5 Perubahan Dunia Dalam Mengatasi Kemiskinan Pada Tahun 2018

Hampir sebulan selepas 2018 melabuhkan tirai, data daripada pelbagai aspek mula dikeluarkan oleh badan utama termasuk Bank Dunia.

Mengatasi Kemiskinan

Tumpuan kepada kemiskinan tegar terus diberi penekanan di mana meskipun data menunjukkan penambahbaikan, namun isu itu dijangka akan tertumpu kepada satu wilayah sahaja iaitu Afrika Sub-Sahara.

Ini antara lima perkara dunia capai sepanjang 2018.

1. Kemiskinan tegar berada pada tahap terendah dalam sejarah

Pada 1990, lebih satu pertiga penduduk dunia berdepan kemiskinan tegar dengan pendapatan AS$1.90 (kira-kira RM7.80) sehari atau kurang.

Namun pada 2018, data terkini menunjukkan kadar kemiskinan tegar mencecah 10 peratus, terendah dalam sejarah.

Sejak tiga dekad lalu, sejumlah satu bilion penduduk dunia berjaya keluar dari kemiskinan tegar dengan separuh dari negara di dunia berjaya mengatasi masalah tersebut dan mempunyai data kemiskinan di bawah kadar 3 peratus.

Namun menurut Bank Dunia, lebih banyak perkara perlu dilakukan kerana sejumlah 736 juta orang masih hidup dalam kemiskinan tegar.

2. Kemiskinan tegar kini lebih tertumpu di Afrika Sub-Sahara

Jumlah penduduk miskin tegar di Afrika Sub-Sahara terus meningkat dari 278 juta pada 1990 kepada 413 juta pada 2018.

Pada tahun itu, Afrika Sub-Sahara menempatkan 27 daripada 28 negara paling miskin di dunia dengan jumlah miskin tegar tertinggi jika dibandingkan dengan jumlah miskin tegar seluruh dunia.

Nigeria dijangka melepasi India daripada segi jumlah penduduk miskin tegar tertinggi.

Di wilayah lain, kadar kemiskinan tegar berada di bawah 13 peratus, manakala Afrika Sub-Sahara berada pada 41 peratus.

Menurut laporan Kemiskinan dan Perkongsian Kemakmuran 2018, faktor mendorong peningkatan miskin tegar di wilayah itu adalah pertumbuhan ekonomi terlalu perlahan, konflik dan institusi yang terlalu lemah.

3. 68.5 juta penduduk dunia ‘dipaksa berpindah’

Menurut Agensi Pelarian Pelarian Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) sejumlah besar penduduk dunia ‘dipaksa berpindah’ disebabkan penganiayaan, konflik atu keganasan.

Sejumlah 25.4 juta pelarian direkodkan seluruh dunia dan ditempatkan di negara membangun serta negara maju seperti Jerman yang menempatkan 970,000 pelarian, kebanyakannya dari Syria.

Di negara membangun pula, Lubnan menempatkan jumlah pelarian terbesar per kapita di dunia, iaitu satu daripada empat pelarian Syria.

Menurut Organisasi Antarabangsa untuk Migran, Uganda menempatkan sejumlah 1 juta pelarian Sudan Selatan, Bangladesh pula menempatkan 1 juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar dan 3 juta orang meninggalkan Venezuela dan lari ke Colombia akibat krisis ekonomi.

Sejumlah 70 peratus dari pelarian ini hidup di bawah garis kemiskinan.

4. 91 peratus populasi dunia hidup di kawasan dengan kualiti udara rendah

Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), 9 dari 10 penduduk dunia menyedut udara tercemar, data itu melibatkan 4,300 bandar dari 108 buah negara.

Sejumlah besar kawasan ini adalah di Wilayah Mediterranean Timur dan Asia Pasifik, diikuti Afrika dan Pasifik Barat.

Menurut data kualiti udara, 97 peratus bandar di negara berpendapatan rendah dan sederhana dengan lebih 100,000 penduduk, tidak memenuhi garis panduan kualiti udara WHO.

WHO menjangkakan 7 juta penduduk dunia mati setiap tahun akibat pencemaran udara di luar dan dalam rumah dengan 90 peratus kematian adalah di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

5. Kekurangan nutrisi dan tumbesaran terbantut dikaitkan dengan sanitasi yang teruk

Lebih 2.6 bilion penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada tandas dan air bersih untuk tujuan membasuh dan minuman.

Sanitasi teruk mengorbankan 1.6 juta nyawa setiap tahun dan menyumbang kepada kebantutan kanak kanak.

Lebih 150 juta kanak-kanak di seluruh dunia terbantut susulan kekurangan nutrisi terhadap ibu ketika mengandung.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani