sebentar di hadapan Puan Farah.

"Puan, saya balik dulu. Semoga Allah kurniakan kesembuhan kepada Suraya dan melindungi keluarga puan."

Puan Farah terus menangis teresak-esak. Langsung tidak memperdulikan saya. Saya perhati wajah Suraya.

Suraya dari tadi memandang ke atas tiba-tiba memandang saya sambil tersenyum.

Ituah kali terakhir saya melihat wajah Suraya. Hingga sekarang saya tidak pernah berjumpa dengan Suraya lagi.

Sebelum menaiki kereta, Tuan Johari terlebih dahulu mengunci pintu rumahnya. Kami mula menaiki kereta dan singgah ke asrama pekerjanya.

Tuan Johari memanggil dua orang pekerjanya yang kebetulan duduk sambil bermain gitar di luar asrama.

Tuan Johari meminta mereka berdua menemani perjalanan untuk menghantar saya balik ke rumah.

Tiada lagi kelibat dua orang pekerja Tuan Johari yang lari meninggalkan kami semasa di rumah tadi.

Bantal-bantal pun tidak kelihatan sepanjang jalan dari rumah ke asrama. Di mana mereka ketika itu saya pun tidak tahu.

Selepas itu kereta kami pun bergerak sambil membelah kegelapan malam.

Sepanjang perjalanan Tuan Johari cuma diam. Sesekali ada juga Tuan Johari bercerita kepada saya.

"Ustaz. Insyaallah dalam masa terdekat ini saya akan balik ke semenanjung. Mungkin balik terus ustaz. Berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain.

"Bintulu ini tempat saya mencari rezeki ustaz. Saya sangat suka tinggal di sini. Ramai kawan-kawan baru.

"Tetapi ustaz, lepas ini saya perlu untuk membawa balik keluarga saya dan berikhtiar untuk membawa Suraya berubat. Saya perlukan sokongan dari keluarga saya. Ketika ini saya sangat-sangat kesunyian."

"Saya faham tuan. Nanti di semenanjung tuan carilah perawat-perawat Islam yang benar-benar boleh membantu tuan. Tuan pergilah ke Darus Syifa ke Darus Salam ke. Insyaallah ada banyak tuan. Tapi carilah yang benar- benar menggunakan ayat-ayat Al Quran."

"Terima kasih atas pertolongan ustaz sepanjang hari ini. Saya sangat-sangat menghargai bantuan ustaz.

"Kalau bukan kerana ustaz mungkin punca dari semua permasalahan keluarga saya selama ini masih belum terjawab lagi.

"Kalau saya belum balik tentu saya akan meneruskan rawatan Suraya ini bersama ustaz. Tapi sekarang saya dah ambil keputusan untuk balik ke Semenanjung."

"Tak apa tuan. Saya faham. Apa-apapun kita berserah saja kepada Allah. Allah sebaik-baik Perancang dan Allahlah sebaik-baik tempat untuk mengadu."

Kenderaan yang kami naiki terus meredah kabus malam. Perjalanan dan pengalaman pada malam itu sangat bermakna buat saya.

Untuk menyelesaikan kes saka ini tidak semudah mengeluarkan gangguan jin histeria yang biasa.

Banyak yang perlu untuk dilakukan dan dipelajari berkenaan sejarah keluarga saka ini.

Kami sampai ke rumah ibu saya dalam lingkungan 3.00 pagi. Ibu masih belum tidur lagi kerana masih menunggu saya balik ke rumah.

Saya sempat bercerita kepada ibu berkenaan dengan apa yang saya alami. Kami berborak hingga ke subuh.

Ketika solat subuh saya menjadi imam dan ibu menjadi makmun.

Selepas membaca zikir ma' tsurat saya tertidur. Mungkin kerana terlalu mengantuk.

Wajah Suraya saya masih ingat lagi hingga kini.

Pernah suatu ketika pada tahun 2015, Tuan Johari menelefon saya dari Semenanjung. Hampir terlupa saya kepada Tuan Johari ini.

Kalau Tuan Johari tidak menyebut nama anaknya Suraya mungkin saya masih tidak cam akan Tuan Johari.

Kebetulan waktu itu Tuan Johari datang ke Bintulu atas urusan kerja. Cuma bermalam semalam sahaja di Everly Hotel.

Malam tersebut Tuan Johari bermurah hati belanja saya makan di Restoran Alliya Maju Cafe.

Tempat saya dan kawan-kawan dari Pusat Rawatan Ruqyah Syar'iyyah Bintulu berkumpul makan selepas merawat pesakit.

Menurut Tuan Johari, Suraya telah sembuh. Walaupun belum sepenuhnya.

Tuan Johari telah membawa Suraya berubat di salah satu cawangan Darus Syifa. Rawatannya memakan masa juga. Lebih kurang dalam 3 tahun. Sekarang Suraya sudah bernikah dan mempunyai dua orang anak.

Ketika ini Suraya telah mengikuti suaminya tinggal di London dan mereka mempunyai perusahaan perniagaan makanan.

Tentang Puan Farah tidak pula Tuan Johari cerita. Saya pun tidak mahu untuk bertanya melainkan kalau Tuan Johari yang bercerita sendiri.

Sebelum balik ke hotel Tuan Johari menitiskan air mata sambil menggenggam tangan saya sambil mengucapkan terima kasih atas pertolongan saya kepada keluarganya suatu ketika dahulu.

Tuan Johari kemudiannya menaiki teksi dan melambaikan tangan ke arah saya.

Tanpa saya sedari air mata jantan saya jatuh juga.

Kerana mengenangkan pengorbanan seorang ayah kepada anaknya dan juga perjuangan dan siksaan yang dialami oleh sorang anak gadis kecil yang mungkin tidak akan dapat difahami oleh orang-orang yang tidak pernah mengalaminya.

Semoga Allah terus-menerus memelihara keluarga saya dan keluarga serta Tuan Johari dan kita semua. Amiin.

Alhamdulillah Ya Allah atas pengalaman ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: cikguemmet