Rahsia Logo Ular Menelan Manusia Jenama Alfa Romeo Ada Kaitan Dengan Perang Salib?

Walaupun bukanlah jenama kereta Eropah terlaris di Malaysia dan di seluruh dunia, Alfa Romeo adalah antara pengeluar automotif yang berada dalam kelas tersendiri dan cukup disegani. Ada dikalangan peminat yang gilakan keunikan bunyi jentera-jentera Alfa Romeo.

Alfa-Romeo-Car-Logo
Alfa-Romeo.

Ada juga yang sukakan sejarah, kejayaan di litar lumba dan hubungan jenama itu dengan Enzo Ferrari serta kaitan pelumba-pelumba hebat seperti legenda 1930-an, Tazio Nuvolari dan Achille Varzi dan juara dua kali Formula Satu (F1) 1950-an, Alberto Ascari.

Alfa Romeo sangat sinonim dengan makna keghairahan dan soul, tetapi kononnya alasan paling cool untuk mencintai jenama ini ialah penampilan gril segitiga yang jika diperhatikan lebih dekat tersemat lencana dengan imej palang (salib) di samping seekor ular, dengan julukan biscione sedang menelan seorang manusia. Apakah maksudnya?

Ada pelbagai teori yang menyokong dakwaan tersebut.

LAMBANG DUKE MILAN

Tidak banyak pengeluar automobil yang meletakkan logo jenama dalam bentuk lencana logam seakan jata atau coat of arms.

Antara pengeluar selain Alfa Romeo yang menampilkan lencana logam ialah Saab dengan imej kepala Griffin mengeluarkan api, yakni makhluk legenda dalam mitologi Mesir dan Parsi purba.

Begitu juga logo Peugeot dengan imej singa mendepangkan kaki yang sejarahnya dapat dijejak sehingga 1847.

Logo Alfa Romeo pula jika dijejaki mempunyai kaitan dengan bandar kelahiran jenama itu di Milan, Itali.

Logo tersebut pernah menjadi lambang keluarga Visconti sebagai penguasa atau duke ibu kota itu pada abad 11 hingga 15 Masihi.

OTTONE VISCONTI

Alfa-Romeo-Car-Logo
Ottone Visconti.

Menurut kisah legenda, semasa Perang Salib Kedua, Ottone Visconti (1207-1295), mencabar ketua Saracen (istilah orang Kristian yang merujuk kepada orang Islam pada zaman pertengahan), Voluce, supaya bertarung yang ketika itu memakai baju dengan lengan tertera jata seekor ular sedang menelan seorang lelaki.

Ottone menang sambil membawa pulang senjata dan lambang milik Voluce itu ke Milan untuk dijadikan simbol kepahlawanan keluarga Visconti. Simbol tu kemudian digunakan pada perisainya.

Ada kenyataan mendakwa imej lelaki ditelan ular biscione itu dimerahkan untuk menggambarkan orang Saracen, tetapi kemudian digantikan dengan kanak-kanak bagi menunjukkan kebaikan ular Visconti.

Malah, menurut sumber Alfa Romeo sendiri, dipetik Jalopnik, ular itu bukan menelan, sebaliknya mengeluarkan manusia sebagai simbol manusia baharu, kelahiran semula dan disucikan.

Tetapi kalau kita melihat posisi dan gerak badan manusia (atau budak) pada mulut ular itu, ia tidak nampak seperti dikeluarkan, tetapi ditelan. Jadi tidak hairan orang ramai mengganggap ular itu sedang menelan mangsa.

Simbol tersebut kemudian digunakan walaupun keluarga Visconti sudah meninggal dunia dan digantikan keluarga Sforza sebagai penguasa Milan dengan meneruskan legasi lambang itu sebagai jata pemerintahan.

Imej ular melingkar tersebut turut menjalinkan Milan dengan dua bandar di Poland menerusi perkahwinan Bona Sforza dan Raja Sigismund I.

Ular-biscione

Jika berjalan di Milan, anda akan perasan imej ular biscione pada jubin lantai, dinding stesen keretapi Milano Centrale, dan tembok kota Castello Sforzesco di pusat bandar.

Menariknya, kadangkala muka lelaki yang sedang ditelan ular itu kelihatan tenang sahaja seakan pasrah dengan nasib diterima, tetapi kebiasaannya imej 'lelaki malang' itu tidak ditunjukkan muka.

Pada lambang Alfa Romeo, sebuah syarikat yang berakar umbi di pusat industri Milan, imej ular biscione berkongsi ruang dengan simbol salib merah dan latar belakang putih seperti yang terdapat pada bendera Milan.

Tembok kota Castello Sforzesco juga jelas terpapar lambang ular biscione menelan seorang lelaki.

KONTROVERSI SALIB

Apakah itu simbol iluminati? Entahlah, anda mungkin boleh bertanya sendiri kepada jabatan perhubungan awam kumpulan misteri itu.

Tetapi persoalannya, adakah peminat Alfa Romeo tahu rahsia sebenar di sebalik logo kereta idaman mereka itu?

Pasti ramai dikalangan pembeli Malaysia tidak tahu rahsia di sebalik imej ular biscione menelan lelaki pada logo Alfa Romeo dan kaitan simbol tersebut dengan Perang Salib Kedua.

Namun apa yang pasti, simbol salib yang tertera di sebelah ular itu sedikit sebanyak menghalang populariti jenama tersebut di kalangan pembeli Islam.

Situasinya sama seperti simbol tali leher bow pada logo Chevrolet yang berbentuk salib.

Tetapi, di kalangan peminat kereta lama kategori rare, model-model Alfa Romeo sentiasa ada kelompok peminatnya yang tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pandulaju