Nor ‘Phoenix’ Diana Penggusti Berhijab Pertama Jadi Tumpuan Dunia

Sebelum ini tidak ramai peminat sukan gusti di Malaysia menyedari bahawa kita mempunyai saingan Malaysia Pro Wrestling (MYPW) yang terdiri daripada individu berbakat dan juga mempunyai potensi untuk pergi dengan lebih jauh.

Penggusti Berhijab Pertama

Namun, sentimen tersebut seakan-akan berubah sepenuhnya apabila penggusti wanita berhijab bernama Nor ‘Phoenix’ Diana muncul sebagai juara wanita pertama yang memenangi kejuaraan Malaysia Pro Wrestling dalam acara MyPW Wrestlecon.

Pernah memakai topeng sebagai trademark beliau dalam sukan gusti, Nordiana yang berusia 19 tahun itu menceritakan perjalanannya di Instagram, sebagai penggusti wanita profesional.

“Semuanya bermula ketika saya berusia 14 tahun. Saya banyak bermain permainan video gusti bersama adik saya.

"Bermula saat itu, saya mula menonton rancangan gusti di televisyen dan minat untuk lebih mendalami dunia gusti timbul saat itu.

“Ketika berusia 15 tahun, saya mula mencari persatuan gusti Malaysia dalam talian dan saya terjumpa MYPW yang sebelum ini dikenali dengan nama Persatuan Gusti Malaysia.

"Saya memutuskan untuk menyertai dan berlatih bersama mereka bagi merealisasikan impian saya sebagai penggusti profesional,” katanya.

Ketika ditanya mengenai layanan yang diberikan oleh MYPW dan ahli yang lain kepada beliau, Nordiana menyifatkan layanan yang diberikan adalah sama rata dan tiada layanan istimewa yang diberikan memandangkan beliau adalah penggusti wanita dan memakai hijab.

Mengulas lebih lanjut, Nordiana menjelaskan ada cerita unik mengenai asal usul beliau mendapat gelaran Phoenix.

Ketika itu, penggusti berbadan kecil ini terpaksa menggantikan seorang lagi penggusti dalam sebuah acara.

Beliau nyata terkejut dengan tawaran yang diberikan kerana baru belajar beberapa gerakan sahaja malah, Diana tidak mempunyai watak dan juga outfit beliau sendiri.

“Saya pergi ke kedai bundle berhampiran dan membeli seluar serta topi kulit bagi menyesuaikan dengan baju yang saya pakai ketika itu.

"Jurulatih memberi arahan untuk membawa watak seolah-olah Phoenix dan pada masa yang sama jurulatih memberi saya topeng luchador untuk dikenakan,” ujarnya.

Nordiana turut menggesa penggusti wanita di luar sana agar menyertainya di MYPW sekali gus merancakkan lagi suasana gusti di rantau Asia.

“Ayuh sertai kami. Hanya sedikit bilangan penggusti wanita profesional di Asia, khususnya Malaysia ketika ini.

"Layari Facebook dan Instagram Pro Wrestling Developmental Centre (MYPWDC) untuk mendapat maklumat lanjut.

Setelah memenangi Malaysia Pro Wrestling, Nordiana memberikan indikasi bahawa kejayaan baru-baru ini hanyalah permulaan dan beliau sudah bersedia untuk menujukkan kepada dunia apa yang mampu dilakukan oleh penggusti berhijab ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket