Bagaimana Mustafa Kemal Ataturk Menukar Turki Menjadi Negara Sekular?

Turki merupakan sebuah negara yang terletak antara Timur dan Barat yang sebelum ini merupakan sebuah kuasa besar dunia yang lebih dikenali sebagai Empayar Uthmaniyyah, namun sejak kejatuhannya pada tahun 1920-an, wilayah-wilayah Arab di bawah Empayar Uthmaniyyah telah dibahagikan antara pihak Besekutu, sehingga berpecah-belah.

Mustafa Kemal Ataturk menukar turki menjadi sekular

Selepas revolusi Turki yang terjadi pada abad ke-20, kerajaan telah mengharamkan pemakaian tudung di pejabat awam dan juga pusat pengajian tinggi sampailah pada tahun 2013.

Namun, bagaimana negara Turki boleh berubah daripada sebuah negara Islam menjadi negara sekular?

Untuk memahami fenomena ini secara lebih mendalam, kita kenali dulu presiden Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk.

Berjaya Menyekat Tentera British Dan Perancis

Pada tahun 1915, reputasi Ataturk melonjak sewaktu kempen Gallipoli, di mana dia telah berjaya menyekat sejumlah besar askar Britain dan Perancis daripada merampas Istanbul dan disebabkan sumbangan itu, Ataturk telah dinaikkan pangkat menjadi Brigadier-Jeneral.

Sewaktu Perang Dunia Pertama (1914-1918), empayar Uthmaniyyah mula menunjukkan unsur-unsur uzur. Banyak infrastruktur musnah dan aktiviti jenayah semakin berleluasa.

Tidak cukup dengan itu, wilayah-wilayah di bawah jajahan empayar Uthmaniyyah mula memberontak dan menuntut kemerdekaan mereka sendiri.

Jadi, apabila Ataturk balik ke Istanbul, dia mendapati bandar tersebut penuh dengan tentera Pihak Bersekutu. Marah dengan tindakan itu, Ataturk telah mengetuai satu pemberontakan dan melawan Pihak Bersekutu.

Ataturk yang mendapat sokongan orang Turki bukan sebab dia hebat berperang, tapi disebabkan kehebatannya menggunakan semangat perkauman.

Berbeza dengan Empayar Uthmaniyyah yang ada rakyat berbilang kaum, Ataturk terang-terangan berkata hanya ingin memperjuangkan nasib bangsa Turki sahaja.

Pada waktu inilah Ataturk menjadi hero bagi bangsa Turki, kerana dengan semangat perkauman yang semakin tegang, baru kalah dalam Perang Dunia Pertama, Sultan hilang entah ke mana, hanya Ataturk yang berani bersuara menentang penjajah.

Selain semangat nasionalisma Turki , Ataturk juga menggunakan agama Islam mengikut pengertiannya sendiri dalam manifesto untuk mendapatkan sokongan daripada orang awam:

“Walaupun sebelum kedatangan agama orang Arab (Islam), Turki merupakan sebuah negara yang hebat. Tapi selepas kedatangan agama orang Arab ini, ia tidakpun menyatukan orang Arab, Parsi, dan Mesir di bawah satu negara sebaliknya, ia melonggarkan semangat kenegaraan Turki.

"Ini hanyalah perkara biasa, sebab tujuan agama yang diasaskan oleh Muhammad, ke atas semua negara, adalah untuk mengheret mereka ke dalam politik Arab.” -Mustafa Kemal Ataturk.

Dari sinilah Mustafa Kemal mendapat nama ‘Ataturk’, yang bererti “Bapa orang Turki”.

Selepas memerintah, Ataturk menghalau sultan dan memansuhkan sistem khalifah.

Waktu mula-mula memerintah, kerajaan Ataturk sama seperti kerajaan Islam. Perlembagaan menyatakan yang Islam adalah negara rasmi dan apa-apa undang-undang baru tidak boleh bercanggah dengan syariah.

Masalahnya, di Turki ada dua kerajaan iaitu Kesultanan Uthmaniyyah dan kerajaan Ataturk. Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, Ataturk telah menuntut kesahihan kerajaannya dan menghalau sultan.

British dan Perancis yang menawan Turki waktu itu juga tidak menyokong sultan yang baru kalah perang dan askar mereka semua sudah balik, manakala tentera yang setia kepada sultan berada terlalu jauh untuk membantu.

Akhirnya, pada tahun 1922 selepas bergaduh dengan pengikut setia sultan, kerajaan Ataturk berjaya menawan Turki.

Sultan Uthmaniyyah yang terakhir dan keluarganya telah di hantar ke Malta oleh tentera British menggunakan kapal perang HMS Malaya yang dimiliki oleh tentera British yang dibiayai oleh sultan-sultan Tanah Melayu.

Tahun berikutnya, Ataturk telah mengalihkan pusat kerajaan dari Instanbul ke Ankara dan kemudian lahirnya sebuah republik yang baru, iaitu kerajaan Turki dengan Ataturk sebagai Presiden yang pertama.

Ketika inilah secara perlahan-perlahan beliau menunjukkan belang, Ataturk mula mempersoalkan agama dan kaitannya dengan sesebuah kerajaan.

Pada masa yang sama, Ataturk juga telah memperkenalkan Kemalism, sejenis pentadbiran yang diasaskan oleh Ataturk sendiri dimana ia menggabungkan enam prinsip pentadbiran yang lain seperti Populism, Refomisma, Republik, Kenegerian, Nasionalisma dan Laisisma.

Menyerang agama dan budaya atas nama kemajuan

Ataturk telah mula membuat undang-undang baru di mana agama dibuang daripada kehidupan seharian orang Turki, bermula daripada peringkat sekolah, Ataturk telah mengarahkan penutupan madrasah dan universiti agama.

Atatürk berpendapat, agama akan menjauhkan orang Turki daripada dunia luar, kemudiannya telah menentang golongan Sufi di mana semua tempat perjumpaan orang-orang Sufi telah ditukar menjadi muzium dan telah menghukum mati pemimpin Sufi ketika itu.

Bagi rakyat Turki ketika itu, mereka menyangka penentangan terhadap golongan Sufi ini seperti melawan golongan ajaran sesat.

Pada tahun 1926, Ataturk menggantikan undang-undang syariah kepada undang-undang sivil Swiss. Ia kemudiannya diteruskan dengan pengharaman serban dan fez (kopiah merah) dan golongan wanita pula tidak dibenarkan untuk memakai tudung di tempat awam.

Untuk menaikkan lagi semangat nasionalisma, Ataturk menukar azan dari bahasa Arab kepada bahasa Turki dan menukar kalendar Islam kepada Gregorian (kalendar yang kita guna sekarang ini).

Tapi, apa yang benar-benar telah membunuh budaya orang Turki adalah penulisan dalam bahasa Arab bertukar menjadi tulisan rumi (Latin).

Sejak dari itu, Turki telah berubah dari sebuah kerajaan Islam menjadi republik yang memandang ke arah Barat.

Agama telah menjadi suatu kepercayaan individu dan tidak terhad kepada Islam sahaja, malah orang yang beragama Yahudi dan Kristian pun tidak boleh mempraktikkan agama mereka secara terang-terangan.

Maka terlahirlah sebuah negara sekular:

“Ada banyak budaya, tapi hanya satu tamadun sahaja iaitu tamadun Eropah.” – Mustafa Kemal Ataturk

Dan dari situlah bermulanya proses pemodenan Turki sebagai sebuah negara sekular yang meminggirkan Islam.

Ataturk membawa kemajuan dari segi ekonomi dan pembangunan

Untuk mana-mana negara menjadi maju, memerlukan pelan ekonomi yang kukuh dan inilah yang menjadi keutamaan di mana Ataturk telah menubuhkan satu majlis khas untuk memikirkan strategi ekonomi negara.

Majlis ini kemudiannya menjalankan pelan kemajuan industri untuk 5 tahun di mana ia telah mendapat sambutan hangat dan keuntungan yang banyak.

Selain itu, Ataturk telah memberi hak wanita yang lebih meluas. Undang-undang baru yang diambil dari negara Swiss telah membenarkan wanita untuk mengundi dan pada masa yang sama mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang sama seperti kaum lelaki.

Sekolah telah diwajiibkan dan tidak dikenakan yuran hasilnya, kadar celik huruf di Turki telah meningkat dari 9% kepada 33% dalam masa 10 tahun.

Kejayaan Ataturk tidak terhenti dalam negara sahaja, malah Turki telah dijemput untuk menyertai League of Nations (persatuan negara sebelum PBB).

Dalam masa yang sama, Ataturk bersama negara jiran telah mengasaskan Balkan Entente (persatuan Balkan) yang merupakan satu organisasi yang membincangkan tentang kedamaian sekitar kawasan Balkan.

Jadi, dari segi luaran mungkin kita boleh melihat yang Turki sudah maju dan mempunyai masa depan yang cerah, tetapi adakah ia satu pengorbanan yang berbaloi apabila agama dan budaya terpaksa dibuang demi mengejar kemajuan?

Malah, daripada segi ekonomi, tidak semua hidup selesa di Turki kerana golongan minoriti sering ditindas dan dinafikan kerakyatan mereka.

Orang Kurdish ditindas

Walaupun bangsa utama Turki dapat merasai kemajuan yang dibawa oleh Ataturk, golongan Kurdish telah mendapat layanan yang sangat berbeza.

Orang Kurdish yang menetap di Turki sejak Sebelum Masihi lagi adalah antara bangsa asal, tetapi disebabkan mereka tidak ramai, mereka telah dianggap sebagai warga kelas kedua.

Semasa Ataturk berusaha mencapai kemerdekaan untuk negara Turki, orang Kurdish dijanjikan pelbagai kata-kata manis, taktik sama terhadap umat Islam.

Tetapi, Ataturk kemudiannya mengharamkan penggunaan bahasa Kurdish di tempat awam dan langsung tidak dibenarkan untuk diajar disekolah.

Ataturk kemudian telah memaksa semua orang Kurdish berpindah ke Barat negara itu untuk tinggal di kawasan pedalaman.

Malah, disebabkan tidak diiktiraf sebagai warganegarga yang sah, mereka sering dibuli oleh pihak berkuasa dan dipaksa meninggalkan segala ajaran dan budaya nenek moyang mereka untuk mengikut aliran budaya Turki yang baharu.

Bagi yang menentang, mereka akan dibunuh atau diseksa oleh tentera Ataturk.

Malah, sewaktu kemerdekaan Turki, seramai 40,000 hingga 250,000 orang Kurdish telah dibunuh dengan kejam manakala lebih kurang 210 kampung Kurdish telah dibakar, dengan alasan semua orang Kurdish yang mati telah dilabel sebagai “pengganas”.

Sebenarnya, kaum Kurdish bukanlah minoriti kerana merangkumi lebih kurang 25% dari jumlah penduduk besar Turki.

Pada tahun 2011, Presiden Turki sekarang, Erdogan, telah mewakili pihak kerajaan untuk meminta maaf kepada orang Kurdish terhadap pembunuhan yang terjadi pada tahun 1936-1939.

Semangat perkauman dan agama dimanipulasi

Sebelum kejatuhan Empayar Uthmaniyyah lagi, rakyatnya sudah lama bergaduh sesama kaum, lalu semangat perkauman inilah yang Ataturk telah gunakan untuk mendapatkan sokongan bangsa Turki.

Apabila sudah berkuasa, Ataturk menggunakan agama Islam sebagai alasan supaya rakyat tidak memberontak.

Contohnya, apabila kuasa khalifah dijatuhkan, Ataturk berkata dia sebenarnya mencontohi kerajaan Abbasiyah, tetapi sedikit demi sedikit dia menjadikan Turki sebuah negara sekular yang dipimpin oleh satu parti, malah menindas orang Kurdish dan pihak pembangkang.

Tidak dinafikan Ataturk telah banyak membawa kemodenan terhadap negara Turki, malah ramai yang menganggap Ataturk sebagai hero negara.

Malah, walaupun Ataturk sudah meninggal dunia pada tahun 1938, falsafah yang dibawanya masih terngiang-ngiang di kalangan rakyat Turki.

Ironinya, Ataturk telah menggunakan identiti bangsa Turki sebagai alasan untuk menghapuskan budaya dan agama Islam yang telah lama diamalkan rakyat Turki sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soscili