SBDJ Siri 92: Bomoh Tua Bawa Bencana

Kuku di ibu jari saya di gigit dan sepasang mata meraut wajah Datuk. Cara yang sangat mengejutkan dan langsung tidak diduga, kemudian Datuk terus menepuk bahu kanan saya.

Toyol jadi-jadian

“Pergi ambil air sembahyang, Tamar.”

“Sejuk tuk.”

“Pergilah, jangan banyak cakap,” suara Datuk meninggi.

Saya terus merenung ke arah bilik air. Terdengar banyak air berjatuhan di lantai. Saya senyum.

Ada orang di bilik air tuk, terpaksa tunggu dia keluar,” suara saya tersangkut-sangkut.

“Siapa?”

“Si sakit tadi tuk.”

“Hum.. aku lupa, kalau begitu kau pergi mandi di telaga.”

“Saya takut tuk.”

“Haa.. kamu,” Datuk beliakkan biji mata sambil menggaru pipi kanannya beberapa kali. Saya tahu Datuk mula marah.

Tetapi, saya merasa bertuah dan beruntung kemarahan yang mula berbunga di hati Datuk segera menurun kerana kehadiran guru silat dan isteri si sakit di sisi Datuk. Senyum pun terkembang di bibir Datuk.

Tidak lama kemudian si sakit yang berada di bilik mandi pun datang. Matanya tidak berkedip merenung wajah isterinya. Dan isterinya terus menatap sekujur tubuh suaminya.

“Bengkak perut dah hilang dan kau boleh berjalan, boleh mandi sendiri,” si isteri bersuara.

Wajahnya dibalut keriangan yang amat panjang. Si isteri segera mahu mendekati si suami. Tanpa rasa segan si isteri angkat tangan kanan menyentuh pipi suaminya.

“Jangan sentuh dia,” Datuk bersuara keras.

Semua biji mata tertumpu ke arah Datuk. Semuanya merasa hairan dan kurang senang dengan sikap Datuk.

“Dia suami saya.”

“Saya tahu, tapi bersabarlah untuk beberapa jam. Bila kita dah selesai sembahyang Subuh dan bumi sudah cerah disinar matahari, kamu boleh buat apa yang kamu suka,” kata Datuk.

“Kenapa tak boleh buat sekarang?”

“Ini cara dan petua kalau awak mahu ikut, kalau tak mahu ikut pun tak apa tetapi, kalau petua dan syarat orang tua-tua dilanggar ada masanya boleh membawa padah,” satu ingatan yang bersahaja dari Datuk.

Isteri si sakit menggigit bibir dan menelan air liur. Sedia mematuhi perintah Datuk.

“Kita sembahyang Subuh di sini?” tanya guru silat.

“Ya, di mana lagi? Kalau bukan di sini?” balas Datuk.

“Imamnya?”

“Saya," kata Datuk.

Guru silat tersenyum dan tanpa banyak bicara dia segera menuju ke bilik air mengambil air sembahyang.

DOA

Sebaik saja selesai menunaikan Fardu Subuh, kami semua membaca doa.

Selesai baca doa, isteri si sakit terus ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.

Guru silat turun ke halaman rumah lalu melakukan senaman kecil untuk menggerakkan darah dan menegangkan urat.

Datuk terus membaca beberapa ayat suci.

Si sakit yang baru sembuh masih duduk bersimpuh di sisi Datuk. Saya kira tentu ada sesuatu yang mahu diajukannya pada Datuk.

Sangkaan saya tidak salah, sebaik saja Datuk berhenti membaca ayat-ayat suci, lelaki bermata cengkung itu menghampiri Datuk.

“Berapa lama saya tak boleh bersama isteri saya?”

“Sekejap lagi bolehlah, kau pergi berdiri dekat tingkap dan lihat matahari. Bila matahari sudah terbit, kenakan seluruh tubuh kamu dengan sinar matahari, lepas tu kamu bolehlah bersama.”

“Terima kasih, saya ingatkan sampai berbulan-bulan.”

“Tidak,” Datuk tersenyum.

Datuk mengajak saya turun ke halaman rumah. Cakapnya saya turuti. Saya dan Datuk melakukan senaman harimau menangkap musuh dan beberapa senaman lain hingga badan saya berpeluh dalam dingin pagi.

Selesai menjalani senaman Datuk mengajak saya berjalan keliling kampung sambil membasahkan kulit dengan air embun.

Saya membantah ajakan Datuk itu. Tidak sanggup rasanya dalam cuaca pagi yang samar-samar dan dingin itu menyentuh air embun di hujung daun untuk disapukan ke kulit tubuh.

Protes saya menimbulkan rasa kurang senang dalam hati Datuk. Kerana tidak mahu ketegangan yang terjadi itu berlanjutan, saya segera mengalah.

Datuk gembira. Bila kami mahu memulakan langkah, guru silat terus bersuara.

“Nak ke mana tu?”

“Mandi embun.”

“Jangan lama-lama, nanti ada masalah di rumah saya tak tahu nak mengatasinya.”

“Belum matahari keluar kami balik,” jawapan itu amat menyenangkan diri guru silat.

Senyumannya terus terukir di bibir dan dia meneruskan latihan silatnya.

Berjalan dalam suasana dingin begini tidak boleh lambat-lambat. Langkah mesti dipercepatkan, biar semua sendi bergerak lancar lalu melahirkan peluh yang boleh menghilangkan rasa sejuk dan dingin.

Sedang saya dan Datuk asyik menghulurkan jejari pada air embun di hujung daun, kami terdengar bunyi orang memijak sesuatu dari hutan kecil di sebelah kanan. Langkah Datuk dan saya segera berhenti.

“Ada binatang buas tuk.”

“Pada hemat aku, itu bukannya bunyi langkah binatang.”

“Kalau bukan binatang, langkah apa tuk?”

Datuk terus membisu lalu membongkok.

Kepala lutut kanannya ditemukan dengan permukaan bumi. Manakala lutut kirinya tetap tegak menentang dada langit.

Kelima-lima jari kirinya dikembangkan dan terus diletakkan di atas tanah. Hidungnya dihalakan ke arah angin datang. Hidung Datuk nampak kembang kempis menghidu sesuatu.

“Manusia Tamar,” mata Datuk bersinar merenung ke arah hutan kecil.

Dahinya berkedut tetapi wajahnya tetap tenang serta bersedia menghadap sebarang kemungkinan.

Barangkali, ada orang kampung yang menggunakan hutan kecil itu sebagai jalan pintas untuk pergi ke suatu tempat, fikir saya dalam hati.

“Manusia dari mana tuk?” saya menyoal kembali.

“Entah, pedulikan, mari kita pergi,” Datuk segera menarik tangan saya.

Kami meneruskan perjalanan yang terhenti. Tidak beberapa jauh melangkah, Datuk berhenti kembali. Macam ada sesuatu yang tidak menyenangkannya.

Dan saya sendiri pun merasakan ada sesuatu yang mengikuti segala gerak dan langkah kami.

Dalam saat-saat tertentu, benda yang serasa ada itu bagaikan wujud di depan saya dan Datuk, tetapi sukar untuk dilihat apatah lagi untuk di rasa dan dipegang.

RESAH

Keadaan yang dihadapi membuat saya resah dan gelisah. Saya segera memujuk Datuk supaya pulang ke rumah adik guru silat.

Datuk gelengkan kepala sambil tumit kaki kirinya menghentak-hentak tanah beberapa kali.

Tanpa diduga, Datuk terus membengkokkan badan dan kedua belah tangannya menepuk bumi tiga kali berturut-turut.

“Kerja kamu dah selesai,” saya segera merenung ke kiri.

Saya lihat bomoh tua berdiri di situ. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya.

Aneh sekali kenapa dia tidak mahu memandang wajah Datuk? Apakah ini cuma satu helah darinya untuk memperdayakan Datuk? Bermacam-macam pertanyaan bermain dalam kepala saya.

“Aku hanya menyelesaikan kerja kamu yang belum selesai,” balas Datuk sambil membelakanginya.

Saya kira, cara Datuk itu amat merbahaya. Kenapa dia memberi belakang pada bomoh tua, kenapa Datuk tidak mahu menentang muka bomoh tua?

“Tapi kamu tidak pernah minta izin dari aku,” saya terdengar suara bomoh tua.

Apa yang bermain dalam kepala saya terus hilang.

“Ya, niat saya ikhlas untuk menolong,” suara Datuk rendah.

“Cara kamu menyakitkan hati aku.”

“Apa! Kerana aku menolong hamba Allah yang sakit. Boleh membuat kamu marah, aku tak faham dengan cara kamu.”

“Ya, aku nak beri kamu faham sekarang.”

“Terangkan.”

“Kamu sepatutnya jangan campur dalam hal ini. Kerja aku dengan orang yang minta tolong belum selesai.”

“Kamu terima upah untuk menjahanamkan orang lain.”

“Kerana si sakit itu memang jahat.”

“Kalau kamu dah tahu dia jahat, kenapa kamu ubati dia?”

“Aku mahu mempermainkan orang yang mengupah aku dan orang yang sakit.”

“Kamu memang iblis,” pekik Datuk.

Bomoh tua itu hilang dari pandangan saya. Datuk tergamam bila bomoh tua muncul di depannya dan mengajak beradu tenaga.

“Itu bukan cara aku. Dalam hidup aku, menjual dan membeli bukan cara aku. Kita hamba Allah dan umat Nabi Muhammad SAW kita disuruh berbaik-baik,” jawab Datuk dengan nada suara yang rendah.

“Agaknya kamu takut, ilmu kamu tidak sebanyak mana,” bomoh tua seperti mengejek Datuk.

“Tak usahlah kita nak tunjuk handal. Kita lupakan semuanya. Kalau saya tersalah, maafkan saya,” Datuk hulurkan tangan pada bomoh tua.

Cepat-cepat bomoh tua menepis huluran tangan Datuk sambil membuka langkah untuk menyerang Datuk.

“Kalau benar awak handal, jawab pertanyaan saya. Kalau semua jawapan awak betul, saya ikut awak,” Datuk memberi cadangan.

“Kamu mempermainkan aku.”

“Aku ikhlas, aku tak mahu bermusuh dengan sesiapa pun.”

“Bohong,” suara bomoh tua meninggi. Dia terus menyerang Datuk dengan sebatang kayu.

Datuk tidak bergerak dari tempatnya, menanti serangan bomoh tua dengan tenang.

Datuk hanya mengangkat ibu jari kanannya dan kayu di tangan bomoh tua terpelanting dengan sendirinya. Bomoh tua jatuh terlentang macam ada sesuatu yang menolaknya.

Bomoh tua cuba bangun dan Datuk cepat-cepat memusingkan ibu jari kanannya menunjuk ke bumi, bomoh tua tidak terdaya bangun.

Bila Datuk menegakkan ibu jarinya, bomoh tua dapat bangun dan berdiri berdepan dengan Datuk, bersedia untuk melepaskan penumbuk pada Datuk.

Lagi sekali Datuk meluruskan ibu jarinya ke bawah. Bomoh tua jatuh terlentang terkapar-kapar.

“Cuma itu saja yang ada pada aku, bangunlah,” kata Datuk tenang sambil memeluk tubuh.

Bomoh tua tidak mahu bangun. Dia duduk bersila di tanah. Jari kelingkingnya terus menguis-nguis tanah.

“Apa yang mahu kamu tanyakan pada aku?”

“Aku cuma nak menyatakan rasa kesal, kerana kamu seperti orang yang beragama tetapi membuat kerja terkutuk.”

“Sudahlah, cakap perkara apa yang mahu kamu tanyakan padaku.”

“Kamu beragama Islam?” Datuk memulakan pertanyaan.

“Ya, aku percayakan Allah, Quran dan hari kiamat serta malaikatnya,” jawab bomoh tua penuh keyakinan.

Matahari mula memunculkan diri di kaki langit. Saya terus menyandarkan badan pada sebatang pokok yang berdaun lebat.

“Sebagai orang Islam aku cuma nak tanya tiga perkara. Harap kamu dapat memberikan jawapannya.”

“Silakan, apa perkara yang nak kamu tanya sila kemukakan. Fasal agama, adat, ilmu dunia, ilmu akhirat, silakan,” bomoh tua terus ketawa kecil.

Jari kelengkengnya tidak berhenti menguis tanah. Tidak memperlihatkan sebarang rasa kebimbangan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Datuk raba telinga kemudian terus duduk bertinggung. Muka bomoh tua direnung dengan tepat tanpa berkedip. Kali ini bomoh tua menentang wajah Datuk.

“Silakan, aku menanti,” bomoh tua seperti mendesak.

“Sebagai orang Islam, aku mahu tahu dari mana kamu datang?” Datuk menyambut cabaran dari bomoh tua.

“Apa, ini saja soalannya?”

“Ini soalan pertama, dua soalan lagi akan menyusul kemudian,” terang Datuk dengan tenang.

“Aku mahu kamu terus mengemukakan tiga soalan sekali. Aku tak mahu satu-satu, cara itu melambatkan.”

“Baiklah, kalau itu kemahuan kamu. Soalan pertama aku mahu tahu dari mana kamu datang,” Datuk berhenti bercakap dia. Dia menahan air lir sambil batuk kecil.

“Apa kamu buat dan ke mana kamu nak pergi?” Datuk menambah soalannya.

Bomoh tua kerutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya dua tiga kali.

“Dah habis soalan kamu.”

“Dah habis,” jawab Datuk tegas.

Bomoh tua menggigit kuku di ibu jari kanannya. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan. Sesekali dia garu telinga yang tidak gatal.

Saya kira bomoh tua masih mencari jawapannya. Saya juga berfikir, apakah jawapan yang tepat pada soalan yang Datuk kemukakan.

Saya kira, inilah kali pertama Datuk mengemukakan soalan yang sedemikian. Agak aneh dan luar biasa sekali pada tanggapan saya.

“Soalan yang mudah, anak cucu aku sendiri boleh jawab. Kamu tahu yang tak pergi sekolah pun dah tahu jawapannya, ha.. ha…,” bomoh tua ketawa berdekah-dekah.

“Jawab sekarang, usah ketawa,” suara Datuk meninggi.

“Dari Allah aku datang, aku dilahirkan untuk membuat amalan dan akhirnya aku pergi pada-Nya juga. Apa kau sudah puas hati sekarang.”

“Kurang puas hati.”

“Sebabnya?” bomoh tua beliakkan biji mata. Cepat-cepat dia berdiri dan terus mencekak pinggang.

Misai tebalnya dipulas beberapa kali, macam lanun dalam drama purbakala yang mahu memperkosa gadis jelita dalam bilik tidur.

“Jawapan kamu masih ada kurang. Membayangkan kamu kurang pengetahuan,” suara Datuk lembut.

“Kurang ajar. Cakap apa yang kurang, kalau kamu tak cakap buruk padahnya.”

“Baiklah. Jawapan pertama begini: dari setitik mani kedua orang tua, kita dijadikan oleh Allah dan dikeluarkan dari rahim ibu. Tidak kira orang itu keturunan baik-baik atau tidak, sama ada berkulit hitam atau putih semuanya keluar dari lubang yang satu,” Datuk berhenti bercakap. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Jawapan yang kedua pula?” bomoh tua juihkan bibir ke bawah.

Datuk segera gosok pangkal hidung. Perbuatan Datuk itu menimbulkan keresahan dalam diri bomoh tua.

“Jawapan kedua apa dia? Cepat cakap. Aku tak ada masa nak dengar temberang kamu.”

“Baiklah sekarang aku…..,” Datuk berhenti bersuara.

“Eh, cakaplah. Jangan berdalih lagi,” bomoh tua mula marah.

“Sekarang kau sudah tahu dari mana asal-usul kita, kau tahu kenapa kita dijadikan? Apa yang patut kita buat,” Datuk berhenti lagi.

“Eh, aku mahu jawapan dari soalan kedua,” kali ini suara bomoh tua meninggi. Matanya mula menahan marah. Datuk masih bertenang.

“Aku baru memulakan jawapan untuk soalan kedua. Sekarang aku sambung kembali. Allah mencipta manusia dan jin semata-mata untuk mengabdikan diri pada-Nya. Jadi kita semua hamba Allah harus ikut perintah-Nya. Tidak boleh membesarkan diri, tak boleh minta disanjung atau dipuja kerana kita ini hamba Allah,” Datuk menggaru pangkal pipi sebelah kanannya.

Bomoh tua terus merenung bumi. Sinar matahari mula memancar lembut menjamah bumi dan dedaun.

“Jawapan yang ketiga pula apa dia?” desak bomoh tua.

“Kamu sudah tahu asal kita, tahu apa yang mesti kita buat waktu berada di dunia dan akhir sekali ke mana kita akan pergi,” Datuk senyum panjang.

“Akhirnya kita mati,” mendadak bomoh tua mencelah.

“Jawapan yang kurang tepat,” sanggah Datuk.

“Habis,” apa yang tepat?”

“Kita akan kembali pada yang mencipta. Segala apa yang kita buat di dunia diperhitungkan. Perbuatan jahat dibalas jahat, perbuatan yang baik menerima yang baik. Masa menghitung segala kebaikan dan kejahatan kita tidak dibezakan sama ada orang itu keturunan diraja atau hamba, semua duduk bersama. Hanya di dunia saja manusia mencipta perbezaan. Kau faham sekarang.”

“Sudahlah. Kamu nak jual temberang, kamu khianati kerja aku,” cara mengejut bomoh tua naik darah.

Melihat keadaan yang tidak begitu aman, Datuk segera menjeling serta melakukan serangan.

Belum pun sempat Datuk menemui tempat yang dihajati, bomoh tua melepaskan penumbuk sulung ke arah bahu kiri Datuk.

Nasib Datuk dapat mengelak. Bomoh tua terdorong ke depan lalu tersandar di pohon halban liar.

Datuk segera mengangkatnya. Rupa-rupanya bomoh tua tidak mahu menjalinkan persahabatan dengan Datuk.

Sebaik saja dia dapat berdiri, tanpa membuang masa dia terus melepaskan satu penumbuk lagi. Datuk tidak terdaya mengelakkannya.

Penumbuk yang agak kencang itu terkena pangkal telinga Datuk. Saya lihat Datuk terhuyung-hayang macam orang mabuk. Bomoh tua menerpa ke arah Datuk untuk melepaskan serangan.

Kasihan. Atur langkah bomoh tua tersilap. Walaupun Datuk terhuyung-hayang tetapi dia tidak kurang tenaga dan akal.

Tendangan bomoh tua disambutnya dengan satu tepisan yang kencang. Bomoh tua jatuh terkangkang atas tanah.

“Bunuh saja tuk. Bila dah mati mayatnya kita buangkan ke sungai,” secara tidak disengajakan kata-kata itu terungkap dari mulut saya. Bomoh tua yang kesakitan renung muka saya.

“Kamu jangan biadab Tamar,” sergah Datuk.

“Saya tak sengaja tuk.”

“Jaga mulut, jangan celopar sangat.”

“Maafkan saya tuk.”

“Sudahlah, bukan keturunan kita jadi pembunuh. Sikap kita berbaik dengan semua orang.”

Bomoh tua bangun, hulur tangan pada Datuk. Dengan wajah yang tenang dan damai Datuk menyambut huluran tangan itu.

“Kita sesama hamba Allah. Buat apa kita bermusuhan,” suara bomoh tua merendah.

“Saya sependapat dengan awak.”

“Kalau awak dah sependapat dengan saya, awak kenalah menghormati saya dan menunaikan permintaan saya.”

“Apakah ini satu syarat?” tanya Datuk sambil menatap biji mata bomoh tua.

Saya lihat bomoh tua seperti terkejut mendengar pertanyaan dari Datuk. Bomoh tua menggaru hujung kening kanannya.

“Terpulanglah pada kamu sendiri. Kalau kamu memikirkan itu sebagai syarat, ia akan menjadi syarat. Kalau kamu fikirkan itu bukan syarat, ia tidak jadi syarat,” penjelasan dari bomoh tua berbelit-belit dan berteka-teki serta mempunyai maksud yang tertentu.

Datuk kerutkan dahi. Dia perlu berhati-hati membalas kata-kata bomoh tua. Silap jawab diri akan terperangkap.

“Saya tidak menganggap itu syarat tetapi apa yang awak minta pada saya itu juga yang saya minta pada awak,” balas Datuk.

“Haa, awak bijak.”

“Baiklah, apa yang awak mahu dari saya,” tanya Datuk.

“Mudah saja, saya minta awak jangan ganggu saya. Ini cara saya cari makan. Saya tahu, awak bukan sebarang orang. Saya tersilap duga. Saya fikir awak macam orang-orang lain yang pernah saya duga. Lagipun awak tidak memperlihatkan kebolehan atau rasa sombong. Inilah yang membuat saya terperangkap,” bomoh tua seperti merayu.

“Saya tak faham,” Datuk berdalih.

“Sebenarnya saya mendampingi benda-benda halus yang ada kaitannya dengan angin, tanah. Benda-benda halus inilah yang banyak membantu saya. Jika ada orang datang minta ubat, benda-benda halus ini memberitahu saya apa penyakit yang dihadapi oleh orang itu."

“Oh begitu, barulah saya tahu. Lepas itu apa yang kamu buat?” soal Datuk.

“Saya terus memberitahu pada orang yang datang di mana sakitnya, apa puncanya hingga mereka percaya pada saya. Saya kenakan bayaran yang mahal.

"Saya juga ambil upah membuat orang, kemudian mengubat orang yang kena buatan itu. Benda-benda halus inilah yang membantu saya,” begitu jujur bomoh tua menerangkan kedudukan yang sebenar.

Saya hanya anggukkan kepala. Datuk lebih banyak termenung setiap kali menerima penjelasan dari bomoh tua.

“Salah seorang yang kamu kenakan, orang yang aku tolong?” tanya Datuk.

“Ya.”

“Kenapa kamu lakukan perkara tu.”

“Aku sebenarnya dendam padanya dan selalu bertelagah dengan aku tentang hal-hal agama, suka membantah.”

“Aku fikir kerana kamu mahu mencampurkan perkara karut-marut dalam hal agama. Umpamanya suruh orang percaya pada keramat, memuja kubur, membayar niat di keramat. Bukan begitu?

“Ya, memang begitu janji aku dengan makhluk halus.”

“Lagi apa janji kamu dengan makhluk-makhluk halus tu?”

“Berusaha mengurangkan akidah agama pada orang kampung. Makhluk-makhluk halus itu pula berusaha menarik perhatian atau mengabui mata orang kampung supaya memuja dan mengagumi kebolehan aku. Orang-orang di sini kebanyakannya buta agama.”

Saya mula merenung ke arah matahari yang kian meninggi. Rasa benci dan menyampah pada bomoh tua mula bertandang dalam dada saya.

Datuk terus meramas sepuluh jari di tangan yang terasa lenguh dan sakit-sakit.

“Macam mana kamu gunakan buatan pada orang yang aku tolong? Datuk bertanya lagi.

Bomoh tua terdiam sejenak. Dia kelihatan keberatan mahu menceritakan kisah sebenar pada Datuk.

“Bagaimana kamu membuatnya?” ulang Datuk.

“Satu hari ada orang mengadu dirinya sakit. Aku katakan kena buatan orang. Dan orang yang membuatnya adalah orang yang kamu lindungi itu. Secara kebetulan mereka pernah bertengkar satu masa dulu. Apalagi, aku jalankan jarum,” bomoh tua menelan air liur.

Keningnya bergerak dua tiga kali menahan sinar matahari yang terik.

“Aku suruh orang itu membalas dendam. Dia setuju. Aku pun jalankan tugas. Bila orang yang di dendam sakit, aku pergi mengubatinya,” sambung bomoh tua itu lagi.

“Ilmu kamu tak sebanyak mana. Tapi kamu berlagak macam orang pandai kemudian memperdayakan orang kampung. Kamu pengkhianat,” Datuk bersuara dengan keras.

Muka bomoh tua ditentangnya. Saya segera mendekati Datuk.

“Kita dah bersahabat. Kau tak boleh marah,” tingkah bomoh tua.

“Ya. Aku tak akan melakukan apa-apa pada kamu. Kejahatan kamu adalah urusan kamu dengan Allah. Tetapi selagi aku masih hidup aku akan melindungi orang-orang lain dari kejahatan kamu,” suara Datuk merendah.

“Jangan khianati aku kawan.”

“Hum, Datuk juihkan bibir."

Kemudian Datuk tarik tangan saya. Kami tinggalkan bomoh tua di situ, di bawah sinar matahari yang kian mengembang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 92/284

BACA: SBDJ Siri 91: Cahaya Di Lantai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM