10 Superfood Yang Anda Patut Makan Setiap Hari Untuk Menjaga Kesihatan Mata

Menurut Shania Khialani, seorang pakar nutrisi dan diet dari Pusat Dietitians Marie-Claire O Shea di Australia, ada banyak kajian yang telah dibuat tentang fungsi vitamin A dan kaitannya dengan mata dan ternyata, kita boleh memperbaiki kesihatan mata dengan mengambil beberapa jenis makanan, terutamanya yang tinggi kandungan Vitamin A.

Makanan superfood untuk mata

Shania menjelaskan bahawa satu kajian pada tahun 2011 yang dijalankan oleh Universiti Oxford telah membuktikan kaitan antara Vitamin A dengan pengurangan masalah mata.

Antara masalah penglihatan yang dapat dikurangkan jika kita mengambil banyak Vitamin A adalah seperti rabun malam dan xerophthalmia (satu keadaan di mana mata kita gagal menghasilkan air mata).

Jadi, sebagai seorang ibu dan ayah pada hari ini, amatlah wajar untuk anda memberikan makanan superfood yang tinggi kandungan Vitamin A kepada anak anda, supaya tahap penglihatan dan power matanya terjaga, selain untuk amalan orang dewasa.

10 makanan superfood untuk mata

Jika anda perlukan sedikit saranan tentang jenis makanan apa yang anda boleh masukkan dalam diet harian supaya kesihatan mata anda dan keluarga sentiasa terjaga, mari lihat senarai di bawah!

1. Lobak

Sememangnya, lobak adalah antara makanan yang sering dikaitkan dengan penglihatan yang bagus.

Kalau anda nak tahu, sayuran dan buahan berwarna oren dan kuning mempunyai beta karotene yang tinggi. Ia adalah sejenis Vitamin A yang boleh dijumpai dalam tumbuhan yang dapat membantu melindungi mata anda.

Masukkan hirisan lobak dalam hidangan sup ayam, bubur nasi, pasta, atau salad.

2. Sayuran hijau yang berdaun

Sayuran berwarna hijau serta berdaun seperti parsli, bayam dan kale mempunyai kandungan lutein dan zeaxanthin yang tinggi.

Dua bahan ini membantu meningkatkan tahap penglihatan kerana ia menjadi makanan utama karotenoid yang ada pada retina mata manusia.

Malah, ia turut melindungi mata dari pancaran matahari yang berbahaya kerana fungsi antioksidan tinggi yang turut ada pada bahan ini.

Jangan masak sayuran hijau ini terlalu lama kerana khasiatnya akan berkurangan jika terlebih masak.

Celur atau tumis beberapa minit sahaja sebelum menghidangkannya.

3. Salmon

Diet yang tinggi kandungan asid lemak omega 3 juga dikatakan dapat memberikan kesan positif pada retina mata kita.

Kebanyakan minyak ikan seperti salmon sangat kaya dengan asid lemak omega 3, yang membantu retina mengatasi masalah keradangan.

Untuk hidangan yang ringkas dan cepat, anda hanya perlu bakar atau grill salmon dalam periuk pan bersama mentega sehingga keperangan. Ia sangat mudah untuk disediakan.

4. Avokado

Ini lagi satu superfood yang dapat membantu menjaga mata kerana dikatakan mempunyai kandungan lutein yang tinggi berbanding semua sayuran dan buahan lain!

Jika diambil selalu dan dalam jangka masa yang panjang, avokado dapat mencegah risiko katarak dan penyusutan makula.

Lenyekkan avokado dan buat hidangan makanan pejal atau, hiris avokado dan masukkan ke dalam hidangan sandwich supaya kita mendapat bekalan lemak dan Vitamin E yang baik untuk mata!

5. Telur

Ini adalah antara bahan yang mudah untuk dijumpai di dapur kan? Ia memberikan banyak khasiat pada mata dan juga seluruh badan kita, pastikan anda turut memakan bahagian kuning.

Ini kerana, warna kuning itu kaya dengan khasiat dan nutrien. Semakin pekat warna kuning telur itu, semakin berkhasiat dan bagus untuk anda!

Rebus telur dan hancurkan bersama lada hitam dan mayonis. Buat sandwich atau telur separuh masak dan makan bersama roti kaya – yummy!

6. Lada Benggal (Capsicum)

Selalunya, lada benggal atau capsicum, boleh didapati dalam pelbagai warna (seperti warna traffic light!) iaitu merah, kuning dan hijau.

Capsicum mengandungi Vitamin A yang bagus untuk penglihatan dan menjaga mata dari terkena penyakit.

Potong lada benggal kecil-kecil dan tumis. Campurnya dalam hidangan sup atau nasi.

7. Kekacang

Kekacang juga adalah sejenis superfood yang sesuai untuk dimasukkan dalam hidangan untuk menjaga mata.

Antara contoh kekacang yang bagus adalah seperti almond dan kacang gajus kerana ia kaya dengan Vitamin E dan asid lemak omega 3. Ia membantu mengurangkan kekeringan mata.

Jadikan kekacang sebagai snek sementara menunggu waktu hidangan utama. Masukkan juga kacang ini ke dalam hidangan.

8. Blueberry

Ia mengandungi bahan magikal yang dikenali sebagai anthocyanosides, bahan yang selalunya ada pada retina mata kita dan membantu mata untuk penglihatan waktu malam.

Jika diambil selama 2 bulan, anda pasti akan dapat melihat perbezaannya pada penglihatan anda pada waktu malam.

Disebabkan buah blueberry tidaklah mudah untuk diperolehi di kedai runcit atau supermarket, mungkin anda boleh membelinya dalam bentuk kapsul atau pil.

Kandungan yang patut anda ambil setiap hari adalah 600mg.

9. Dark Chocolate

Kalau anda gemar coklat pula, Dark chocolate kaya dengan flavonoid yang dapat membantu melindungi saluran darah dalam mata dan menguatkan lensa serta kornea mata.

Jadikan dark chocolate sebagai snek harian malah, anda turut boleh membuat minuman coklat panas menggunakan dark chocolate.

10. Wolfberry

Ini lagi satu jenis berry dikenali sebagai buah beri Goji, buahan yang kecil, merah dan manis ini kaya dengan tonik yang dapat menjelaskan penglihatan mata.

Ia turut dijadikan sebagai satu bahan remedi bagi masalah mata yang tinggi, mata kering dan penglihatan kabur.

Ia disebabkan oleh kandungan beta karotena, Vitamin B, Vitamin C, serta asid linoleik yang ada di dalam buah beri Goji ini.

Masukkan buah wolfberry ke dalam air lai ci kang bersama dengan longan dan kurma untuk meningkatkan kesihatan mata anda!

Cuma, jangan makan lebih satu biji sekali makan kerana kandungan vitaminnya terlalu tinggi. Anda akan rasa mual dan pening jika overdose. 1 biji pagi dan 1 biji petang.

Jadi, cuba semua cadangan hidangan di atas dan lihat bagaimana ia membantu mengekalkan kesihatan mata anda!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM