Sombong Dan Cakap Bohong Akhirnya Kalah Di Semenyih

Mengikut kata sahibul hikayat maka Pakatan Harapan (PH) pun kalahlah dalam pilihan raya kecil Semenyih. Maka anak-anak muda pun berkumpul dan menari-nari. Bertandak dan berjoget. Sambil berjoget sambil membuat pantun sebagai kenang-kenangan zaman berzaman.

Punca PH kalah

Maka seantero bumi Pakatan Harapan pun sibuk mencari sebab musabab kekalahan. Malah sosok seperti YB DAP Ronnie Liu yang jarang berfikir panjang pun mengeluarkan pendapat hingga dilapor oleh portal berita.

Kelihatan semua ini pencarian sebab musabab rambang. Segala satu macam kisah yang memperkukuh sebab musabab pun dikumpul. Ada yang menyakitkan hati dan ada yang menggembirakan.

Dari segala sudut kita dapat mendengar sebab musabab kenapa Pakatan Harapan kalah di Semenyih. Dari segi politik. ekonomi dan sosial.

Pelbagai bentuk dan rupa tok perawi datang. Semua mengakui membawa khabar-khabar sahih lalu terhasillah rumusan tentang Semenyih.

Waythamoorthy

Kita yakin kes Waythamoorthy, mamat yang cuba menjadi wira perjuangan India ini mempengaruhi keputusan di Semenyih. Wira ini sedang senyap tak bersuara lagi tapi bahang celopar mulutnya belum selesai. Nama Adib masih segar di telinga.

Keyakinan ini diperkukuhkan dengan adanya satu tunjuk perasaan yang kecil selepas sembahyang Jumaat, sehari sebelum membuang undi.

Kemarahan Perokok

Demo kecil ini bukan kes kuil. Ini kes hina nabi. Tapi rentak dan bunyinya sama. Tukang pukul gedang dan tetawak pun datang dari kumpulan boria yang sama. Apa isi dan bentuk nabi dihina - wallahu a'lam bisawab.

Kita juga menerima khabar bahawa ramai anak muda menyampah dengan Pakatan Harapan kerana kes ganja. Ops, kes rokok!

Di Semenyih, anak muda memprotes hak mereka untuk merosakkan paru-paru mereka. Anak muda memprotes hak mereka untuk menjadi bodoh.

Hak-hak asasi mereka ini telah diganyang oleh menteri kesihatan Pakatan Harapan. Anak muda ajar mereka di Semenyih.

Menurut anak-anak muda, cara dan bunyi suara menteri kesihatan menjawab kes rokok dianggap kurang sopan, angkuh dan sombong.

Sebenarnya kes rokok dan kes kuil ini sama. Dua pak menteri ini memang berniat baik. Tidak ada niat jahat dalam benak mereka. Mereka mahu menjadi wira rakyat.

Mereka nak buktikan kepada para pengundi bahawa mereka sedang melakukan sesuatu. Hendak membuktikan bahawa kementerian mereka menjalankan tugas.

Tetapi, pak menteri dua ekor ini terlupa tentang konsep demokrasi. Tentang konsep berbincang. Tentang mendengar pandangan orang lain dalam usaha, niat dan cita cita mereka untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan umat.

Yakinlah sejarah telah dan masih membuktikan bagaimana Presiden Bush dari Rumah Putih datang membawa projek kebebasan dan demokrasi untuk warga Iraq. Hasilnya apa? Lu fikir la sendiri.

Hang Jebat ada beri ingatan, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Buat baik tak ada salah tapi bincang terlebih dulu. PH bukan 'terer' sangat pun.

Mabuk Kuasa

Kemudian, kita membaca kenyataan dari seorang penyokong PKR yang memberi sebab kenapa kalah. Mengikut beliau, ini kekalahan disebabkan Pakatan Harapan telah hilang roh dan jiwa. Bukan lagi berjiwa rakyat.

Ini juga sebab yang betul. Kecil pinggan tose dulang tembaga kita hulurkan. Dalam masa hampir setahun ini kelihatan Pakatan Harapan, lebih tepat lagi kelakuan dan perangai para penyokong mereka dan menteri, cukup memualkan.

Umum telah merasakan bahawa orang-orang PH dan menteri ini merasa bahawa kemenangan 9 Mei dahulu adalah kemenangan mereka. Mereka telah mabuk ganja. Ops, maaf, mereka telah mabuk kuasa!

Mereka lupa yang menjatuhkan Najib dan Rosmah ialah orang ramai. Undi dan sokongan orang ramailah yang membolehkan Dr Dzul dan Waythamoorthy menjadi menteri.

Perkara ini wajib ditanamkan ke dalam benak mereka yang semakin tebal seperti kepala Lokman Adam.

DAP

Rais Yatim juga ada bercakap tentang suara dan perangai DAP. Ini berkait rapat dengan bunyi suara dan komentar politik dua beranak dari keluarga Lim. Dalam bahasa Melayu, dalam istilah Rais Yatim, parti Cina DAP ini wajib dilunakkan.

Dalam kuliah politik hari ini mulut wajib dilada hanyalah satu konsep. Mustahil Mahathir akan melada mulut Guan Eng dan mulut Kit Siang atau mulut Ronnie Liu.

Dalam fikrah apa saja hujah yang kita dengar tentang sebab musabab Pakatan kalah di Semenyih adalah sahih. Walaupun bunyinya bodoh. Tapi dalam suasana sekarang Pakatan harapan wajib menerima; yang baik atau yang busuk.

Janji Dicapati

Kita dengar Pakatan Harapan tidak tunai janji. Satu Semenyih heboh dengan janji Pakatan Harapan. Cakap-cakap tak tunai janji ini memang tepat. Janji wajib ditepati bukan dicapati.

Justeru jalan keluar yang cepat dari suasana muram ini ialah menunaikan janji. Tunaikan dengan cepat dan pantas. Mustahil kita lupa dengan janji kita. Kalau buat-buat lupa, itu munafik.

Dulu masa kempen;

“Bila kita tubuhkan kerajaan baru, Najib dan Rosmah akan di tangkap, mereka masuk penjara.”

“Tun, sila angkat pen. Lihat Mahathir masih boleh angkat pen. Pen ini untuk tandatangan Najib dan Rosmah masuk penjara.”

Ingat. Ingat. Ingat. Mari kita bersama-sama melawan lupa.

Bukankah kita telah berkempen ke hulu ke hilir berjanji untuk menangkap Najib dan Rosmah. Bukankah dari Kangar hingga ke Gelang Patah hingga ke Tanjung Piai hingga ke Gua Musang hingga ke Kota Belud hingga ke Kuching kita telah berjanji.

Kita berjanji akan menangkap pencuri, penyamun, perompak, perasuah dan penyalah guna kuasa.

Mana janji itu? Azeez Tabung Haji. Isa Samad. Tengku Adnan. Nazri bin Aziz. Azalina. Sahrizat. Zahid Hamidi. Mat Hasan. Khairy Jamaluddin. Hishamuddin Hussein. Apa sudah jadi?

Dunia mengetahui bahawa si Najib dikaitkan dengan kes pembunuhan. Ini bukan orang Malaysia saja cakap. Ini laporan TV Australia. Khalas.

Hei, bro Muhyiddin

Kita juga difahamkan kaki busuk, orang jahat di belakang tabir sudah dibenarkan keluar negara. Apakah ini betul? Jika betul kita mahu tanya Bro Muhyiddin.

“Hei bro, apa sudah jadi? Rusuk siapa telah patah?”

Hakikatnya, orang ramai mahu semua orang jahat masuk penjara. Inilah janji yang dinanti-nanti oleh orang ramai. Janji ini wajib ditunaikan dengan segera.

Lim Guan Eng tidak perlu pergi ke China pinjam duit untuk menunaikan janji ini. Azmin Ali tak perlu pinjam duit Bank Dunia atau International Monetary Fund untuk memenjarakan Najib dan Rosmah. Kita tidak perlu tunggu Jabatan Penjara Malaysia menjadikan quinoa pengganti nasi.

Masukkan orang-orang jahat ke dalam penjara sekarang. Sudah hampir satu tahun. Justeru wajib disedari bahawa orang ramai kecewa kenapa Najib dan Rosmah tidak memakai baju kuning - orang kena tuduh- ketika ditahan. Kenapa Najib dan Rosmah tidak digari.

Malah kita ada dengar si Najib ini enggan masuk ke kandang orang salah ketika dibicarakan di Mahkamah Jalan Duta. Woit, si Najib ini siapa? Kenapa Najib berani berbuat demikian?

Hadiahkan Najib satu penampar untuk sedarkan dia bahawa United Malays National Organisation akan dipadamkan.

Walhal sebenarnya juga, jika PH perlukan masa untuk menunaikan janji, cukuplah sekadar ayat, "Kami mohon maaf."

Tak perlu pun sejuta alasan dan ayat-ayat yang menyakitkan hati rakyat.
Siakap senohong,
ikan kelah ikan tengeh,
selalu cakap bohong,
jawabnya kalah di Semenyih.
Fikir-fikirkanlah.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini