Sejarah Unduk Ngadau, Pertandingan Ratu Cantik Kebangaan Rakyat Sabah

Menjelang bulan Mei setiap tahun, Sabah Negeri Di Bawah Bayu akan menghimpun jelitawan yang bakal meraih gelaran Unduk Ngadau, satu pertandingan ratu cantik yang disertai oleh anak-anak dara tempatan negeri Sabah yang berbangsa Kadazan-Dusun.

Ratu Kaamatan
Ratu Kaamatan.

Pertandingan Unduk Ngadau ini dibuka penyertaannya kepada semua anak-anak gadis yang tinggal di daerah seluruh Sabah bagi mewakili negeri tersebut walau bagaimanapun, pertandingan ini tidak dibuka kepada peserta yang beragama Islam.

Sejarah pertandingan Unduk Ngadau mula diadakan pada tahun 1960 yang disandang oleh Yong Mee Lan dari daerah Penampang.

Walau bagaimanapun, dalam tahun 1960-an, pertandingan ini dikenali sebagai Miss Kadazan dan pada era 1970-an, nama pertandingan ini ditukar kepada Miss Harvest Festival dan sekali lagi ditukar pada era 80-an.

Bermula pada tahun 1991, nama Unduk Ngadau digunakan sebagai nama pertandingan ini dan gelaran Unduk Ngadau pada tahun 1990 ialah Julia Augustine juga dari daerah Penampang.

Dalam pertandingan Unduk Ngadau ini, wakil dari daerah Penampang kerap menyandang gelaran juara dan direkodkan bahawa telah menjadi juara sebanyak 28 kali.

Mungkinkah anak-anak gadis dari daerah Penampang lebih jelita dan bijaksana belaka?

Legenda Huminodun

Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau berkait rapat dengan legenda seorang gadis, bagi memperingati pengorbanan seorang 'sumandak' yang bernama Huminodun.

Menurut legenda, dikisahkan terdapat sebuah keluarga iaitu Kinoingan dan isterinya Suminundu bersama 8 orang anak, 6 lelaki dan 2 perempuan.

Malang telah menimpa apabila tanaman padi pada ketika itu tidak membuahkan hasil yang baik menyebabkan penduduk di perkampungan tersebut tidak mempunyai makanan yang cukup dan hampir kebuluran.

Bagi mengatasi masalah itu, dikhabarkan bahawa Kinoingan perlu mengorbankan anak perempuannya, Huminodun, untuk mendapatkan hasil tanaman yang lumayan.

Dalam suasana yang sedih, Kinoingan dan Suminundu menerima keputusan Huminodun yang sanggup berkorban demi menyelamatkan penduduk kampung tersebut daripada kebuluran.

Pengorbanan Huminodun ini telah menyelamatkan penduduk kampung tersebut seperti yang diceritakan bahawa darahnya telah menghasilkan padi, kepalanya menjadi kelapa, tulangnya menjadi ubi kayu dan jarinya menjadi halia.

Sementara giginya menjadi bijirin, keledek pula terhasil dari lututnya dan bahagian badan yang lain menghasilkan pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan.

Pengorbanannya yang besar ini telah menghasilkan makanan yang mencukupi dan membawa kepada masyarakat suku kaum Kadazan dan Dusun untuk mengadakan Magavau iaitu satu upacara kesyukuran kepada Bambazon atau semangat padi dan upacara inilah yang dikenali sebagai Kaamatan.

Upacara kesyukuran ini juga berkait rapat dengan Sugandoi iaitu Bobolian (bahasa dusun) atau Bobohizan (bahasa kadazan), mendendangkan mantera memuja semangat yang memberikan rezeki yang lumayan.

Pertandingan ini bukan setakat pertandingan yang mempamerkan kecantikan para gadis, ia turut menuntut keintelektualan dan kebijaksanaan seseorang gadis berkenaan pelbagai isu yang berkaitan dengan kaum Kadazan-Dusun.

Para peserta juga mesti memahami dan menghayati konsep pakaian tradisional dan aksesori yang dikenakan oleh mereka.

Warna, motif sulaman dan jenis aksesori yang digunakan menyimpan maksud tersiratnya yang tersendiri.

Peserta Unduk Ngadau juga harus bijak mempertingkat kehidupan golongan anak dara tempatan di samping melestarikan warisan tradisi yang ditinggalkan oleh nenek moyang.

Maksud Unduk Ngadau

'Unduk' bermaksud pucuk atau daun muda tumbuhan sementara 'ngadau' atau tadau bermaksud matahari dalam keadaannya yang paling terang, melambangkan keremajaan yang mekar dengan kecantikan menggambarkan fizikal yang baik, kualiti kekuatan, bersemangat dan kasih sayang berada pada puncaknya.

Apabila nilai ini diterjemah kepada ‘Unduk Ngadau’ wanita terpilih antara wanita jelita yang memiliki nilai yang tinggi serta maksud yang lebih mendalam bukan sekadar penampilan fizikal semata-mata.

Selain itu, perkataan Unduk Ngadau juga datang daripada perkataan 'Runduk Tadau', membawa maksud 'gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari'.

Antara soalan yang mungkin ditanya:

1. Bahasa ibunda masyarakat etnik Sabah semakin kurang digunakan dalam pertuturan sehari-hari oleh generasi sekarang. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang boleh diambil supaya bahasa ibunda ini tidak pupus suatu hari nanti?

2. Perebutan dan pergaduhan adik-beradik disebabkan oleh tanah pusaka sudah begitu sinonim di kalangan masyarakatkita. Pada pendapat anda, bagaimana cara untuk menangani masalah ini?

3. Masyarakat umum menyedari bahawa pendidikan sangat penting untuk menjamin masa hadapan. Walau bagaimanapun, anak perempuan selalu dinafikan hak mereka dalam mendapatkan pendidikan tinggi atas alasan “akhirnya ke dapur juga”.

Sekiranya anda dalam situasi ini, bagaimanakah cara anda meyakinkan ibu bapa anda agar anda diberikan peluang yang sama untuk berjaya?

Bahasa Ibunda

Dalam pertandingan ini juga, peserta mestilah menguasai bahasa ibunda dengan baik kerana memiliki kemahiran komunikasi yang sangat baik.

Sama seperti pertandingan ratu cantik yang lain, peserta Unduk Ngadau juga perlu menjawab soalan yang dikemukakan dengan penuh keyakinan dan dengan jawapan yang berkualiti.

Dan pada akhir bulan Mei atau awal Jun, pertandingan akhir akan menentukan siapakah penyandang Unduk Ngadau pada tahun tersebut.

Senarai Pemenang Unduk Ngadau 1960-2018
  1. 1960 Yong Mee Lan (Penampang)
  2. 1961 Talian Bunal (Papar)
  3. 1962 Marcella Tiansim (Papar)
  4. 1963 Mary Badak (Putatan)
  5. 1964 Rita Bagong (Tuaran)
  6. 1965 Molina Daniel (Papar)
  7. 1966 Patricia Sinidol (Penampang)
  8. 1967 Florence Bibi (Papar)
  9. 1968 Rita Mojilis (Penampang)
  10. 1969 Sylvia Totu (Penampang
  11. 1970 Helen Mojinil (Penampang)
  12. 1971 Mary Jaikoh Imbayan (Tamparuli)
  13. 1972 Evelyn Sinidol (Penampang
  14. 1973 Prisca Tikoh (Penampang)
  15. 1974 Susanna Jipanis (Penampang)
  16. 1975 Rita Sikawah (Penampang)
  17. 1976 Edwina Totu (Penampang)
  18. 1977 Mary Marjorie Kinjau (Penampang)
  19. 1978 Veronica Jefferin (Penampang)
  20. 1979 Mary Solly (Penampang)
  21. 1980 Roslina Amit (Tuaran)
  22. 1981 Janet Dabi (Penampang)
  23. 1982 Margaret Dolly Jimayol (Penampang)
  24. 1983 Janet Kinjau (Penampang)
  25. 1984 Esther Sikayun (Penampang)
  26. 1985 Florence Jipiu (Penampang)
  27. 1986 Johanna Sybil Disimond (Penampang)
  28. 1987 Joan Glory Tommy (Penampang)
  29. 1988 Jenny Alasa (Penampang)
  30. 1989 Deidre Peter Mojuntin (Penampang)
  31. 1990 Julia Augustine (Penampang)
  32. 1991 Sylvia Sandralisa Orow (Tuaran)
  33. 1992 Anita Pudin (Putatan)
  34. 1993 Luzie Tham (Inanam)
  35. 1994 Agatha Nora Lojumin (Penampang)
  36. 1995 Justinah Manius (Kawang)
  37. 1996 Lynnefra Wong (Sandakan)
  38. 1997 Jane Lisa Marie William (Bongawan)
  39. 1998 Jeremiah Ginajil (Inanam)
  40. 1999 Kathie Renjus (Inanam)
  41. 2000 Regina Intang (Melalap)
  42. 2001 Nicolita Sanseh Masi (Putatan)
  43. 2002 Patricia Raymond (Kiulu)
  44. 2003 Daphne M. Iking (Kuala Lumpur/Klang Valley)
  45. 2004 Fharelynne Ivonne Henry (Tamparuli)
  46. 2005 Madelyne M. Nandu (Penampang)
  47. 2006 Devenna Jaicob (Sulaman)
  48. 2007 Joanna Sue Henley Rampas (Tuaran)
  49. 2008 Leonie Lawrence Gontuni (Penampang)
  50. 2009 Appey Rowena Januin (Papar)
  51. 2010 Crystel Eve Huminodun William Majimbun (Tanjung Aru)
  52. 2011 Bo Tiza Arthur Disimond (Penampang)
  53. 2012 Melinda Louis (Telupid)
  54. 2013 Immaculate Lojuki (Kota Kinabalu)
  55. 2014 Cheryl Lynn Pinsuis (Kota Kinabalu)
  56. 2015 Ryannie Niels Yong (Tangjung Aru)
  57. 2016 Sherry Anne Laujang (Penampang)
  58. 2017 Kerinah Mah (Kota Kinabalu)
  59. 2018 Hosiani James Jaimis (Inanam)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots