Oleh: Aimi Nordin Sumber: Mynewshub
Tak rugi pun kalau kita jujur, percayalah.
Seorang pengemis tak menyangka hanya dengan bersifat jujur dengan memulangkan semula dompet seorang jutawan fesyen Thailand dibalas dengan diberi pekerjaan dan sebuah rumah secara percuma.
Segalanya bermula apabila Woralop yang hanya mengemis di tepi jalan melihat dompet Nitty Pongkriangyos terjatuh dari poket tanpa sedar ketika jutawan tersebut sedang berjalan menuju ke kereta miliknya. Tanpa menunggu Woralop terus berlari ke arah lelaki berkenaan namun gagal. Dia terus ke balai polis untuk buat laporan serta menyerahkan dompet yang mengandungi RM 2, 332.
Walaupun hanya ada RM 1 sahaja hasil mengemis, Woralop, 45 langsung tak mengambil dompet tersebut. Itu menyebabkan pereka fesyen itu tersentuh dan sebagai balasan beliau memberi pekerjaan di salah sebuah kilangnya dengan gaji RM 1,281 dan sebuah rumah untuk didiami.
“Saya secara ikhlas berasa amat terperanjat dan tidak tahu dompet saya tercicir, malah reaksi pertama saya jika menjadi orang pertama yang jumpa dompet itu dan kebetulan tiada duit di poket ialah saya akan ambil sahaja semua wang tunai dalam dompet tersebut,” kata Nitty.
Kisah tersebut viral selepas teman wanita Nitty, Tarika Patty yang memuat naik menerusi akaun Facebooknya.
“Saya berasa gembira dapat peluang untuk baiki hidup saya bahkan dapat tidur di atas tilam yang bersih pun sebenarnya sudah cukup besar. Terima kasih kepada Nitty dan Tarika atas kebaikan mereka berdua,” kata Woralop kepada media.