Selepas Imam Besar Dan Pengarah JAIS, Kini Giliran Mufti Pula Beri Kenyataan
Pergolakan rumah tangga Hafiz Hamidun dan Joy Revfa mendapat ;perhatian umum apatah lagi melibatkan satu perkara yang amat sensitif iaiu melibatkan sah pernikahan.
Isu ini mendapat perhatian ramai pihak termasuk Imam Besar dan juga pengarah JAIS.
Terbaru, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Haji Zulkifli turut tampil memberikan pendapatnya.
Antara point yang diberi ialah:
-Mendaftarkan perkahwinan dan penceraian mengikut saluran sah
-Membuka aib tidak menyelesaikan masalah
-Elakkan menulis sangkaan belum pasti
-Elakkan memberi komen di media sosial
Ini kenyataan penuh daru Mufti Wilayah Persekutuan:
Melihat kepada fenomena yang tidak sihat berlaku dalam masyarakat tentang isu perceraian ini, kami tujukan nasihat ini kepada pihak-pihak berikut:
Nasihat Kepada Pasangan Suami dan Isteri
Islam mengajar umatnya agar memelihara hubungan perkahwinan dengan cara yang baik dan pembubaran juga dengan cara yang baik. Ini jelas seperti mana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah, “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”
Imam al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya (1/488) terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik”:
“Sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain, sehingga orang lain menjauhi (bekas isteri), jika dia mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua.
Penentuan agama secara bertahap dalam masalah talak ini menunjukkan kasih sayang Islam menangani persoalan kemasyarakatan yang memberi hasil kebaikan keluarga dan pendidikan anak-anak, membimbing fikiran dan kehidupan yang stabil. Oleh itu, dapat mewujudkan kerjasama ibu bapa dalam membetulkan kesilapan dan memaklumkan kepada mereka tentang perhatian orang tua sebaik-baiknya, setiap ibu bapa melaksanakan tugas sesuai pada tempatnya.”
Dalam konteks hari ini, cara ihsan itu termasuklah dengan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mengikut saluran yang sah lagi menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita. Ini termasuklah proses dokumentasi. Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu iddah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut. Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas iddah tamat.
Nasihat Keluarga Pasangan
Kepada keluarga pihak-pihak yang berselisih, seperti mertua, saudara lelaki dan perempuan, kami nasihatkan seperti berikut:-
“Pensyariatan hukum talaq dan natijahnya menurut Islam merupakan lambang kemuliaan syariat Islam. Ia juga merupakan dalil yang unggul, bahawa peraturan syariat Islam amat bersesuaian dengan fitrah manusia dan keperluan semula jadinya.
Hakikat ini jelas apabila kelihatan umat-umat yang lain mundur kembali, iaitu daripada pegangan mereka yang mengharamkan talaq dan menganggap perkahwinan sebagai penjara yang kekal abadi, yang dihuni oleh suami isteri sama ada mereka suka atau tidak.
Hal ini selepas mereka melihat pegangan tersebut akan menimbulkan natijah yang amat buruk dan jenayah yang amat berbahaya. Mereka telah sedar bahawa hubungan suami isteri tidak mungkin berlaku dengan paksaan. Jika dipaksa, akan timbul kecelakaan kepada seluruh keluarga, bahkan ia umpama gunung berapi yang membawa kebinasaan, pembunuhan dan kerosakkan. Syariat Islam amat mementingkan usaha mewujudkan persefahaman antara suami isteri berkasih sayang dan hidup bersama yang berkekalan.
Walaupun begitu, usaha ini tidak sekadar mengikat hasad kedua-dua suami isteri itu semata-mata, bahkan ia dilakukan dengan peringatan dan panduan ke arah mewujudkan pelbagai jaminan yang positif bagi menyuburkan kasih sayang dan persefahaman antara mereka.
Dengan cara ini, menjauhkan mereka daripada unsur perselisihan dan kebencian. Antara faktor terpenting yang dianjurkan oleh Islam adalah dengan wujudnya pegangan agama yang sahih di kalangan suami isteri, melaksanakan semua kewajipan yang ditentukan serta sentiasa berakhlak mulia, sebagaimana yang diaturkan oleh syariat Allah SWT.
Inilah faktor yang memelihara rumahtangga daripada keruntuhan dan juga mewujudkan syariat sebagai undang-undang yang dirujuk jika perlu, iaitu jika pasangan tersebut cuai daripada melaksanakan adab-adab yang telah disyariatkan oleh Allah bagi memelihara kehidupan rumahtangga dan perasaan cinta dan kasih sayang antara mereka.
Berdasarkan keadaan rumahtangga dan keluarga yang harmoni dan berpegang teguh kepada hukum-hukum Islam dan adab-adabnya, didapati kes-kes penceraian hampir tidak berlaku.
Apabila yang dilihat atau yang didengar ialah kebanyakan penceraian yang berlaku dalam keluarga yang bebas daripada ikatan Islam dan terkeluar daripada peraturan-peraturan dan adab-adabnya.”
Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (edisi terjemahan) (2/10-11)
Justeru, janganlah keluarga mana-mana pihak membuat kenyataan di media sosial kerana menyerahkan urusan ini kepada mereka yang tidak ada kuasa dan autoriti untuk menyelesaikan masalah hanyalah satu dosa dan kezaliman, membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah. Sebaiknya, berikanlah bantuan perlindungan dan kos-kos terbabit untuk penyelesaian kes yang lebih cermat dan berkesan.
Nasihat Kepada Para Wartawan
Kami susunkan nasihat kepada rakan-rakan wartawan yang membuat liputan isu ini, termasulah penulis-penulis akhbar, blog dan lain-lain, untuk memerhatikan perkara-perkara berikut:
Elakkan mengapi-api dan mensensasikan suasana kerana ini merupakan keaiban seorang Muslim.
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda di atas mimbar:
Maksudnya: “Wahai para pemuda yang telah Islam dengan lidahnya, tetapi iman belum lagi masuk dalam hatinya. Janganlah kalian menyakiti orang-orang Islam, mengejek dan menghina mereka, mengintip-ngintip keaiban mereka, kerana Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”
Riwayat Muslim (2032)
Berpeganglah dengan fiqh al-tabayyun untuk mendapatkan berita yang sahih daripada badan berautoriti yakni mahkamah.
Elakkan menulis sangkaan-sangkaan yang tidak pasti.
Firman Allah Taala:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah al-Hujurat: 49)
Elakkan menyubur kebencian
Nasihat Kepada Masyarakat Awam
Kepada masyarakat awam, kami nasihatkan sama seperti nasihat-nasihat di atas, dengan tambahan bahawa elakkan diri daripada memberi komen di media sosial yang tidak berdasarkan ilmu sebaliknya sangkaan semata-mata. Ini adalah sebahagian daripada kesempurnaan Islam. Renungilah nas-nas di berikut;
Daripada Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Antara kemurniaan Islam seseorang adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”
-Riwayat al-Tirmidzi (2317).
Apabila seseorang Muslim menyedari kewajipan dan tanggungjawabnya maka dia akan sibuk dengan dirinya dan memberi perhatian kepada perkara yang akan memberikan manfaat di dunia dan di akhirat. Dia akan menjauhi perkara yang sia-sia, menjauhkan dirinya daripada perkara keji dan memberi perhatian kepada perkara yang berkaita dengannya. Rujuk al-Kafi Syarah Hadis 40 (hal. 132)
Daripada Hudzaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu-domba.”
-Riwayat al-Bukhari (6056)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan golongan penipu. Pendusta menjadi orang terpercaya, manakala orang yang jujur pula didustai. Pengkhianat diberikan amanah manakala orang yang amanah pula dikhianati, dan Ruwaibidhah pula dibenarkan untuk bercakap.” Para sahabat bertanya, “Siapakah Ruwaibidhah itu.” Nabi menjawab: “Individu yang lemah lagi bodoh tetapi bercakap urusan umum.”
-Riwayat Ibn Majah (4036)
Semoga dengan pesanan-pesanan di atas dapat menghentikan budaya fitnah dan mengumpat yang melanda, memperbaiki hubungan kekeluargaan, dan penyelesaian yang menenangkan dapat diperolehi dalam kalangan pihak yang bertelingkah. InsyaAllah.
Akhukum fillah,
Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
24 Ogos 2017 bersamaan 2 Zulhijjah 1438H.