Cara Mengenali Penagih Syabu

Syabu adalah dadah yang popular di masa kini dan membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresive untuk mendapatkannya.

Penagih Syabu
Gambar hiasan.

Malangnya, ada tokan-tokan syabu ini yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kali agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).

Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan. Harganya yang mahal (100miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka. Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri.

Jadi, anda perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.

Tanda ketika awal kesan pengambilan syabu

Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi, menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.

Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.

Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka, namun ia hanya untuk seketika.

Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai 'kong')

Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.

Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.

Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang akan mengetap gigi, ada sesetengah akan membasuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.

Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.

Pada saat "kong" ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.

Masa inilah tiba-tiba keluar kisah cinta lamalah, sedih dengan masyarakatlah, kawan-kawan aniaya dialah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.

Tanda-tanda fizikal

Ini diceritakan oleh ramai orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur.

Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.

Ada juga yang boleh dilihat pada wajahnya seperti dibawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung).

Kesan jangka masa panjang

Berdasarkan cerita daripada orang yang selalu menguruskan penagih syabu dan rakan-rakan sendiri, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh.

Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.

Diantara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang 'extreme' ni boleh jadi gila terus.

Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman

Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.

Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan mengaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu.

Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini dan pada ketika inilah anda boleh melihat bomoh dan pawang-pawang diluar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.

Antara perkara yang patut diperhatikan

Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari.

Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam, kena bagi 'extra care'lah nampak gayanya.

Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat 'topup' syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab itu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.

Hisap syabu menggunakan foil secara terus

Salah sangka dikalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.

Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.

Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru), namun kalau sudah extreme agak susah juga nak sedarkan mereka.

Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka.

Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.

Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang.

Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lama yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi