Cara Samak Yang Betul Jika Menyentuh Anjing

Antara riwayat yang menceritakan berkaitan cara menyucikan bekas yang dijilat anjing adalah daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali." Riwayat al-Bukhari (172)

Cara Samak yang betul

Mengikut pendapat Mazhab Syafie wajib dibasuh tempat yang terkena najis Mughallazah sebanyak tujuh kali iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain).

Jika di dapati najis itu tetap ada ain (nampak), bau dan rasanya maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.

Caranya ialah:
  • Pertama: Buang najis terlebih dahulu (jika ada).
  • Kedua: Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja).
  • Ketiga: Bilas dengan air biasa yang suci sebanyak enam kali.

Apakah kaedah dan jenis tanah yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan samak?

Di dalam hadis tidak diisyaratkan bahawa Nabi SAW memerintahkan sahabat agar menggali permukaan bumi bagi mendapatkan tanah untuk bersuci.

Hukum Membasuh Dengan Tujuh kali basuhan

Para ulama al-Malikiyyah berpandangan bahawa membasuh bekas dengan tujuh kali basuhan adalah Ta’abudiyy maka dengan itu mereka berpandangan bahawa air yang dijilat anjing adalah suci.

Adapun jumhur iaitu ulama al-Hanafiyyah, al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa Ta’abbud hanya pada bilangan tujuh dan bukan pada amalan menyucikan kerana ia adalah mu’allal (bersebab). Di sebabkan itu, air yang dijilat oleh anjing adalah najis.

Di dalam masalah ini juga, para ulama berbeza pendapat adakah wajib membasuh sebanyak tujuh kali kepada dua pendapat:

Pertama: Wajib membasuh tujuh kali dan ini adalah pendapat di dalam mazhab Malik, mazhab al-Syafie dan juga mazhab Ahmad. Mereka ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Kedua: Tidak wajib membasuh sebanyak tujuh kali dan ini merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah. Ini kerana, mereka mengatakan bahawa air liur anjing seperti najis-najis yang lain cukup sekadar membasuhnya dengan sekali basuhan jika itu telah menghilangkan kenajisannya. Akan tetapi membasuh sebanyak tujuh kali adalah mustahab bukannya wajib.

Mereka berdalilkan bahawa Abu Hurairah r.a. pernah mengeluarkan fatwa bahawa cukup membasuh sebanyak tiga kali bagi kenajisan air liur anjing seperti yang terdapat di dalam riwayat-riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Thahawi dan al-Daraquthni. Ini menunjukkan bahawa bilangan tujuh itu termansuh.

Pendapat kedua ini boleh dijawab dengan beberapa jawapan, antaranya:

Fatwa Abu Hurairah ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan. Beramal dengan apa yang beliau riwayatkan daripada Nabi SAW adalah lebih utama berbanding daripada apa yang beliau fatwakan.

Abu Hurairah juga pernah berfatwa agar dibasuh sebanyak tujuh kali dan sanadnya lebih kuat.

Membasuh sebanyak tujuh kali itu bertepatan dengan riwayat Marfu’ iaitu sampai kepada Nabi SAW.

Hukum Tatrib Pada Menyucikan Najis Anjing

Ulama al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya.

Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”. [Riwayat Muslim (279) dan Ahmad (9511)]

Mereka juga mengqiyaskan khinzir dengan anjing. Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). [Lihat: Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 114/3]

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa ulama telah berbeza tentang hukum penggunaan tanah bagi menyucikan najis mughallazah, hanya ulama Syafieyyah dan Hanabilah yang mewajibkan penggunaan tanah.

Turab di dalam Bahasa Arab membawa maksud bahagian tanah yang lembut pada permukaan bumi.

Definisi ini boleh didapati di dalam kamus serta mu’jam Bahasa Arab seperti Mu`jam al-Ghaniy, Mu`jam al-Ra’id, Mu`jam al-Lughah al-`Arabiyyah al-Mu`asir dan Mu`jam al-Wasit.

Adapun tanah mengikut Kamus Dewan, ia membawa maksud lapisan bumi yang di atas sekali iaitu lapisan luar yang terzahir di atas muka bumi ini.

Ulama yang mewajibkan sertu (samak) tidak berkhilaf tentang jenis tanah yang digunakan.

Justeru itu, dibolehkan menggunakan segala jenis tanah lembut samada di atas atau di bawah permukaan bumi sebagaimana yang difahami orang Arab melalui ensiklopedia (mu’jam) atau kamus mereka.

Maka, samada ianya adalah tanah (soil) atau tanah liat (clay) seperti yang difahami oleh ahli geologi, kedua-duanya dibolehkan.

Tambahan pula, agama kita terbina bagi memudahkan umatnya dalam melaksanakan sesuatu dan menolak sikap takalluf iaitu sifat membebankan diri dalam beribadah.

Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati dan memberi kita kefahaman dalam agama. Amin.

Wallahu a’lam

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp