Sambutan Maulid Nabi 'Dicipta' Oleh Syiah Fathimiyah

Tidak ada ulama salaf yang merayakan maulid Nabi manakala perayaan maulid Nabi hanya muncul pada abad ke-4 hijriyah di Mesir yang dimulakan oleh kerajaan Syiah Fathimiyah Mesir secara besar-besaran.

Mencintai Nabi

Selama empat ratus tahun sejak hijrahnya Nabi SAW, kaum Muslimin tidak mengenal perayaan maulid Nabi. Jadi maulid Nabi adalah suatu hal yang baru dalam agama, kerana tidak ada satu pun generasi awal umat Islam mengerjakannya.

Ada yang mengatakan tidak mengapa kita meniru hal itu kerana ia dilihat baik, namun baik-buruk dalam urusan agama ini tidaklah diukur dengan sangkaan dan rasa-rasa.

Ini kerana sekiranya hal itu benar-benar adalah kebaikan, ketahuilah dengan pasti bahawa generasi awal Islam dari kalangan para Sahabat Nabi SAW adalah orang pertama yang akan melakukannya.

Malah para ulama berselisih pendapat tentang tarikh kelahiran Nabi SAW, namun apa yang sahih adalah rabiul awwal juga merupakan tarikh kewafatan Baginda.

Jadi, umat Islam harus ingat bahawa ada kebarangkalian orang yang bergembira merayakan tarikh itu sebenarnya sedang bersenang-senang dengan kewafatan Nabi.

Boleh jadi dia bergembira dengan lahirnya nabi dan boleh jadi dia bergembira dengan wafatnya Nabi kerana Nabi SAW wafat pada tarikh itu.

Hal ini tidak mustahil kerana perayaan ini sendiri dimulakan oleh orang-orang Syiah, di samping mereka turut merayakan hari kelahiran ahlul bait.

Adapun beberapa ulama terkemudian yang berpendapat bolehnya sambutan maulid, mereka sekadar membolehkan dalam bentuk mengingati dan tetap melarang segala acara bid’ah dan maksiat yang dilakukan di dalamnya seperti acara nyanyian, majlis yang bercampur lelaki dan perempuan, puji-pujian berlebihan ke atas Nabi dan sebagainya. Ini adalah hal yang diingkari.

Agama menyuruh kita mentaati Al-Qur'an dan Sunnah dan Nabi memerintahkan kita menjauhi setiap perkara baru dalam agama.

Jalan selamat adalah meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh generasi awal umat Islam dari kalangan Sahabat dan para Tabi’in.

Sabda Nabi SAW, “Jauhilah perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana perkara baru adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah kesesatan.” (Sahih, Abu Daud)

Ketahuilah bahawa orang yang jujur mencintai Nabi adalah orang yang berbangga dengan akidah dan syariat yang dibawa oleh Nabi.

Sama sekali tidak ada keinginan dalam hatinya untuk meniru-niru selain amalan yang diajar oleh kekasihnya.

Mereka menolong agama yang dibawa Nabi, berusaha mempelajari Sunnah Nabi dan mengajarkan kepada keluarga dan orang lain.

Orang yang mencintai Nabi mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang dari yang sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya.

Mereka tidak memandang remeh pada satu sunnah pun. Mereka meneladani akhlak terpuji Baginda.

Mereka tidak bersikap ghuluw (berlebihan) terhadap Baginda, tidak mengangkatnya lebih tinggi dari kedudukan yang sepatutnya, iaitu sebagai hamba dan utusan Allah.

Nota Editor: Kisah ini pada asalnya telah dikongsikan di blog Ustazfathulbari. Semoga ia membantu kita untuk lebih memahami ilmu Islam dengan lebih baik.

BACA INI JUGA: Apa Hukum Ucapan 'Salam' Atau 'As-salam' Dilaman Sosial?

-SENTIASAPANAS.COM