'Hero Sebenar' Avengers: Endgame

Semua sedia maklum kemasukan terakhir francais Avengers, Endgame, sedang hangat ditayangkan di pawagam dan sudah memecah pelbagai rekod pecah panggung seperti kutipan terpantas $100 juta dan kutipan terpantas $150 juta.

Avengers Endgame

Tatkala peminat beremosi melihat adiwira kesayangan mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Marvel Cinematic Universe (MCU), terdapat beberapa detik dalam filem berkenaan yang dianggap kemuncak kepada pelbagai plot yang menjadi teras Infinity Saga.

Harmoni

Harmoni atau lebih tepat kewujudan harmoni dua entiti dalam satu tubuh bukanlah satu perkara yang dapat dicapai dalam kamus kehidupan Dr Bruce Banner dan The Hulk.

Sejak terdedah kepada sinaran gamma melampau yang membawa kepada kewujudan Hulk, bukan sekali dua Banner berusaha membuang apa yang dianggap satu sumpahan yang mengganggu peluang mendapatkan kehidupan normal.

Tetapi, selepas melihat ia sebagai tidak berhasil, beliau cuba mengawal transformasinya sekali gus membolehkan Hulk muncul pada masa-masa yang diperlukan saja seperti melawan jentera perang Chitauri dalam filem Avengers.

Tetapi, semua itu berakhir apabila Banner gagal pulih seperti biasa dan Hulk mendominasi beliau dalam tempoh dua tahun selepas Avengers: Age of Ultron.

Seperti diceritakan beliau kepada Thor dalam Thor: Ragnarok, dahulu kedua-duanya dapat mengawal transformasi.

Tetapi, dengan The Hulk sebagai pemandu, jika Banner bertukar semula kepada Hulk, beliau tidak akan kembali normal seperti biasa.

Dan itulah harga yang dibayarnya demi menyelamatkan penduduk Asgard dari menjadi makanan haiwan kesayangan Hela, Fenris, sekali gus membantu mereka meninggalkan Asgard.

Keadaan ini berterusan sehinggalah Hulk dikerjakan sampai lembik oleh Thanos dan walaupun berjaya dihantar pulang ke bumi oleh Heimdall, trauma dari serangan Thanos nyata memberi kesan kepada Hulk dari segi emosi.

Hulk diakui antara makhluk paling kuat dalam MCU dan berupaya menjadikan orang seperti Loki atau Abomination seperti patung mainan dan ini mewujudkan mentaliti bahawa dirinya kebal dan tidak boleh dikalahkan.

Tetapi, dengan kekalahan memalukan di tangan Thanos, Hulk enggan keluar pada saat yang diperlukan Banner untuk melawan Children of Thanos.

Walaupun cuba dipaksa keluar, Hulk enggan berbuat demikian dan memaksa Banner menggunakan sut perisai Hulkbuster untuk melawan angkatan perang Thanos dalam Avengers: Infinity War dan menahan Mad Titan itu dalam babak-babak awal Endgame.

Dalam tempoh lima tahun selepas Decimation (peristiwa Thanos memetik jari menggunakan Infinity Gauntlet), masa tersebut digunakan kedua-duanya untuk mencari titik persamaan dan berbaik semula.

Atas sebab itulah, apabila Kapten Steve Rogers (Captain America), Natasha Romanoff dan Scott Lang mencari Banner, mereka terkejut melihat penampilan barubya.

Dari segi luaran, ia memang The Hulk tetapi bezanya, Banner yang kini mengawal tindak tanduknya.

Beliau sendiri mengakui semasa melihat transformasi barunya itu, dia seakan-akan tidak percaya bahawa ia berlaku.

Tetapi, apabila kedua-duanya memilih kewujudan harmoni bersama, ia bukan saja menghapuskan terus reputasi Hulk sebagai raksasa yang tidak berakal malah menjadikannya sebagai antara selebriti pujaan ramai.

Dan ia juga membantu Banner terus mempraktikkan pengetahuannya membantu kempen Avengers melawan Thanos dalam Endgame.

‘Kuat itu bukan saja pada fizikal tetapi juga pada hati’

Teringat kita pada dialog antara Rogers dengan Dr Abraham Erskine, arkitek Projek Rebirth dalam Captain America: The First Avenger.

Pada malam sebelum eksperimen dijalankan, Erskine mendedahkan satu sebab mengapa beliau memilih Rogers berbanding calon-calon lain yang dicadangkan Kolonel Chester Phillips: hati.

Calon-calon lain memang diakui mempunyai kekuatan dan kelajuan fizikal tetapi dari segi keazaman dan kesediaan untuk berkorban, tiada siapa boleh mengatasi Rogers termasuk kesanggupannya merebahkan badan di atas bom palsu semasa ujian pemilihan diadakan.

Dan siapa sangka, kekuatan hati itu juga membolehkannya memegang dan menghayun tukul kesayangan Thor, Mjolnir semasa melawan Thanos.

Ia sebenarnya merupakan satu jenaka dalam Age of Ultron di mana semua anggota Avengers cuba mengangkat Mjolnir.

Semua anggota Avengers dari Tony Stark (main tipu guna sarung tangan sut dan bantuan James ‘Rhodey’ Rhodes) hingga Banner sendiri gagal mengangkat Mjolnir.

Hanya Rogers sahaja yang dapat mengangkat sedikit sebelum akhirnya mengaku kalah.

Menurut Thor, hanya orang yang dianggap layak sahaja yang boleh menghayun Mjolnir dan itu direalisasikan dalam Endgame di mana Rogers menggabungkan perisai dan Mjolnir semasa menyerang Thanos bertubi-tubi termasuk serangan kilat yang sinonim dengan Thor.

Permainan senjata Cap dengan Thanos ini juga turut mengimbas dialog antara Rogers dengan Red Skull (Johann Schmidt) semasa membebaskan tawanan perang tentera Bersekutu di kemudahan HYDRA di Austria.

Skull menegaskan pencapaian Erskine melalui Serum Tentera Supernya terhadap dirinya dan Cap menjadikan mereka lebih hebat daripada manusia biasa.

Tetapi berbeza dengan Skull, Rogers menggunakan kekuatan barunya itu sebagai sumber kebaikan termasuk membantu orang-orang yang tidak berdosa.

Dan itu menjadikan dirinya layak menggunakan Mjolnir, satu penghormatan yang dipegang oleh beberapa orang seperti Thor dan Vision.

‘Berkorban apa saja…’

Tema pengorbanan bukan sesuatu yang baru dalam MCU dan ia sudah dapat dilihat sejak Iron Man (2008) lagi.

Tema sebegini digunakan bukan saja untuk menaikkan elemen emosi sesebuah filem tetapi juga mengukuhkan lagi peranan protagonis yang menjadi teras utama sesebuah filem.

Iron Man misalnya mengorbankan watak Yinsen bukan sekadar membantu Stark melarikan diri dari kem pengganas di Gulmira tetapi juga memulakan perjalanannya sebagai adiwira yang kita kenali sebagai Iron Man.

Sementara Rogers pula bersedia mengorbankan dirinya dengan menjunamkan pesawat Valkyrie HYDRA ke dalam laut bagi mengelakkan ia digunakan sebagai pesawat pengebom ke atas Amerika Syarikat.

Pengorbanan tersebut menjadi batu loncatan kepada dirinya bergelar seorang Avenger pada era moden.

Dalam Endgame, Cap sedar bagi menewaskan Thanos, suka atau tidak setiap Avengers perlu berkorban apa saja demi menewaskan Mad Titan itu walaupun ianya amat berisiko.

Sebab itulah, sebelum mereka kembali ke masa silam untuk mencuri batu-batu Infiniti, beliau hanya mengungkapkan kalimah ini, “Whatever it takes (Lakukan apa sahaja).”

Ini kerana batu-batu ini merupakan satu-satunya peluang menewaskan Thanos dan memulihkan semula kerosakan yang ditinggalkan Mad Titan itu dan harga yang dibayar amat besar bagi memulihkan semula keadaan.

Satu daripada pengorbanan yang dilakukan Avengers ialah bila Romanoff dan rakan karibnya Clint ‘Hawkeye’ (Ronin Barton) saling berlawan semata-mata untuk mengorbankan diri demi mendapat Batu Roh (Soul Stone).

Impak dari perbuatan wanita bergelar Black Widow itu nyata memberi impak psikologi kepada semua anggota Avengers termasuk Barton sebaik pulang daripada misi mendapatkan batu-batu Infiniti.

Tetapi, pengorbanan Romanoff berbaloi kerana pada akhirnya, mereka berjaya menggunakan batu-batu tersebut untuk mengembalikan hidupan yang bertukar menjadi habuk semasa Infinity War.

Hero-hero yang pulih ini juga menjadi sokongan kepada Avengers bila berhadapan dengan angkatan perang Thanos dari Ravagers sehinggalah pahlawan-pahlawan Asgard diketuai Valkyrie, tetapi ia masih tidak boleh mengatasi pengorbanan yang paling besar.

‘Akulah Iron Man'

Dialog ini tidak asing bagi peminat siri filem Iron Man dari Iron Man (2008) hinggalah Iron Man 3 (2013).

Dalam filem pertama, kenyataan ini lebih bersifat deklarasi bahawa dia sememangnya seorang adiwira bergelar Iron Man kepada media.

Sementara filem ketiga pula menjadikan ia satu soalan bahawa adakah dia tetap Iron Man walaupun tanpa kelibat sut perisai yang sinonim dengan dirinya.

Naratif filem ketiga itu mengembalikan semula keyakinan Stark bahawa beliau ialah Iron Man dan bersedia berhadapan dengan apa sahaja halangan kerana baginya, tiada yang mustahil.

Dan bagi menambah elemen mistik di sebalik kenyataan ini, kita juga perlu melihat perjalanan spiritualnya sebagai adiwira dari Iron Man (2008) hinggalah Endgame.

Sebelum dikenali sebagai adiwira, Stark memang seorang ahli perniagaan yang tiada kompas moral dan terlalu mementingkan diri sendiri.

Tetapi selepas diculik oleh Ten Rings dan hidup dalam tahanan selama beberapa bulan, ia sebenarnya mengubah dirinya menjadi seorang yang berani, berazam dan tidak teragak-agak bertindak atas nama kebaikan.

Sejak itu, beliau mengharungi pelbagai insiden yang mematangkan dirinya sebagai insan yang lebih baik dari The Avengers (2012) hinggalah Spiderman: Homecoming dan ia sebenarnya menyediakan Stark untuk detik ini.

Untuk pertarungan terakhir antara Thanos dengan Avengers dan sekutu mereka, semua sedar matlamat utama Mad Titan ialah mendapatkan semula sarung tangan Infiniti yang mengandungi batu-batu Infiniti untuk mengulangi peristiwa Decimation.

Maka, ini mendorong ramai adiwira bertarung habis-habisan dari Barton hinggalah Spiderman untuk memastikan Thanos tidak mendapat batu-batu itu.

Di sebalik cubaan berani mereka, ia masih tidak berhasil dan ramai merasakan bila dia menyarung semula sarung tangan itu, akan ada ulangan Decimation seperti dalam Infinity Wars.

Tetapi tanpa pengetahuan Thanos, batu-batu tersebut berjaya dirampas Stark dan diaktifkan dengan satu niat: penghapusan Thanos dan angkatan perangnya.

Dan pada masa itu jugalah, kalimah epik itu diungkapkan, “And… I.. am… Iron Man (Dan… akulah… Iron Man)."

Dan peristiwa Decimation berulang cuma bezanya ia hanya berlaku ke atas Thanos dan angkatan perangnya.

Tetapi, harga yang dibayar Stark untuk petikan jarinya itu ialah nyawanya sendiri, satu kehilangan yang amat menyedihkan ramai pihak dari Pepper Potts (isteri Stark pasca-Decimation) hinggalah Avengers sendiri.

Namun, kalimah yang dilafazkannya itu bukan sekadar satu deklarasi semata-mata kepada Thanos.

Tetapi ia juga merupakan manifestasi sikap tidak mementingkan diri Stark yang menyerlahkan lagi sisi keperwiraannya dan memenuhi janjinya terhadap Yinsen untuk tidak membazirkan kehidupannya selepas melarikan diri daripada tahanan Ten Rings 11 tahun lepas.

Stark tidaklah sehebat Thor, Captain Marvel atau Cap, tetapi dari segi keperibadian, beliau juga mempunyai hati yang besar bersesuaian dengan tarafnya sebagai seorang Avengers.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots