Berlian Merah Jambu, Siapa Cakap Bohong?

Pada 10 April 2019 lalu, Rosmah Mansor memberitahu media bahawa ada orang (atau sejumlah orang) datang menemuinya untuk memohon maaf kepadanya dan dia memaafkan mereka tetapi, kata Rosmah, apa yang lebih penting ialah orang itu mesti memohon maaf kepada rakyat kerana membuat mereka percaya kepada 'fitnah' yang dilemparkan terhadapnya.

Berlian Merah Jambu
Gambar hiasan.

Katanya lagi, dia ingatkan rakyat bijak untuk "mempercayai kebenaran, tetapi "mereka terpedaya dengan pembohongan" terhadapnya.

Apa yang mendorong isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu tampil berkata demikian ialah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah mengenai berlian 22 karat berwarna merah jambu yang kerap dikaitkan dengannya.

Dua hari sebelumnya, Amiruddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa ejen jualan yang membawa berlian bernilai jutaan ringgit itu telah dibawa keluar dari negara.

"Ya, ejen dah ikrar bawa (berlian) masuk, kemudian ada pengikraran benda yang sama bawa keluar. Jadi tidak berlaku pembelian (oleh isteri VVIP itu), sudah dibawa balik oleh ejen ini,” katanya.

Bagi Rosmah, kenyataan itu jelas membersihkan namanya daripada apa yang disifatkannya sebagai tohmahan dan fitnah berkaitan berlian merah jambu itu.

Namun, jika diteliti kenyataan timbalan menteri kewangan, kata kuncinya ialah, tiada pembelian di Malaysia! Ia sama sekali tidak bermakna berlian itu tidak dijual atau tidak dibeli sama sekali.

Adakah Najib Berbohong?

Suami Rosmah, Najib Razak ketika ditemuramah rangkaian berita antarabangsa Al Jazeera Oktober 2018 lalu turut ditanya mengenai berlian merah jambu itu.

Jawapan diberikan adalah sangat mengejutkan jika dikaitkan semula dengan dakwaan berlaku fitnah terhadap Rosmah ketika ini kerana mengingati semula pengakuan Najib, ia merupakan hadiah pemberian putera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mansour Zayed dan dia tidak tahu siapa yang membayar untuk Berlian Merah tersebut.

Mengapa pula putera raja itu mahu memberi hadiah, apatah lagi berlian yang cukup mahal harganya?

Kata Najib, pemberian hadiah mahal memang budaya Timur Tengah.

Kesimpulannya, berlian merah jambu tidak dibeli di Malaysia, tetapi mungkinkah transaksi dibuat di luar negara?

Adakah ia dibeli dengan wang 1MDB? Siapa yang membeli dan menerimanya? Berlian itu milik siapa sekarang? Adakah seperti wang 2.6 bilion, berlian merah jambu telah dikembalikan?

Nampaknya kena tunggu kes 1MDB dibicarakan di mahkamah. Rasanya semua akan terhurai di sana.

Sementara itu, ingin ditegaskan bahawa untuk mengatakan rakyat tidak bijak kerana terpedaya dengan pembohongan mengenai berlian merah jambu itu adalah satu kenyataan yang tidak adil.

Tidak adil untuk rakyat biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini