Maksud B40, M40 Dan T20 Berdasarkan Jumlah Pendapatan Isi Rumah Di Malaysia

Golongan B40 adalah golongan sasaran yang wajib dibantu dalam sesebuah negara, manakala dianggarkan terdapat lebih lapan (8) juta isi rumah di bawah kategori B40 dan M40, dengan 2.7 juta daripadanya adalah golongan B40 manakala selebihnya adalah M40.

Maksud B40, M40 Dan T20

Pada pembentangan Bajet 2019 yang lepas, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) merupakan antara penerima manfaat paling besar belanjawan negara kali ini berbanding golongan pendapatan pertengahan dan tinggi.

Apa Itu B40, M40 Dan T20?

Takrif isi rumah mengikut kumpulan pendapatan yang diguna pakai di Malaysia adalah terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi (T2), pertengahan 40% (M40) dan pendapatan terendah 40% (B40).

Berikut adalah maklumat berkaitan maksud B40, M40 dan T20 meliputi jumlah pendapatan dan kepentingan mereka.

JUMLAH PENDAPATAN B40, M40 & T20

Berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014, kumpulan golongan kumpulan pendapatan di Malaysia ditakrifkan seperti berikut:-

GOLONGAN B40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40 atau Bottom 40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.00.

Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK). Nilai PGK nasional adalah RM950.00 sebulan.

Kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani kemiskinan dan ketidak seimbangan sosioekonomi.

Pelbagai program dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan B40 tanpa mengira jantina, kumpulan etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi B40.

B40 telah menerima banyak manfaat pada Bajet 2019 dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang amat tinggi di Malaysia terutamanya di bandar.

Beberapa inisiatif yang diperkenalkan adalah seperti berikut:-
  • Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk 3 kategori penerima berpendapatan sehingga RM4,000.
  • Peningkatan subsidi elektrik isi rumah untuk penggunaan RM20 ke bawah kepada RM40.
  • Pengenalan subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc dan ke bawah dan pemilik motosikal 125cc dan ke bawah juga sangat diperlukan kerana kebanyakan pemilik kenderaan sebegini adalah daripada golongan B40.
  • Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 bakal memberi penjimatan kos perbelanjaan harian golongan B40.
  • Lain-lain – Pendidikan dan kesihatan serta Bantuan Skim Peduli Kesihatan dan MySalam.

GOLONGAN M40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di antara RM3,860.00 hingga RM8,319.00.

Golongan kelas pertengahan adalah pemacu kepada ekonomi atau M40, adalah sangat penting kepada kesejahteraan negara.

M40 adalah tunjang kepada perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta di Malaysia.

M40 juga merupakan satu kumpulan yang kritikal untuk sumber manusia, pelaburan dan keusahawanan.

GOLONGAN T20

Kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi (T20) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan RM8,319.00 dan ke atas mereka adalah penggerak ekonomi dan majikan kepada M40 dan B40.

Kesimpulan

Bagi mencapai status Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, langkah untuk memfokuskan kepada golongan yang berpendapatan rendah atau B40 adalah penting.

Ini kerana bagi negara yang berstatus berpendapatan tinggi, masyarakatnya perlulah berada dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tinggi dan bukan dalam kalangan B40.

Namun, kerajaan perlu juga membantu golongan M40 dan T20 untuk kesejahteraan rakyat, bagi membantu meningkatkan keadaan eknomi Malaysia pada masa kini dan hadapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: permohonan