Misteri Kehilangan Granger Taylor Dibawa Makhluk Asing!?

Pada petang 29 November 1980, Granger Taylor keluar dari rumahnya di Duncan, Kanada. Sebelum keluar, Granger yang berusia 32 tahun meninggalkan sekeping nota untuk kedua orang tuanya. Nota itu berbunyi..

Granger Taylor

"Ibu dan ayah yang dikasihi, saya harus pergi menaiki kapal angkasa makhluk asing demi memenuhi impian saya menjelajah angkasa lepas selama 42 bulan, kemudian saya akan pulang semula.

"Saya tinggalkan semua harta benda saya kerana tidak memerlukannya lagi."

Selepas keluar dari rumahnya, Granger pergi ke sebuah restoran di pekan Duncan untuk menikmati makan malam lebih kurang pukul 6 petang. Dan itu adalah kelibat terakhir lelaki itu dilihat.

Sejak itu, sehingga ke hari ini, kehilangan Granger terus menjadi tanya tanya.

Persoalannya, benarkah Granger telah menaiki piring terbang? Benarkah dia dibawa oleh makhluk asing menjelajah angkasa lepas?

Secara logiknya, dakwaan itu sememangnya tidak masuk akal.

Granger lahir pada 7 Oktober 1948 dan membesar menjadi seorang lelaki yang gempal dan kuat.

Namun, personalitinya diluar jauh berbeza dengan fizikalnya. Granger seorang yang pendiam dan pemalu. Ada juga yang menggelarnya lelaki pelik.

Granger hanya bersekolah sehingga gred lapan kerana tidak berminat dalam bidang akademik.

Selepas berhenti sekolah, Granger menghabiskan waktu dengan bekerja sebagai mekanik di kedai-kedai sekitar bandar tidak jauh dari rumahnya.

Dia menunjukkan minat yang tinggi berkaitan kemahiran yang ada kaitan dengan mesin.

Kebolehan Granger mula terserlah. Dia sangat mahir membaiki pelbagai jentera dan kenderaan dan dianggap sebagai seorang yang genius dalam bidangnya.

Pada usia 14 tahun, Granger berjaya membina sebuah kereta satu silinder.

Ketika menemui sebuah lokomotif lama yang menggunakan sistem wap yang sudah tersadai puluhan tahun di dalam belukar, dia menariknya keluar dan berjaya membaiki lokomotif tersebut yang dibina pada tahun 1930an.

Granger Taylor Train

Kereta satu silinder dan lokomotif tersebut kini dipamerkan di Muzium Hutan Dunan.

Di usia 17 tahun, Granger berjaya membaiki sebuah jentolak lama, ketika tiada siapa berjaya membaikinya.

Granger turut membina sebuah replika jet pejuang zaman Perang Dunia Kedua yang akhirnya dibeli oleh seorang pengumpul dengan harga 20 ribu dollar.

Permulaan Kisah Makhluk Asing Dan UFO

Sekitar tahun 1940 dan 1950an, kisah makhluk asing, UFO dan piring terbang mula rancak diperkatakan.

Semasa Perang Dunia Kedua, beberapa juruterbang menceritakan telah melihat bebola cahaya yang luar biasa di dada langit.

Ini menguatkan lagi kisah kewujudan makhluk asing sekalipun saintis mengatakan itu mungkin hanya cahaya yang berpunca daripada gelombang elektro magnetik dan elektrostatik.

Sejak itu, pelbagai kejadian saksi yang mendakwa ternampak UFO dan makhluk asing mula direkodkan.

Ini termasuklah kisah orang-orang yang mendakwa mereka pernah diculik oleh makhluk asing.

Kisah kewujudan makhluk asing dan UFO terus hangat diperdebatkan sehingga penghujung tahun 1970an.

Waktu itu penggiat filem Barat turut menghasilkan beberapa filem dan siri TV berkaitan makhluk asing dan angkasa lepas seperti Star Wars dan Star Trek.

Replika UFO

UFO by Granger Taylor

Ketika inilah, di penghujung tahun 1970an, sewaktu kisah-kisah makhluk asing rancak diperkatakan, Granger mula menunjukkan minat yang ekstrem terhadap makhluk asing.

Kecenderungannya itu mendorong Granger untuk membina sebuah replika kapal angkasa lepas di ladang milik keluarganya dengan menggunakan barangan terbuang yang dikumpulnya.

Replika itu mempunyai dua satelit yang fungsinya seakan-akan menerima dan menghantar maklumat.

Di bahagian dalamnya dilengkapi dengan televisyen, sofa dan pendingin hawa.

Granger yang selalu tinggal dan tidur di dalam replika UFO ciptaannya menjadi begitu obses untuk mengetahui bagaimana cara untuk menerbangkan kapalnya.

Lebih kurang sebulan sebelum kehilangannya, Granger memberitahu rakannya bahawa dia telah berjaya berhubung dengan makhluk asing!

Berhubung Dengan Makhluk Asing

"Sewaktu berbaring di dalam kapalnya, dia mengakui berlaku komunikasi secara minda antaranya dengan seseorang dari angkasa lepas.

"Dia tidak dapat melihat wajah mereka, cuma makhluk asing itu berbicara dengannya melalui minda," cerita Bob Nielson, rakan rapat Granger.

Seorang lagi rakannya, Robert Keller menceritakan, Granger pernah memberitahu bahawa dia selalu bermimpi berjumpa makhluk asing yang berjanji akan datang mengambilnya.

Katanya, dia telah dijemput oleh 'mereka' untuk sama-sama mengembara ke angkasa lepas.

Kebetulan, pada malam kehilangan Granger, berlaku ribut taufan sehingga memutuskan bekalan elektrik.

Dan sejak itu jugalah, kelibat Granger yang memandu trak birunya tidak pernah lagi kelihatan.

Ada yang mengatakan cuaca buruk malam itu mungkin ada kaitan untuk menyembunyikan kedatangan UFO ke situ untuk membawa Granger pergi.

Misteri Kehilangan

Jim and Grace Taylor

Pencarian pihak berkuasa tidak menemui sebarang petunjuk. Malah, keretanya juga tidak ditemui.

Selama empat tahun, pemeriksaan rekod untuk mengesan kewujudan Granger dijalankan di hospital, pasport, majikan dan kenderaan, namun tiada sebarang klu ditemui.

Selama 42 bulan juga, orang tua Granger sengaja membiarkan pintu belakang rumah mereka tidak berkunci sepanjang masa, dengan harapan Granger akan kembali semula, seperti nota yang ditinggalkannya.

Namun, akhirnya mereka pasrah apabila Granger tidak pernah lagi muncul.

Misteri Terungkai?

Bulan Mac 1986, enam tahun selepas kehilangan Granger, seseorang menemui sebuah kawasan dengan bekas terbakar berdekatan gunung, lebih kurang lapan kilometer dari rumah keluarga Granger.

Terdapat serpihan logam yang dipercayai kenderaan dan serpihan tulang ditemui yang dipercayai telah berkecai akibat satu letupan.

Siasatan pihak berkuasa sebulat suara mengesahkan itu adalah mayat Granger. Kes ditutup kecuali jika ada penemuan baru.

Peliknya, jika benar sekalipun, apa motif Granger meletupkan diri bersama traknya?

Ramai yang tidak mempercayai rumusan pihak berkuasa dan lebih ramai yang percaya bahawa Granger memang benar-benar telah terbang ke galaksi lain.

Tidak kurang yang mendakwa ia adalah helah Granger untuk berpindah ke tempat lain dan hidup dengan menukar identiti.

Teori

Dari sudut teori pengkaji makhluk asing pula, ada kemungkinan Granger sengaja membuat letupan itu untuk menunjukkan bahawa dia telah membunuh diri.

Sedangkan hakikatnya, mungkin dia telah dibawa oleh makhluk asing di mana ia adalah perjalanan sehala, tanpa pulang semula ke bumi.

Terlalu banyak andaian dan teori mengaitkan kehilangan Granger.

Adakah benar serpihan tulang itu adalah Granger atau mungkin ketika ini dia sedang asyik menjelajah angkasa lepas dan tidak mahu pulang ke bumi?

Tiada siapa yang tahu kebenarannya.

BACA INI JUGA: Penemuan Misteri Piring Batu Dropa Stones

-Sentiasapanas.com