KUALA LUMPUR 28 Julai – Pemilik syarikat peminjam wang, V. Kandasamy, 43, yang mati terkena 10 daripada 18 tembakan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak, di sini semalam dipercayai orang kanan ahli kumpulan kongsi gelap, Geng Satu Hati.
Difahamkan, polis kini menyiasat kemungkinan mangsa ditembak oleh anggota kongsi gelap yang lain kerana perselisihan faham antara kumpulan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika ditanya pemberita mengenai penglibatan mangsa dengan Geng Satu Hati mengesahkan perkara tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenainya.
Ya, kita boleh sahkan perkara itu, katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Sehingga kini polis belum melakukan sebarang tangkapan dan motif pembunuhan masih disiasat.
Sementara itu, mengulas kes yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya keempat-empat suspek yang terlibat dalam kejadian masih berada dalam negara dan gerakan memburu mereka sedang dijalankan.
Kita akan buru kesemua penjenayah ini, mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana, katanya.
Semalam, Kandasamy dibunuh selepas terkena 10 daripada 18 das tembakan dari jarak dekat oleh empat suspek di bahagian kepala, badan dan paha.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mangsa yang menetap di Wangsa Maju di sini sedang memberhentikan kereta Honda Accord yang dipandu bersendirian di lorong kanan jalan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibu Kota bersebelahan pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak di sini.
Sementara itu, Bernama melaporkan, rakan Kandasamy yang ditemui memberitahu yang mangsa baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya.
Rakan yang enggan dikenali berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan peminjam wang sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry. – Utusan Malaysia
Sumber: kisahviralsemasa
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih