3 Perkara Ini Perlu Dilakukan Ibu Bapa Setelah Anak Balik Dari Sekolah

Hari persekolahan telah pun tiba, di mana banyak dapat dilihat dalam media sosial ada ibu bapa atau kenalan yang berkongsikan karenah anak mereka pada hari pertama persekolahan.

Anak

Tidak terkecuali juga buat guru, yang menggalas tanggungjawab untuk mendidik anak didikan mereka, melayan karenah juga memberikan yang terbaik buat pelajar mereka.

Dan tanggungjawab ini bukan hanya akan habis di sekolah sahaja, buat ibu dan bapa, mereka perlu mengetahui apa yang harus dilakukan sekembalinya anak dari sekolah.

Bagi seorang guru, yang telah mempunyai pengalaman yang banyak berhadapan dengan pelajar, iaitu Cikgu Asmadi Samad, terdapat beberapa perkara yang ibu dan bapa perlu lakukan, sesudah anak tiba ke rumah.

Untuk ketahui lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian dari Cikgu Asmadi.

Anak balik dari sekolah, ini apa yang perlu ibubapa buat

Fuh! Selesai hari pertama persekolahan di sini. Macam -macam karenah anak-anak. Ibu bapa pun tak kurang juga.

Banyak muka-muka teruja dengan hari pertama persekolahan hari ini. Terutama bagi mereka yang buat kali pertama menghantar anak ke sekolah. Anak sulunglah senang cerita.

Sempat beramah mesra bersembang-sembang dengan beberapa orang ibu bapa yang saya temui hari ini.

Macam-macam cerita dan celoteh mereka bersama anak-anak yang teruja dan bersemangat hadir ke sekolah.

Di sini saya kongsikan beberapa perkara yang perlu ibubapa lakukan apabila anak pulang dari sekolah sambil-sambil melayan celoteh mereka yang tak putus-putus tu.

1. Periksa beg sekolah anak untuk sebarang pemberitahuan atau surat daripada pihak sekolah

Sebarang info dan maklumat rasmi dari pihak sekolah biasanya akan dimaklumkan kepada para ibubapa melalui surat yang diedarkan kepada anak-anak untuk di bawa balik.

Sebagai contoh, tarikh-tarikh penting seperti penyerahan buku teks dan aktiviti, pemeriksaan kesihatan dan juga sebaran atau makluman mengenai program yang bakal dilangsungkan disekolah.

Banyak berlaku sebaran surat ini akhirnya terperap dalam beg sekolah anak kerana mereka terlupa untuk menyerahkannya kepada ibubapa.

Sering juga berlaku ibubapa mengadu tidak mendapat makluman dari pihak sekolah mengenai perkara-perkara di atas.

Dengan memeriksa beg sekolah anak-anak maka kita akan dapat mengelak daripada tercicir maklumat atau informasi berkaitan dengan sekolah.

2. Periksa kelengkapan sekolah anak terutama barang yang mudah hilang seperti pensil warna, pensil atau pemadam

Awal-awal persekolahan ini memang ibubapa perlu sangat-sangat kerap memeriksa kelengkapan anak-anak.

Ini kerana mereka masih dalam proses belajar mengurus diri. Masih lagi perlu belajar menyimpan dan mengemas alatan mereka selepas digunakan.

Perlu banyak bersabar kerana memang banyak alatan akan hilang atau tertukar.

Keraplah juga berpesan kepada mereka atau tunjukkan contoh bagaimana menyimpan semula alatan ke dalam bekas pensil atau beg sekolah.

Minta mereka pulangkan semula alatan yang bukan milik mereka sekiranya terjumpa. Lama-kelamaan mereka akan mula belajar menjaga dan menghargai alatan mereka.

3. Bersembang seketika dengan anak mengenai pengalaman mereka di sekolah

Tanyakan juga beberapa perkara seperti berikut:
  1. Cikgu ada pesan suruh bawak apa-apa tak esok?
  2. Ada sesiapa yang kacau atau ambil barang kamu tak?
  3. Ada tak kawan-kawan yang mintak duit dari kamu?

Soalan-soalan di atas penting untuk memastikan mereka terus bersemangat dan bermotivasi untuk terus ke sekolah.

Ia juga sebenarnya menunjukkan keseriusan dan sikap ambil berat kita sebagai ibubapa terhadap anak-anak.

Ambil tindakan segera dengan berbincang dengan guru sekiranya mendapat reaksi yang tidak baik bagi soalan 2 dan 3.

Kerap juga terjadi anak-anak berlapar disekolah kerana duit belanjanya habis dipinjam rakan-rakan.

Kesimpulan

Inilah secara ringkas yang terlintas di kepala saya waktu ini. Oh lagi satu, jangan lupa untuk menyambut anak yang pulang dari sekolah dengan senyuman dan pelukan.

Ini salah satu isyarat dari kita yang menunjukkan bahawa kita sangat menghargai usaha mereka pergi ke sekolah dan belajar.

Semoga mereka akan terus bersemangat untuk terus menempuh hari-hari persekolahan yang berikutnya.

Asmadi Abdul Samad
Pancit hari ni

BACA INI JUGA: Kajian Membuktikan Kehadiran Seorang Ayah Faktor Utama Kejayaan Anak Dalam Kehidupan

Sumber: siakapkeli