Fakta Perjanjian Air 1962 Singapura-Malaysia

Isu air dari Johor ke Singapura telah melalui beberapa siri rundingan sejak tahun 1998 dalam usaha Malaysia mendapatkan harga terbaik jualan air dari sungai-sungai di Johor. Singapura menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu mematuhi sepenuhnya perjanjian air 1962 selepas Malaysia berterusan mengkritik harga air yang dijual ke Singapura adalah ‘tidak masuk akal’ dan merancang untuk merundingkan semula terma perjanjian tersebut.

Perjanjian air 1962

Kementerian Luar Singapura berkata, perjanjian 1962 dijamin oleh kedua-dua negara dalam perjanjian berasingan, yang mana didaftarkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, menjadi sumber ketegangan kedua-dua negara.

Untuk rekod, Singapura hanya perlu membayar 3 sen untuk setiap seribu gelen air dan perjanjian yang akan berakhir pada tahun 2061 itu membenarkan Singapura untuk mengambil 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor.

Sebagai balasan, Johor akan mendapat air terawat sehingga 2 peratus daripada air yang dibekalkan ke Singapura.

Singapura hanya membayar 3 sen untuk setiap seribu gelen air mentah dari Sungai Johor dan menjual air terawat pada harga 50 sen bagi setiap seribu gelen air kepada Johor.

Berikut Adalah Fakta Perjanjian Air Singapura–Malaysia:

1. Perjanjian air pertama ditandatangani oleh Sultan Ibrahim II iaitu Sultan Johor pada masa itu dan Pesuruhjaya Perbandaran Singapura pada 5 Disember 1927, di mana perjanjian ini telah terbatal dan tidak lagi diguna pakai.

2. Kerajaan Persekutuan Malaya menandatangi perjanjian air pada 1 September 1961 yang memberikan Singapura hak mendapatkan 86 juta gelen air sehari dari Sungai Tebrau, Sungai Skudai, takungan air Pontian, dan takungan air Gunung Pulai berkuat kuasa sehingga tahun 2011.

3. Perjanjian dibuat sekali lagi pada 29 September 1962 yang membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor yang berkuat kuasa sehingga tahun 2061.

4. Perjanjian air 1961 dan 1962 membenarkan kajian semula harga selepas 25 tahun iaitu pada 1986 dan 1987, tetapi Malaysia memilih untuk tidak mengkaji harga tersebut pada masa itu.

5. Rundingan semula telah dibuat terhadap isu ini semasa Mahathir membangkitkan isu tersebut pada tahun 1998. Sepanjang empat tahun beberapa siri rundingan telah dibuat tetapi gagal mendapat kata putus yang baru seterusnya menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi tegang.

6. Tun Mahathir mengambil keputusan untuk menamatkan rundingan pada tahun 2002.

ISU PANAS

Bekalan air ke Singapura sentiasa menjadi beban politik kepada Malaysia kerana ia dianggap sebagai menguntungkan Singapura dari banyak segi terutama kos yang melampau-lampau rendah.

Ini terutamanya kerana Singapura hanya membayar 3 sen bagi setiap seribu gelen, sedangkan Melaka membeli air dari Johor pada kadar 30 sen setiap seribu gelen.

Bagaimanapun, pada 2011 perjanjian pertama dengan Singapura akan tamat, dan Singapura tidak berhasrat untuk memperbaharuinya.

Pihak Singapura menolak rundingan semula perjanjian air kerana menganggap ia mencabar kedaulatan Singapura sebagai negara yang bebas.

Kerajaan Malaysia pula menganggap ia tidak mencabar kedaulatan Singapura, kerana ia terkandung dalam syarat perjanjian asal.

Teks bahasa Melayu:-

"Klausa 17 pada Perjanjian 1961 dan Klausa 14 pada Perjanjian 1962 jelas menyatakan: "Provisi pada perenggan (i) dan (ii) pada klausa terdahulu bagi kedua-duanya mestilah bergantung kepada semakan semula selepas tamat tempoh iaitu 25 tahun selepas dari kedua-dua ini dimeterai...." Dua puluh lima tahun selepas 1961 dan 1962 jelasnya bermaksud bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987. Ini tidak bermaksud semakan semula mesti dibuat pada kadar segera diantara dua tahun ini. Bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua belah pihak dibenarkan mengikut perundangan menyemak semula harga tersebut."

Teks asal dalam bahasa Inggeris:-

"Clause 17 of the 1961 Agreement and Clause 14 of the 1962 Agreement state clearly: "The provisions of paragraphs (i) and (ii) of the foregoing clause of these presents shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents ..." Twenty-five years after 1961 and 1962 respectively means any time after 1986 and 1987. This does not mean the review must take place immediately on these two dates. Any time after 1986 and 1987, both sides are legally permitted to review the price."

NEW WATER

Kerajaan Singapura bertindak balas dengan membina logi air bagi menghasilkan New Water pada kos SG30 sen.

Ini bukan semata-mata bagi memenuhi keperluan air, tetapi juga sebagai memenuhi kepentingan strategik pertahanan negara.

Bekalan air tamat 2011

Pada 27 April 2010, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura akan menyerahkan kembali Loji Air Sungai Skudai, di Johor Bahru kepada pihak kerajaan negeri Johor. Ini kerana perjanjian itu tamat pada tahun 2011.

Sementara, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, menyatakan Singapura tidak berhasrat memperbaharui kontrak kerana bekalan air Singapura mencukupi. Satu lagi perjanjian air Malaysia-Singapura akan tamat pada tahun 2061.

Pemulangan loji air dan rumah pam ke Malaysia

Pada 1 September 2011, pihak Singapura menerusi Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) telah bertindak memulangkan kembali 4 kemudahan utama perbekalan air iaitu dua buah loji air dan dua buah rumah air kepada kerajaan negeri Johor.

Empat kemudahan itu adalah:
  • Loji Air Gunung Pulai, Johor.
  • Loji Air Sungai Skudai, Johor Bahru, Johor.
  • Rumah Pam Pontian, Pontian, Johor.
  • Rumah Pam Tebrau, Johor.

Antara sebab pemulangan kemudahan perbekalan air ini adalah akibat tamat kontrak 50 tahun bekalan air menurut Perjanjian Air 1961 yang telah berakhir pada tahun 2011.

Selain itu, ia juga disebabkan Singapura sudah mempunyai bekalan air yang mencukupi kerana air mentah yang disalurkan/dijual dari Malaysia kepada Singapura, adalah pada kadar yang begitu murah iaitu sekitar 3 sen setiap 1000 gelen.

Malaysia pula menurut perjanjian baru air tahun 1962 perlu membeli air terawat dari Singapura pada harga 50 sen setiap 1000 gelen. Ini dilihat telah dapat menguntungkan pihak Singapura bagi merancakkan teknologi rawatan air dan keselamatan negaranya.

Selain itu, perjanjian pemulangan kemudahan air kepada Malaysia ini telah dipersetujui antara Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato Seri Najib Razak bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 24 Mei 2010.

Walau bagaimanapun, Singapura menerusi (PUB) masih terus menguruskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu sehingga tahun 2061 kerana Perjanjian Air 1962 sah untuk tempoh 100 tahun.

Majlis menandatangani penyerahan 4 buah kemudahan utiliti air tersebut telah disaksikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2