Asal-usul Bubble Tea Di Malaysia

Ini kisah orang pertama yang menjadikan budaya minum bubble tea sebagai satu cara hidup yang bergaya ke dalam Malaysia. Namanya ialah Bryan Loo, seorang bekas jurujual di syarikat bioteknologi.

Asal Bubble Tea Malaysia

Tanpa pengalaman di dalam bisnes makanan dan minuman (F&B), dia telah memutuskan membawa masuk bubble tea ke Malaysia dari Taiwan di bawah jenama Chatime.

Sifat Keusahawanan Dari Kecil Lagi

Bryan mula minat berniaga pada usia 7 tahun. Semasa bersekolah di Perlis, dia mencipta buku komik dan kemudian menyewakannya kepada rakan kelas dengan caj RM0.50.

Dari situ dia belajar mencari duit poket sendiri. Dia juga belajar tentang bisnes melalui ibu bapanya.

Tetapi, apabila dia berpeluang menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, Bryan memilih jurusan sains kerana mahukan kelainan.

Bryan meminati biologi dan bagaimana tubuh manusia dan binatang berfungsi jadi, dia mengambil jurusan bioteknologi di Universiti Monash.

Sekembalinya ke Malaysia, dia bekerja sebagai eksekutif jualan di StemLife, syarikat bioteknologi stem cell yang menyimpan darah tali pusat bayi baru lahir untuk kegunaan masa depan.

Selepas 2 tahun bekerja menjual produk orang lain, Bryan mahu menjual produknya sendiri dan dengan latihan saintifik, pengalaman kerja dan minat terhadap bisnes telah membantu Loo memajukan bisnesnya.

Bryan juga menggunakan kemahiran penyelidikan dan pembangunan untuk mengkaji perisa baru sama ada bersesuaian atau tidak dengan citarasa orang tempatan.

Peluang Bubble Tea Di Malaysia

Bryan melihat ada kelompongan di dalam industri F&B berkaitan air teh. Meskipun rakyat Malaysia sinonim dengan air teh tetapi tiada tempat yang baik dan moden untuk lepak dan minum air teh seperti Starbucks dan Coffee Bean di Malaysia.

Dalam masa yang sama, global dilanda penangan bubble tea yang berasal dari Taiwan.

Bubble tea ialah sejenis minuman air teh Asia yang dicampurkan dengan susu atau sirap buah-buahan dan kebiasaannya ia mengandungi bebola ubi kayu.

Kepopularan budaya minum bubble tea telah membuka mata Bryan sewaktu dia berada di Taiwan.

Maka, selepas membuat kajian berkaitan dengan bubble tea, Bryan telah mendatangi 10 jenama pembuat teh yang terkenal untuk melihat sama ada mereka mahu atau tidak membuka pasaran baru di Malaysia. Sayangnya, semua menolak idea Bryan.

“Saya bertemu dengan mereka satu demi satu, saya ditolak.” – Bryan Loo.

Tetapi tuah Bryan bermula apabila seorang kawan mengkhabarkannya tentang sebuah syarikat di Taiwan yang dikenali sebagai Zhi Qu Cha Tsai.

Jalannya dipermudahkan apabila syarikat tersebut membuka peluang kepada Bryan untuk berbincang.

Dipendekkan cerita, Bryan berjaya membawa hak franchise Zhi Qu Cha Tsai ke Malaysia dan menjenamakannya semula sebagai Chatime supaya serasi dengan pasaran Malaysia.

Kedai pertama Chatime dibuka pada September 2010 dan kini ia mempunyai 172 kedai dengan 880 orang staf di seluruh Malaysia.

Budaya Moden Minum Teh Di Malaysia

“Menjadikan minum teh sebagai satu budaya yang bergaya di Malaysia adalah satu cabaran,” kata Bryan.

Ini kerana masyarakat sering mengaitkan bubble tea atau air teh susu mutiara yang dicampurkan dengan teh, sirap, mutiara ubi kayu, buah dan susu sering dikaitkan dengan gerai pasar malam.

Jadi, untuk menjadikan minuman berasaskan teh sesuatu yang bergaya, Bryan mensasarkan golongan muda yang trendy dan ada kesedaran kesihatan serta suka minum kopi sebagai pelanggan Chatime.

Pada permulaan Chatime, Bryan perlu meyakinkan pihak pengurusan pusat membeli-belah bahawa Chatime akan menarik orang ramai sebagai pelanggan seperti mana Starbucks.

Semua usaha itu berbaloi apabila kini Chatime menyediakan 1.2 juta cawan teh setiap bulan dan pendapatan tahunan mencecah lebih RM100 juta.

Selepas kejayaan Chatime, Bryan yang bekerjasama dengan isteri (pengawal kewangan syarikat) kini mempunyai rangkaian piza dan mesin air sparkling yang pertama di Malaysia.

Ini menunjukkan Bryan tidak akan berhenti mengembangkan bisnesnya dan sentiasa berusaha menjadi contoh dan usahawan yang berjaya supaya satu masa nanti syarikatnya akan membolosi pasaran di negara ASEAN yang lain.

9 Fakta Menarik Bubble Tea

1. Bubble tea pertama kali muncul di Singapura pada tahun 1992

Bubble tea pertama kali diperkenalkan di Singapura pada tahun 1992. Kedai bubble tea pertama dibuka di Marina Square dan saat itu mereka lebih seperti kafe. Hanya pada tahun 2001 minuman tersebut menjadi sangat popular.

2. Dahulu bubble tea disebut boba tea

Ketika pertama kali muncul di Singapura pada tahun 1992, Bubble tea dinamakan Boba tea, dengan dua ukuran mutiara, iaitu mutiara besar dan mutiara kecil.

Istilah boba tea muncul kerana pada mulanya menggunakan mutiara kecil namun, beberapa orang lelaki memutuskan untuk membuat mutiara besar dan menyebutnya "boba".

Sebenarnya, boba adalah bahasa pasar untuk payudara besar dalam bahasa Cina.

3. Bukan hanya digemari orang Asia, tetapi dunia

Percaya atau tidak, bubble tea kini telah menguasai dunia. Banyak bubble tea bermunculan di negara-negara bukan-Asia seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Yang lebih menarik adalah munculnya makanan selain minuman, seperti roti bubble tea, hot tea bubble tea dan bubble tea pizza.

4. “Gelembung” dalam bubble tea bukanlah mutiara

“Gelembung” sebenarnya adalah buih yang anda dapatkan ketika mengocok minuman. Bubble tea yang paling otentik sebenarnya dibuat dengan teh hitam atau hijau yang baru diproses, susu dan gula, kemudian dikocok bersama ais di dalam pengocok koktail.

Mengocok teh inilah yang memberikannya busa buih di atas minuman.

5. Bubble tea tidak mengandungi mutiara

Faktanya, bubble tea paling asli sebenarnya tidak mengandungi mutiara. Ini adalah kesalahfahaman ramai orang.

Itu sebabnya penjual selalu bertanya, adakah anda ingin memakai mutiara atau tidak?

6. Asal mula mutiara yang beracun

Mutiara terbuat dari tapioka, sejenis pati yang diekstrak dari tanaman ubi kayu, merupakan sumber makanan seharian, tetapi tahukah anda bahawa jika tidak ditangani dengan betul sebelum dimakan, sisa sianida mungkin tertinggal?

Mutiara adalah zat beracun yang ketika dicerna boleh menyebabkan sakit kepala, mual, muntah dan menyebabkan kelumpuhan, tetapi jangan khuatir, memasak sudah cukup untuk menghilangkan semua racun.

7. Sangat murah dan mudah dibuat

Adanya pelbagai rasa baharu dan menarik membuatjan harga bubble tea menjadi mahal. Tapi sebenarnya, bubble tea sangat mudah dan murah untuk dibuat!

Anda hanya perlu membeli bubble di supermarket, merebusnya dengan air gula, kemudian menambahkannya ke teh kegemaran anda. Cukup mudah bukan?

8. Bubble tea memiliki kalori tinggi

Meskipun memiliki rasa yang lazat, ternyata bubble tea mengandungi banyak kalori. Bahkan tanpa sebarang campuran, teh itu sendiri mengandungi gula yang tinggi dan perisa tambahan.

Selain itu, seperempat cawan bubble menambah lebih dari 100, sehingga 300 kalori.

Bubble tea juga rendah kandungan vitamin, rendah mineral, rendah serat dan hanya menyediakan sejumlah kalori kosong. Kerana itu, anda cenderung mengalami sembelit setelah meminum bubble tea.

9. Bubble tea boleh menjadi minuman sihat

Bubble tea yang dibuat secara tradisional dengan bahan-bahan buatan, teh yang tidak segar dan banyak kandungan gula yang digunakan, membuatkan persepsi umum bahawa bubble tea termasuk minuman yang tidak sihat.

Tapi, tahukah anda bahawa bubble tea juga boleh menjadi minuman sihat. Caranya, ketika membeli bubble tea, mintalah kadar gula lebih rendah, mintalah susu segar sebagai pengganti krim bukan-susu, mintalah bubble tea tanpa mutiara tapioka pekat atau susu untuk mengurangkan kalori dan terakhir mintalah pilihan topping yang lebih menyihatkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2